Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini OthmanTimbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Perkembangan semasa menyaksikan penularan wabak Covid-19 yang menjangkiti manusia di seluruh dunia belum menampakkan penurunan dan ia semakin membimbangkan. Beberapa negara yang terjejas dengan pandemik ini terus mengambil tindakan drastik seperti melaksanakan kawalan pergerakan, lockdown, perintah darurat atau seumpamanya untuk membataskan pergerakan rakyat masing-masing bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak ini secepat mungkin. Malaysia juga kini sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula18 Mac lalu yang sepatutnya beakhir pada 31 Mac ini tetapi dilanjutkan sehingga 14 April 2020 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes jangkitan pertama mula dilaporkan berlaku di Myanmar, Belize, Dominica dan Libya dan jumlah jangkitan semasa lebih 500,000 orang diseluruh dunia dengan lebih 23,000 nyawa telah terkorban angkara Covid-19. Malaysia sehingga Khamis sudah mencatat 23 kematian, 235 kes baharu dengan bilangan kes positif kini melebihi angka 2,000 orang dan ia akan dijangka terus meningkat dan ini memberi indikasi tugas barisan hadapan makin bertambah berat.

Pada masa kini, 34% daripada 3,585 katil di 34 buah hospital di seluruh negara yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 sudah digunakan. Dengan berbaki 66% katil yang masih kosong, adakah kita mahu semua ini diisi?.

Di masa kita gelisah dan mati kutu di rumah melalui tempoh PKP ini, anggota kesihatan kita yang bertindak sebagai frontliners tidak pernah dapat merasa duduk diam, goyang kaki, berehat ataupun bersantai seperti kita. Kecewa penulis melihat kedegilan segelintir rakyat yang masih ingin berjalan-jalan, bersiar-siar dan bersesak-sesak di tempat awam sehingga menguji kesabaran dan profesionalisma anggota polis dan askar yang berada di lapangan.

Nasihat penulis jangan biarkan petugas kesihatan kita berjuang berseorangan melawan Covid-19 yang semakin menggila ini.  Sebak hati penulis apabila mendengar satu rakaman audio rayuan seorang petugas kesihatan yang mahukan kerjasama dan disiplin rakyat Malaysia untuk patuh arahan PKP ini. Kerajaan sudah berikan kita satu tugas iaitu untuk duduk di rumah, jadi ambil tugas ini dengan penuh tanggungjawab, duduk diam-diam di rumah, amalkan penjarakan sosial dan jaga kebersihan diri.

Sedarilah tewas dan mengaku kalah bukanlah pilihan dan sekiranya PKP gagal membendung penularan Covid-19, gelombang ketiga jangkitan yang besar ibarat tsunami akan membadai kita semua. Sekiranya petugas kesihatan kita yang menjadi pahlawan dan benteng utama kita selama ini sudah lumpuh dan runtuh ketika itu dek kerana kedegilan kita, penulis tidak dapat membayangkan malapetaka yang akan ditempuh negara tercinta ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dilihat terus meniupkan semangat kepada anak buahnya untuk memastikan mereka terus kuat dan tabah memerangi pandemik Covid-19. “Harapan negara kini disandarkan ke bahu kita. Sama ada kita berjaya atau tidak, ia bergantung kepada kita untuk meneraju perjuangan ini dan melakukan yang terbaik demi Raja dan negara”.

Kita sebagai rakyat ambillah iktibar apa yang sedang di lalui oleh Eropah, peningkatan kes jangkitan dan kematian yang berganda saban hari menjadikan barisan hadapan mereka hampir lumpuh dek kerana keletihan melampau yang memberi kesan kepada fizikal dan moral petugas.

Kerajaan sendiri menyedari dan mengakui ramai jururawat dan kakitangan hospital kini amat keletihan kerana terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes Covid-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.

Penulis gembira apabila Majlis Tindakan Ekonomi pada Isnin memutuskan memberi peruntukan sebanyak RM100 juta kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik segera 2,000 kakitangan baharu secara kontrak. Selain itu RM500 juta lagi ditambah untuk membeli peralatan yang digunakan frontliner seperti peralatan perlindungan diri (PPE), ventilator dan peralatan ICU bagi memastikan barisan hadapan kita terus dapat berkhidmat di tahap terbaik.

Penulis lebih lagi gembira apabila melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan oleh Perdana Menteri berjumlah RM250bilion, di dalamnya Kerajaan menyediakan pelbagai insentif kewangan berbentuk elaun kepada para doktor, jururawat dan kakitangan perubatan yang menjadi barisan hadapan kita. Malah anggota keselamatan juga mendapat pembelaan dari kerajaan.

Ia ibarat rezeki terpijak di sebaik kesulitan yang dilalui, tetapi pokok pangkalnya semua ini tidak lain adalah  untuk menghargai mereka yang telah berkorban kudrat, keringat, masa bersama keluarga dan yang lebih besar mempertaruhkan nyawa masing-masing untuk menyelamatkan rakyat.