Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz
Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia

Amalan dan budaya berwakaf adalah tradisi zaman berzaman dan telah menjadi amalan mulia umat Islam di seluruh dunia. Jika diteliti dari sejarah pada zaman kerajaan Islam lampau telah membuktikan bahawa terdapat pelbagai bentuk amalan berwakaf yang telah dihasilkan dan diamalkan meliputi wakaf untuk pengembangan ilmu dan pendidikan, wakaf untuk kegiatan sosial, wakaf untuk kegiatan politik dan ketenteraan dan lain-lain. Tentunya banyak manfaat yang telah diperolehi oleh umat Islam terdahulu hasil dari aktiviti berwakaf ini. Bahkan, pada zaman kerajaan Uthmaniyyah misalnya, pernah dicatatkan bahawa pendapatan wakafnya pernah mencecah separuh daripada keseluruhan jumlah pendapatan kerajaan pada masa itu.

Malah, hampir 30 ribu institusi yang berasaskan wakaf telah ditubuhkan dan ia amat membantu bagi menjamin lebihan belanjawan (surplus budget) kepada kerajaan tersebut pada setiap tahun. Zaman kegemilangan wakaf seperti ini nampaknya telah berakhir namun, usaha untuk mengembalikan kegemilangan wakaf terus rancak dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Alangkah baiknya jika budaya dan amalan yang murni ini tetap diteruskan pada zaman ini bagi memberikan pelbagai manfaat untuk semua pihak disebabkan terdapat banyak aspek dan bidang yang memerlukan sumbangan dan bantuan dari mereka yang memiliki kelebihan dari segi harta, kepakaran dan ilmu pengetahuan.

Berdasarkan satu hadith dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka putuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya” (Hadith Riwayat Muslim). Berdasarkan hadith ini, antara amalan yang boleh dikategorikan sebagai amalan berwakaf dan hasilnya dapat dinikmati oleh seseorang individu itu walaupun dia telah meninggal dunia adalah melalui ilmu yang dimilikinya yang telah dikembangkan olehnya dan yang memberi manfaat kepada orang lain. Aspek manfaat ilmu ini boleh diluaskan kepada pelbagai konsep yang baharu yang juga mampu memberikan manfaat kepada masyarakat terutama umat Islam. Jika diambil kira jumlah graduan yang dihasilkan setiap tahun serta jumlah profesional muda yang sedang berkhidmat dalam pelbagai lapangan di negara ini, tentunya jumlah tersebut adalah ramai dan mampu memberikan impak yang positif jika disalurkan ke arah yang sewajarnya.

Tidak dapat dinafikan, amalan berwakaf secara tradisional dan yang sedang dilaksanakan pada masa kini seperti wakaf hartanah kekal dan wakaf tunai memberikan pelbagai impak kepada masyarakat namun, tidak semua golongan profesional muda yang mempunyai kepakaran tertentu di negara ini mampu untuk menyumbang wakaf dalam bentuk tradisional seperti yang disebutkan tadi. Maka, di sini perlunya satu bentuk amalan wakaf baharu yang dikenali sebagai wakaf kepakaran yang boleh disumbangkan oleh profesional muda terbabit terutamanya yang memiliki kepakaran khusus seperti dalam bidang perubatan, pergigian, undang-undang, kejuruteraan, keusahawanan, kewangan, perakaunan, ekonomi, teknologi maklumat, sains sosial serta agama untuk sama-sama menyumbang dalam bentuk wakaf kepakaran ini.

Misalnya, seseorang yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam aspek perancangan dan pengurusan harta Islam memberikan khidmat nasihat atau ceramah katakan selama dua jam untuk setiap bulan kepada golongan sasar atau masyarakat awam tanpa mengenakan sebarang yuran atau bayaran untuk khidmat terbabit, dan diberikan secara percuma kepada orang ramai. Tentunya dalam jangka masa panjang, masyarakat yang celik kewangan dalam Islam termasuk perancangan dan pengurusan harta individu dapat dilahirkan dalam kalangan masyarakat Islam yang mampu mengurangkan kekeliruan dan ketidafahaman dalam pengurusan dan perancangan harta individu dalam Islam.

Lihat sahaja jumlah aset yang terpaksa dibekukan oleh Amanah Raya Berhad yang mencecah 60 billion yang merupakan aset dalam kalangan orang Islam di negara ini yang tidak dituntut dan yang tidak mampu untuk diselesaikan selepas kematian pemilik harta yang asal berpunca dari kekurangan pengetahuan dan kemahiran untuk mengurus harta semasa hidup yang membawa kerugian kepada ahli warisnya. Ini meruapakan satu contoh mudah bagaimana wakaf kepakaran profesional ini boleh dimanfaatkan, tentunya ia akan membawa impak yang besar sekiranya sifat suka menyumbang dan kesukarelawanan dalam kalangan profesional muda yang mempunyai kepakaran ini dapat dipupuk dan dihasilkan dari pelbagai bidang kepakaran yang ada di negara ini.

Kesimpulannya, walaupun amalan wakaf kepakaran ini masih belum dilaksanakan di mana-mana negeri di negara ini namun, berdasarkan Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005 jelas menggambarkan adanya konsep wakaf kepakaran ini iaitu meliputi memberikan kepakaran dan perkhidmatan yang memberikan manfaat dan keuntungan. Oleh itu, sudah tiba masanya usaha yang lebih utuh digerakkan bagi menjayakan konsep sumbangan wakaf yang baharu melalui sumbangan wakaf kepakaran ini. Dengan kerjasama dan dokongan semua pihak, tidak mustahil konsep wakaf kepakaran ini mampu mengambil tempat sebagai satu alternatif baharu dan membuka ruang untuk berinfaq dan berwakaf di negara ini oleh profesional muda bagi memberikan lebih manfaat kepada pelbagai pihak terutama orang Islam di negara ini.