Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. Aziz
Prof. Madya Dr Muhammad Ridhwan Ab. AzizFakulti Ekonomi dan Muamalat

Umat Islam di seluruh dunia amat terkesan dengan pengisytiharan yang telah dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump baru-baru ini. Pengisytiharan ini adalah bagi mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara bagi negara haram Israel. Namun, bagi sesetengah pihak, pengisytiharan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Bahkan, jika kita susuri sejarah, hakikatnya perancangan untuk membina penempatan haram kepada golongan yahudi di Palestin telah dilakukan sejak tahun 1897 melalui Kongres Pertama Zionis yang telah diadakan di Switzerland. Keadaan ini berlarutan sehingga tertubuhnya negara haram Israel pada tahun 1948.

Ini menunjukkan betapa konsistennya perancangan puak-puak zionis yahudi untuk menakluk Palestin dari tangan umat Islam sejak dahulu lagi dengan pelbagai usaha dan tindakan jahat mereka. Persoalannya, di manakah silapnya sehingga perkara seburuk ini boleh menimpa umat Islam? Di manakah kesepakatan dan perpaduan umat Islam dalam isu ini? Atau adakah umat Islam sama-sama menyumbang kepada pencerobohan haram bangsa yahudi terhadap umat Islam Palestin? Bagi umat Islam, Baitulmaqdis merupakan salah satu kota suci selain Makkah dan Madinah yang wajib dipelihara kesuciannya. Ini selaras dengan Firman Allah yang bermaksud “Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (17: 1). Kesucian Masjid al-Aqsa juga dijelaskan dalam hadith Nabi yang bermaksud “Bersungguh-sungguhlah untuk melakukan perjalanan (dengan tujuan beribadat) ke tiga destinasi iaitu Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa” (Riwayat Muslim).

Dalam pada itu, seluruh dunia seakan-akan hanya mampu melihat setiap keganasan, kezaliman dan pembunuhan secara terbuka yang telah dilakukan oleh zionis yahudi ini terhadap umat Islam di Palestin. Apakah hanya doa dan demonstrasi aman bagi membantah tindakan zalim ini yang telah dilakukan oleh umat Islam di pelbagai negara mampu dan berupaya menamatkan konflik terburuk ini?

Faktor utama yang mendorong konflik ini berpunca dari kerapuhan perpaduan dan kesepakatan umat Islam sejagat bagi menangani konflik tersebut sejak dahulu hingga kini. Malah, terdapat negara-negara Islam tertentu yang dilihat sama-sama bersekongkol dengan Israel dan negara-negara barat bagi menghalalkan pencerobohan dan pemilikan terhadap tanah umat Islam Palestin. Tindakan oleh negara-negara Islam terbabit dilihat sebagai satu usaha untuk menyelamatkan diri sendiri daripada gangguan negara-negara kuasa besar tersebut. Mengapa perkara sebegini boleh terjadi? Sebab utama yang mendorong terjadinya perkara ini adalah berpunca dari kelemahan umat Islam dan negara-negara Islam dari sudut penguasaan ilmu pengetahuan, ekonomi dan teknologi terkini. Ini menyebabkan mereka terpaksa untuk terus bergantung harap kepada kuasa-kuasa besar terbabit termasuk akur dan menerima sebarang cadangan dan tindakan daripada mereka bagi mengekalkan kuasa dan membangunkan negara masing-masing. Tetapi, tanpa mereka sedari, sebarang bantuan yang diberikan dalam apa jua bentuk oleh negara-negara barat tersebut kepada umat Islam adalah bersifat sementara dan terselit agenda tertentu termasuklah bagi memecahbelahkan kesatuan dan perpaduan ummah.

Di samping itu, kecenderungan majoriti daripada umat Islam di seluruh dunia kepada aspek materialistik atas asas mengejar kemajuan moden mendorong sifat tolong-menolong dan saling peduli dengan nasib sesama saudara Islam semakin terhakis dari jiwa dan naluri umat Islam. Maka, tidak hairanlah apa sahaja kezaliman yang dilakukan oleh zionis yahudi terhadap umat Islam Palestin hanya mampu dilihat tanpa sebarang usaha yang lebih jitu dan bermakna dapat dilakukan. Kelekaan dan keseronokan mengejar kebahagiaan material menghalang umat Islam mencari solusi bagi memberikan keadilan sebenar buat umat Islam Palestin. Kemudaratan bagi mereka yang asyik dan bersifat materialistik ini jelas digambarkan oleh ayat al-Quran yang bermaksud “Barangsiapa menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, niscaya Kami berikan kepada mereka balasan perkerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh di akhirat kecuali Neraka dan lenyaplah di akhirat apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan” (11: 15-16).

Dalam pada itu, terdapat beberapa ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang keburukan sifat materialistik ini seperti Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan (tidak percaya akan) pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan kehidupan dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan dunia itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami, mereka itu tempatnya ialah Neraka, disebabkan oleh apa yang selalu mereka kerjakan” (10: 7-8). Firman Allah SWT lagi “Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia, sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai” (30: 6-7). Allah SWT juga berfirman “Atau apakah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu)” (25: 44).

Namun begitu, kita masih bersyukur di mana terdapat pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh umat Islam di negara ini dan luar negara bagi terus membantu umat Islam di Palestin sama ada oleh individu, parti politik, NGO dan pelbagai pertubuhan yang lain. Walaupun usaha-usaha sebegini belum lagi memberikan penyelesaian yang sebenar dan membuahkan hasil yang diharapkan namun, sedikit sebanyak telah berjaya memberikan kesedaran kepada semua pihak berkenaan kezaliman sebenar zionis yahudi dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bebanan umat Islam di sana. Bagi menyelesaikan konflik ini, umat Islam dan negara-negara Islam perlu lebih menonjolkan kesepakatan bersama bagi menangani isu ini supaya ia tidak menjadi lebih buruk. Sebarang usaha ke arah perpaduan perlu diraikan dan sifat berlapang dada perlu dipraktiskan oleh semua pihak bagi mendesak Amerika Syarikat menarik balik pengisytiharan haram ini dan seterusnya memberikan solusi yang sebenar.

Umat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar yang menggalakkan umatnya untuk terus berjihad sama ada jihad dari segi penguasaan ilmu pengetahuan, teknologi terkini dan jihad ekonomi demi kelangsungan umat Islam di negara masing-masing. Ini bagi mengelak sebarang usaha dari kuasa-kuasa besar dan barat yang bersifat imperialis untuk terus memperkotak-katikkan kesepakatan dan perpaduan umat dan negara Islam. Pemantapan jati diri dengan nilai-nilai murni Islam yang sebenar perlu diterapkan sejak awal bagi mengikis sifat tamak, mementingkan diri sendiri, cenderung kepada materialistik dan tidak cakna kepada nasib umat Islam yang lain. Pemupukan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, reda, sabar, zuhud, syukur dan kasih sayang perlu diutamakan dan dipergiatkan oleh semua pihak bagi menjamin keutuhan politik dan ekonomi umat Islam terus terpelihara serta dapat mengelak dari sebarang campur tangan pihak-pihak yang berkepentingan jahat. Didoakan konflik Palestin ini dapat menyemarakkan perpaduan seluruh ummah di seluruh dunia bagi menyelesaikan konflik yang tidak berkesudahan ini dan menemui solusi yang paling adil dan terbaik demi umat Islam Palestin.