Pembukaan semula universiti secara berperingkat telah pun bermula di seluruh Asia, namun masih banyak perkara dan isu yang tidak dapat dipastikan, termasuk pelaksanaan kelas bersemuka untuk semua pelajar. Kenyataan media Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertarikh 27 Mei 2020 berkenaan pengendalian aktiviti akademik di kampus Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) semasa dan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memaklumkan bahawa semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) hendaklah dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Disember 2020 di mana semua aktiviti PdP secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.
Tuntutan daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh KPT, pusat perumahan pelajar telah mengarahkan pelajar melakukan pengosongan kolej sepanjang bulan Jun dan Julai sejak kebenaran merentas negeri dibenarkan oleh kerajaan pada tarikh 10 Jun 2020. Sebahagian pelajar yang menetap di rumah sewa juga telah mengambil keputusan untuk membatalkan kontrak rumah sewa kerana pelajar memikirkan tanggungan kos pembiayaan rumah sewa yang perlu dibayar sehingga Disember 2020 susulan daripada pengumuman yang dikeluarkan oleh KPT. Hal ini adalah kerana kebanyakan pelajar telah mengambil keputusan untuk pulang ke rumah keluarga masing-masing sejak pengumuman pelaksanaan PKP telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 16 April 2020.
Pihak universiti juga telah mengeluarkan takwim baru memandangkan PdP perlu dijalankan secara maya sehingga Disember 2020. Perlu diketahui bahawa walaupun kadar COVID-19 di Malaysia menunjukkan 1 hingga 2 angka kes baru setiap hari dan kes sembuh adalah 97.72%, dikemaskini pada 4 Julai 2020, namun, kadar kes COVID-19 dunia mengalami peningkatan dari hari ke hari. Seperti yang diketahui, vaksin COVID-19 masih belum ditemui dan tidak semua rakyat Malaysia menjalani ujian saringan COVID-19. Juga, fakta menggariskan seramai 1400 rakyat Malaysia yang dikuarantin 14 hari di rumah masing-masing selepas pulang dari luar negara belum menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua. Atas faktor ini, Malaysia perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan rakyat Malaysia daripada dijangkiti virus COVID-19 dengan mengamalkan SOP yang telah digariskan oleh kerajaan untuk pembukaan setiap sektor industri di Malaysia, termasuk pembukaan semula universiti. Memandangkan SOP pembukaan sekolah adalah SOP yang paling relevan untuk dijadikan rujukan kepada SOP pembukaan universiti, kami mengajak anda untuk melihat kesan sekiranya SOP ini diguna pakai. Diambil daripada laman web Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), tarikh pembukaan semula sekolah seawal 15 Julai 2020 akan mengikut model yang bersesuaian dengan fasiliti sekolah untuk menampung bilangan pelajar dengan mengambil kira penjarakkan sosial. Dan sekiranya sekolah tidak mampu mengikut kaedah yang digariskan dalam model 1 dan model 2, maka kaedah pembelajaran murid sekolah adalah mengikut model 3 iaitu model penggiliran. Maka kaedah PdP adalah secara hybrid, face to face learning dan home-based learning.
SOP yang digariskan untuk pembukaan sekolah ini adalah baik namun sepertimana yang diketahui, bilangan penuntut universiti adalah berganda daripada bilangan pelajar sekolah. Juga, mengambil kira faktor pelajar sekolah yang datang daripada tempat yang sama manakala pelajar universiti yang datang daripada latar belakang daerah dan negeri yang berbeza di mana sebahagian pelajar juga adalah pelajar luar negara yang belajar di Malaysia. Pelajar universiti juga perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain apabila menghadiri kuliah bersemuka lantaran kelas tidak kekal di satu tempat sahaja dan sekiranya berlaku penularan virus COVID-19, adalah sukar untuk barisan hadapan mengesan penularan COVID-19 di kalangan pelajar universiti.
SOP tempat tinggal untuk penuntut universiti juga adalah sedikit sukar untuk diaplikasikan kerana fasiliti kolej yang disediakan oleh universiti adalah terhad dan tidak mampu untuk menampung kesemua pelajar. Pelajar yang tinggal di rumah sewa juga sukar untuk mematuhi SOP kerana rata-rata pelajar menetap di rumah teres di mana sebuah rumah menempatkan 8-14 orang pelajar serumah. Juga mengambil kira kesukaran untuk pelajar yang telah menamatkan kontrak rumah sewa untuk mencari semula rumah sewa dalam masa terdekat.
Disebalik isu-isu yang dibongkarkan mengenai kebaikan dalam pengekalan penutupan universiti, jika dilihat daripada sudut pandang positif, wujud faktor-faktor lain yang berhala tuju ke arah kebaikan pembukaan semula universiti dalam masa yang terdekat.
Salah satu daripada faktor tersebut adalah kekangan yang dihadapi oleh para pelajar semasa e-pembelajaran dilakukan. Sepertimana yang diketahui, pelaksanaan e-pembelajaran mempunyai kesan-kesan yang tersendiri. Pelbagai perkara perlu dititikberatkan dalam menjayakan pelaksanaan e-pembelajaran. Kaedah e-pembelajaran adalah kurang efisien bagi sesetengah pelajar terutamanya bagi pelajar yang kurang motivasi diri apabila belajar secara bersendirian juga bagi pelajar yang kurang kemampuan organisasi diri. Hal ini adalah kerana, tanpa jadual atau rutin tetap, e-pembelajaran menjadi sukar bagi pelajar memenuhi “due date” dan matlamat lain bagi setiap kursus yang diambil. Hakikat bahawa pembelajaran bersemuka lebih efektif buat para pelajar dan juga para pensyarah kerana interaksi secara bersemuka antara dua pihak adalah lebih berkesan dalam penyaluran sesuatu maklumat semasa PdP.
Sesetengah pelajar memerlukan bimbingan daripada pensyarah dan rakan-rakan supaya sentiasa termotivasi. Pelajar memerlukan bimbingan seperti mengetahui tarikh akhir penyerahan tugasan dengan jelas, mengetahui corak menangani dan menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan, merujuk pensyarah sekiranya mengalami kesulitan dalam PdP juga melakukan pembelajaran secara berkumpulan bersama rakan-rakan supaya dapat meningkatkan motivasi diri mereka. Tidak dinafikan bahawa sebilangan pelajar mampu mengatur proses pembelajaran mereka sendiri dan memotivasi diri untuk terus belajar secara maya. Namun, tidak semua pelajar mempunyai kemahiran mengatur dan menguruskan proses e-pembelajaran dengan baik. Tambahan lagi, kaedah e-pembelajaran adalah berpakej dengan pertambahan tugasan penilaian berterusan yang akan diterima oleh pelajar. Ini menyebabkan pelajar akan mengalami tekanan kerana terlalu banyak tugasan yang perlu disiapkan semasa e-pembelajaran dijalankan. Kondusi rumah sesetengah pelajar yang kurang efektif untuk meneruskan e-pembelajaran juga perlu diambil kira. Oleh itu adalah baik sekiranya pembelajaran bersemuka disegerakan supaya pelajar tidak ketingalan dalam kursus yang diambil.
Selain itu, perlu diketahui bahawa kaedah e-pembelajaran memerlukan keperluan yang sangat khusus iaitu penggunaan teknologi kerana sebilangan besar program e-pembelajaran direka untuk internet berkelajuan tinggi dan penggunaan komputer moden atau peranti mudah alih yang canggih. Pelajar yang mempunyai masalah dalam capaian internet berkelajuan tinggi dan tidak mempunyai alat peranti yang canggih akan mengalami kekangan yang besar sekiranya pelaksanaan kursus secara atas talian diteruskan. Tuntuan daripada masalah yang dinyatakan, e-pembelajaran menjadi satu cabaran yang besar bagi pelajar. Hal ini adalah kerana untuk mengatasi masalah capaian internet dan untuk menaik taraf alat peranti yang digunakan semasa e-pembelajaran, pelajar perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk mengatasi masalah ini sekiranya e-pembelajaran diteruskan atau pelajar akan ketinggalan dalam pelajaran dan menghadapi masalah untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan.
Seterusnya, perlu juga dititikberatkan bahawa tahap kematangan mahasiswa/i adalah lebih tinggi daripada tahap kematangan pelajar-pelajar sekolah. Maka isu mematuhi SOP yang digariskan oleh kerajaan tidak seharusnya sukar untuk dilaksanakan. Kempen kesedaran juga harus dijalankan oleh setiap universiti dalam memastikan para pelajar terdedah kepada pengetahuan am mengenai gejala COVID-19 dalam usaha menerapkan budaya norma baharu dan kawalan kendiri di kalangan pelajar bagi mengekang penularan wabak ini susulan daripada pembukaan semula universiti. Sebagai cadangan, kempen kesedaran di setiap universiti boleh dilaksanakan selama seminggu untuk menyebarkan mesej mengenai langkah-langkah pencegahan jangkitan dan penularan wabak COVID-19 dengan menempatkan sekurang-kurangnya dua stesen penyanitasi tangan di setiap fakulti dan juga kolej kediaman. Tujuan utama kempen ini adalah untuk memberi kesedaran kepada para pelajar supaya terus mencegah penularan wabak COVID-19 dengan mematuhi SOP pembukaan semula universiti yang dikeluarkan oleh kerajaan serta garis panduan yang dikeluarkan oleh universiti masing-masing.
Oleh yang demikian pada pandangan kami, berdasarkan faktor-faktor yang telah dinyatakan di atas, kerajaan perlu mengambil kira faktor baik dan buruk pembukaan semula universiti dengan melihat kepada keupayaan semua pihak yang terlibat untuk pembukaan semula universiti. Kami menyambut baik pengumuman yang telah dikeluarkan oleh KPT pada 8 Julai 2020 mengenai garis panduan kemasukan semula pelajar IPT ke universiti secara berperingkat. Semoga semua pihak yang terlibat dengan pembukaan semula universiti secara sepenuhnya pada bulan Oktober 2020 diberikan kecukupan masa untuk membuat persiapan rapi sebelum universiti beroperasi semula seperti biasa.