Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah Mallow Pensyarah Kanann Fakulti Syariah & Undang-Undang

Bendera adalah penting terutamanya untuk sesebuah negara. Tanpa adanya bendera, agak sukar untuk sesebuah negara itu wujud, dikenali, dihormati dan dipandang tinggi oleh negara-negara lain dalam dunia. Setiap rakyat yang cintakan negara mereka akan sentiasa mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi bendera negara mereka. Adalah penting supaya bendera negara kita dilindungi daripada menjadi mangsa tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab. Bendera negara kita juga harus bebas daripada menjadi mangsa kepada sebarang isu politik atau pun ketidakpuasan hati mana-mana pihak. Bendera negara kita juga harus dikibar dengan penuh tertib, penuh rasa bangga dan dengan penuh rasa hormat.

Dalam menyambut ketibaan hari kemerdekaan rasmi negara yang ke-62 pada 31 Ogos nanti serta sambutan Hari Malaysia yang ke-56 pada 16 September yang akan datang, tindakan sesetengah pihak serta organisasi yang dilihat masih mengibarkan bendera rasmi negara kita iaitu Jalur Gemilang dalam keadaan lusuh, koyak serta terbalik ataupun diubah suai dengan sesuka hati tidak harus diterima oleh mana-mana pihak kerana ianya bukan sahaja tidak melambangkan semangat patriotisme atau semangat cintakan kepada negara kita malah ianya juga menghantar mesej yang negatif khusus kepada generasi muda serta kepada warga asing atau pelancong yang mengunjungi negara kita.

Bendera Jalur Gemilang kita mempunyai 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri seluruh Malaysia dan sebuah Wilayah Persekutuan. Negeri-negeri berkenaan termasuklah Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang, Melaka, Sarawak, Sabah, dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya). Warna merah pada jalur gemilang membawa makna gagah berani dan warna putih padanya pula membawa makna suci murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan simbol kedaulatan Raja-Raja Melayu. Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan semangat setia kawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan negara-negara Komanwel. Seperti yang diketahui umum, bendera negara kita sudah lama wujud iaitu sebelum negara kita mencapai kemerdekaan lagi pada tahun 1957 dan ianya telah digunakan sehingga kini.

Proses pengubahsuaian terhadap bendera negara kita dibuat pada tahun 1963 selepas terbentuknya Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak. Pada tahun 1997, YAB Perdana Menteri ketika itu. Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad telah secara rasminya memberi nama Jalur Gemilang kepada bendera negara kita. Sehingga kini, bendera Jalur Gemilang kekal menjadi simbol kebanggaan negara kita serta setiap warganegaranya tanpa mengira dimana mereka berada.

Adalah penting supaya bendera kebanggaan negara kita dilindungi dengan sebaik yang mungkin. Bagi mengatasi masalah ini, pihak-pihak yang berkaitan perlu mengambil tindakan yang lebih tegas melalui segala peruntukkan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana individu atau organisasi yang dilihat tidak menghormati bendera negara kita seperti yang termaktub dibawah Kanun Keseksaan, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Walaupun negara kita sudah memiliki pelbagai jenis akta terhadap perkara ini, namun kewujudan sebuah akta yang khusus bagi melindungi Jalur Gemilang serta semua bendera-bendera rasmi yang ada dalam negara kita seperti bendera negeri-negeri dilihat menjadi satu keperluan penting supaya semua pihak dalam negara kita serta warganegara asing yang mengunjungi negara kita mengambil berat terhadap perkara ini serta menghormati bendera kesayangan setiap rakyat Malaysia. Melalui kewujudan akta khusus berkenaan juga, hukuman yang lebih keras dapat dirangka dan diberikan terhadap mana-mana pihak yang masih berdegil dan tidak menghormati bendera negara kita.