Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd DaliPengarah Institut Pengurusan Harta & Kewangan Islam (IFWMI)

Harta, jika diurus dengan baik, boleh memberikan banyak manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Jika sebaliknya, ianya akan membawa kepada kemudaratan kepada pemilik dan pewaris harta. Hubungan di antara sesama keluarga dapat dieratkan lagi dengan adanya kontrak-kontrak muamalat seperti sedekah, hibah, wakaf, wasiat, faraid dan lain-lain lagi.

Harta yang kita miliki di dunia ini hanyalah sementara kerana milik sebenarnya kesemua harta tersebut adalah milik Allah SWT. Kita hanyalah sebagai pemegang amanah. Walau bagaimanapun, jika kita telah menguruskan harta kita dengan baik, harta tersebut akan menjadi aset kepada kita semasa di dunia dengan memberikan pulangan dalam bentuk wang ringgit dan sebagainya dan juga memberikan pahala kepada kita setelah kita meninggalkan dunia ke alam akhirat. Akhirat adalah destinasi akhir setiap manusia di mana dosa dan pahala akan menjadi perhitungan sama ada kita mendapat keredaan Allah SWT atau tidak.

Sikap tidak ambil endah umat Islam dalam pengurusan harta ini akan merugikan diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Masalah ini dapat diatasi dengan mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan ilmu dalam bab muamalat dan mempraktikkan apa yang dipelajari untuk kebahagiaan kita dunia akhirat.

Sebagai contoh, kita boleh mendalami ilmu tentang wasiat dan melakukan wasiat dengan ejen-ejen wasiat yang bertauliah dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS). Wasiat menurut mazhab Shafie adalah pemberian atau sumbangan harta oleh seseorang kepada orang atau pihak lain setelah dia mati sama ada disebut perkataan wasiat atau tidak.

Kesedaran tentang wasiat dalam kalangan rakyat Malaysia telah meningkat dari tahun ke tahun dan kita di saran untuk menulis wasiat bertulis kerana ia mudah untuk membuktikan kewujudan wasiat. Secara amnya, wasiat boleh di buat kepada sesiapa sahaja termasuk bukan muslim dan tak boleh lebih 1/3 harta pusaka. Wasiat kita akan disimpan oleh pihak MAINS dalam pengurusan wasiat dan akan dibacakan kepada waris selepas kita meninggal dunia. Peranan MAINS sebagai pemudah cara akan memudahkan urusan pembahagian harta kepada waris-waris.

Pendaftaran wasiat di MAINS adalah sangat mudah di mana masyarakat boleh berjumpa dengan imam-imam eksekutif yang telah di tauliah sebagai Ejen Wasiat MAINS. Imam-imam eksekutif bertauliah telah dilengkapkan dengan ilmu-ilmu berkaitan wasiat, prosedur pendaftaran wasiat, enakmen-enakmen berkaitan wasiat dan proses perlaksanaan wasiat. Ilmu-ilmu tentang faraid, wasiat, hibah, wakaf dan lain-lain perlu dipertingkatkan dalam kalangan pengurusan masjid agar masyarakat dapat merujuk secara terus kepada mereka.

Secara khususnya, MAINS akan memegang amanah menjaga kerahsiaan wasiat, melaksanakan tugas apabila sampai masanya iaitu sebaik sahaja kematian pewasiat, memelihara kepentingan pewasiat dan benefisiari dan menjadi pemudah cara yang menjaga keharmonian antara benefisiari dan ahli waris.

KOS BERPATUTAN

Kos pendaftaran yang berpatutan berbanding ejen wasiat syarikat lain. Ini adalah kerana pihak MAINS sebagai suatu organisasi yang prihatin tentang maslahah umat Islam tidak mahu membebankan umat Islam di Negeri Sembilan. Secara khususnya, segala urusan berkenaan wasiat akan diurus oleh Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan (PWNS) yang turut diamanahkan untuk menguruskan harta wakaf di Negeri Sembilan.

Di samping itu, kos perlaksanaan wasiat pun akan dipermudahkan dari segi kos yang terlibat agar ia tidak membebankan waris. Panel-panel peguam yang dilantik oleh MAINS adalah firma guaman yang mahir dalam mengendalikan kes pembahagian harta dan jika tiada masalah, pembahagian harta akan dilaksanakan dengan cepat dan murah.

HARMONI

Pelaksanaan polisi wasiat di Negeri Sembilan ini akan membuka peluang kepada pengurusan masjid untuk mendekati ahli kariah masjid dengan lebih mesra dan untuk menjadi pihak ketiga yang menjaga keharmonian hubungan keluarga pewasiat.

Perlaksanaan wasiat di Negeri Sembilan ini akan dapat menggalakkan masyarakat untuk menulis wasiat untuk memberikan harta mereka kepada sesiapa yang mereka mahu terutama kepada mereka yang tidak mempunyai waris dan kepada mereka yang mahukan harta mereka dapat memberikan manfaat kepada masyarakat dan kepada mereka dalam bentuk ganjaran pahala setelah mereka meninggalkan dunia ini untuk selama-lamanya.

Hubungan akrab di antara Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan (PWNS) dan MAINS akan diteruskan dengan pelbagai kursus eksekutif dalam bidang pengurusan harta yang akan dijalankan secara berterusan bersama dalam menjadikan imam-imam dan eksekutif masjid memperolehi sijil eksekutif yang disahkan oleh MAINS dan IFWMI.

DEFINISI WASIAT

Iqrar seseorang yang dibuat pada masa hayatnya mengenai hartanya atau manfaat hartanya, untuk disempurnakan bagi maksud khairat atau apa-apa maksud lain yang dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.

FI WASIAT MAINS

  • Fi Pendaftaran, Penyediaan dan Penyimpanan Wasiat = RM 300
  • Fi Pelaksanaan Wasiat

2% = Nilai harta RM 25,000 pertama;

1.5% = Nilai harta RM 50,000 berikutnya;

1% = Nilai harta RM 75,000 berikutnya;

0.5% = Nilai harta RM100,000 berikutnya;

0.25% = Nilai harta RM200,000 ke atas.

GOLONGAN YANG DIGALAKKAN UNTUK BERWASIAT

  • Individu yang tidak mempunyai anak.
  • Individu yang mempunyai anak angkat / anak tiri.
  • Mereka yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun untuk melantik penjaga bagi anak tersebut.
  • Mereka yang ingin membantu ahli keluarga yang tidak layak mendapat faraid.