Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz
Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. AzizDekan Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Tercetusnya wabak dan krisis Covid-19 di seluruh dunia membawa perubahan yang amat besar bukan sahaja dalam bidang ekonomi, kewangan, pentadbiran negara malah membawa perubahan yang ketara dan mencetuskan “New Normal” dalam kehidupan seharian rakyat demi kelansungan kehidupan seharian. Dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini, pelbagai usaha berbentuk infaq dan wakaf dalam pelbagai bidang kepakaran sangat dituntut untuk dilaksanakan oleh semua masyarakat bagi sama-sama memberi sumbangan bukan hanya dalam bentuk tunai semata-mata, malah melalui sumbangan berbentuk kemahiran, tenaga, kesukarelawanan dan kepakaran.

Walaupun pelbagai pakej rangsangan ekonomi telah dilancarkan oleh kerajaan bagi membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi di negara ini, namun harus diingat bahawa pakej rangsangan ekonomi tersebut direncanakan kepada pihak yang benar-benar terjejas dalam situasi sebegini. Dengan kekangan baget negara pada masa kini, perlunya semua pihak memahami bahawa tidak semua atau setiap individu di negara ini dapat dibantu sepenuhnya melalui pakej rangsangan ekonomi tersebut. Ini bukanlah menunjukkan bahawa kerajaan mengabaikan mereka, tetapi golongan ini sebenarnya terdiri daripada golongan rakyat yang agak kurang terkesan dengan situasi sebegini dan terdiri daripada golongan profesional dan tenaga pakar di negara ini.

Kepakaran yang mereka miliki boleh digunakan untuk sama-sama menyumbang kepada masyarakat dan negara terutama dalam situasi genting sebegini. Budaya menyumbang dan memberi infaq dan wakaf merupakan ajaran Islam yang telah lama dipraktikkan dalam masyaratkat Islam. Budaya infaq dan wakaf ini telah diamalkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat RA. Penting ditegaskan bahawa budaya memberi infaq dan berwakaf adalah tradisi zaman berzaman dan telah menjadi amalan mulia umat Islam. Ini boleh ditinjau dalam sejarah sejak zaman kerajaan Uthmaniyyah sekitar abad ke-16 Masihi lagi. Pada masa itu, hampir 30 ribu institusi yang berasaskan infaq dan wakaf telah ditubuhkan dan ia amat membantu bagi menjamin lebihan belanjawan (surplus budget) kepada kerajaan. Zaman kegemilangan infaq dan wakaf seperti ini nampaknya telah berakhir namun, usaha untuk mengembalikan kegemilangan budaya infaq dan wakaf sedang rancak dilaksanakan oleh umat Islam di seluruh dunia termasuklah di Malaysia.

Dalam hal ini, infaq dan wakaf kepakaran merujuk kepada memberikan atau menyumbang kepakaran dan perkhidmatan yang boleh dinikmati manfaat, faedah atau keuntungannya. Apabila kita merujuk kepada infaq dalam ilmu ia meliputi aktiviti mengajar, mendidik, berkongsi ilmu dan khidmat kepada orang ramai secara sukarela. Infaq ini boleh dilakukan dengan menginfaqkan diri, masa dan tenaga supaya ilmu dan khidmat dapat dinikmati manfaat, faedah dan keuntungannya kepada orang ramai. Infaq ilmu memberi nafas baru kepada kedinamikan dalam sektor infaq dan wakaf di negara ini. Dalam hal ini, para ilmuwan dan tenaga pakar profesional haruslah sentiasa bersedia untuk menyumbang kepada masyarakat bagi berkongsi dan memberi ilmu pengetahuan kepada yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan serta hanya mengharapkan keredhaan daripada Allah SWT.

Ini sesuai dengan galakan dari Nabi Muhammad SAW supaya umatnya sentiasa mengamalkan budaya infaq dan wakaf seperti Hadith Nabi SAW: “Sesungguhnya seorang mukmin itu akan mendapat manfaat dari amalan dan kebaikan selepas kematian dirinya. Antara amalan yang bermanfaat adalah seperti ilmu yang disampaikannya, anak yang soleh yang ditinggalkannya, mewariskan mashaf-mashaf, masjid yang dibina olehnnya, membina rumah untuk ibnu sabil, membuat sungai yang mengalir dan sedekah yang keluar dari hartanya semasa sihat juga semasa hidupnya.”(Hadith Riwayat Ibnu Majah).

Secara lebih terperinci, infaq dan wakaf kepakaran profesional ini merujuk kepada seorang tenaga pakar profesional yang memiliki pengetahuan, kepakaran dan kemahiran berhasrat untuk menyumbang kepakaran yang dimiliki secara sukarela melalui pelbagai bentuk dan kaedah sumbangan yang sesuai demi kemaslahatan umat Islam. Antara perkara yang boleh disumbangkan adalah melalui ceramah, mengkaji dan mengembangkan ilmu, penulisan artikel mahupun buku. Selain itu, kemahiran seperti konsultansi, khidmat nasihat dan perundingan juga turut termasuk dalam kategori infaq kepakaran profesional. Ini termasuk memberikan perkhidmatan merawat dan memberi nasihat perubatan serta sukarelawan secara profesional yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai.

Antara objektif infaq dan wakaf kepakaran profesional adalah untuk membuka ruang kepada tenaga profesional untuk menyumbang secara berkekalan melalui aktiviti infaq dan wakaf, membuka ruang kepada golongan pakar dan tenaga profesional menyumbang infaq dan wakaf sebagai alternatif kepada sumbangan tunai dan harta tak alih demi kemaslahatan umat Islam serta membuka perluang kepada masyarakat umum untuk memperoleh sumbangan infaq dan wakaf dalam pelbagai bentuk dan tidak terhad kepada sumbangan tunai dan harta tidak alih sahaja.

Dalam suasana yang mencabar dan ketidakpastian krisis dan wabak Covid-19 ini serta saranan dan galakan yang telah diberikan sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah melalui beberapa Sidang Media Harian Covid- 19, adalah amat dialu-alukan semua bentuk bantuan kesukarelawanan oleh tenaga profesional dan pakar bukan sahaja dalam kalangan doktor dan pengamal perubatan, pegawai perubatan, pakar bius malah merangkumi pakar dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, kewangan, perbankan Islam dan Syariah untuk sama-sama memikirkan dan memberikan infaq dan wakaf kepakaran yang bermakna kepada masyarakat pada masa ini. Kita juga bersyukur pada masa kini, pelbagai pihak sama ada individu, agensi, majlis malah pihak korporat telah melaksanakan pelbagai aktiviti berbentuk infaq dan wakaf dalam bentuk wang ringgit, tenaga dan kesukarelawan bagi membantu pihak-pihak yang memerlukan di saat-saat kritikal ini. Namun, sumbangan infaq dan wakaf kepakaran yang lebih bermakna amat ditagih dari semua lapisan masyarakat di negara ini terutama dalam kalangan tenaga pakar dan profesional.

Kesimpulannya, penulis merasakan idea untuk menyemarakkan aktiviti berbentuk sumbangan infaq dan wakaf kepakaran oleh tenaga pakar profesional ini amat penting dan sesuai dilaksanakan pada masa kini. Kesediaan tenaga pakar profesional ini amat diperlukan bagi sama-sama membantu pihak kerajaan dalam mendepani wabak ini daripada terus menular dan mengorbankan ramai lagi nyawa. Kesediaan semua pihak untuk turut memberi infaq dan wakaf dan tidak mengharapkan ganjaran kewangan semata-mata mejamin kejayaan idea infaq dan wakaf kepakaran di negara ini. Semoga usaha infaq dan kesukarelawan ini terus semarak dan dapat memberikan impak yang amat positif kepada semua pihak dalam tempoh ini dan pada masa hadapan. Kita berdoa supaya keadaan kritikal ini dapat diatasi dengan segera dengan adanya kesanggupan semua pihak untuk menyumbang dan melaksanakan infaq dan wakaf kepakaran ini.

Gambar: Penyerahan sumbangan PPE oleh Universiti Sains Islam Malaysia kepada Hospital Tuanku Jaafar, Seremban