Kepelbagaian bangsa, negara dan jantina di kalangan orang Islam sedunia disatukan atas keimanan yang sama iaitu keimanan kepada Allah Taala dan Rasulullah. Kesatuan yang berasaskan keimanan di dalam hati orang Islam telah merentasi segala perbezaan fizikal yang terdapat pada tubuh badan mereka. Oleh kerana itulah Allah Taala berfirman “Sesungguhnya orang-orang beriman itu saling bersaudara” (Surah al-Hujurat: 10). Keimanan menjadi ikatan yang menjalinkan hubungan persaudaraan antara orang Islam walaupun sebahagian besar daripada mereka tidak pernah mengenali dan berjumpa. Atas dasar persaudaraan ini, agama Islam meletakkan tanggungjawab ke atas setiap orang Islam untuk saling membantu dan mengambil cakna terhadap apa yang berlaku kepada saudara seagama. Dalam satu riwayat hadis dikatakan bahawa Muslim yang tidak mengambil berat terhadap urusan orang Islam yang lain maka dia bukanlah tergolong bersama orang Islam tersebut (riwayat al-Tabrani). Manakala Rasulullah turut bersabda bahawa sesiapa yang tidak mengasihi maka dia tidak akan dikasihi (riwayat al-Bukhari).
Peperangan yang sedang berlaku di bumi Palestin adalah satu isu yang perlu diambil berat oleh semua orang Islam di dunia kerana ia melibatkan hak keselamatan dan tempat tinggal bagi penduduk Palestin yang sedang diancam sehingga melibatkan kehilangan nyawa dan harta benda. Bukan sahaja tempat tinggal mereka dihancurkan, bahkan mereka dihalau dan terpaksa meninggalkan kediaman bagi menyelamatkan diri dan keluarga. Tindakan yang dilakukan oleh pihak Zionis ini adalah seburuk-buruk penindasan yang merobek hak kemanusiaan yang merupakan perkara asas yang dimiliki oleh seluruh warga dunia.
Sebagai seorang manusia, kita akan mempertahankan hak yang dimiliki dan menentang sesiapa yang mengancam keselamatan diri dan keluarga demi mendapatkan kehidupan bahagia dan tenang. Maka, orang Islam yang mempunyai kesempurnaan iman akan memperjuangkan perkara yang sama untuk saudara Islam yang lain khasnya mereka yang sedang ditindas di Palestin. Hal ini bertepatan dengan hadis yang menyebutkan bahawa tidak sempurna iman seseorang melainkan dia mengasihi sesuatu bagi saudaranya sebagaimana dia mengasihi perkara tersebut bagi dirinya sendiri (riwayat al-Bukhari). Kekacauan yang sedang melanda saudara Islam di Palestin bukan hanya satu ujian kepada mereka yang berada di sana, namun ia juga adalah ujian kepada kita yang sedang menikmati keamanan di sini. Ujian kepada kita adalah untuk menguji sama ada kita mampu memenuhi tanggungjawab sebagai seorang saudara seagama kepada mereka yang berada dalam peperangan atau kita hanya berdiam diri dalam kesenangan tanpa menitipkan sebarang doa mahupun sumbangan kepada mereka.
Imam al-Ghazali telah menyenaraikan puluhan adab-adab persaudaraan di dalam kitab Bidayat al-Hidayah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap orang Islam. Antaranya adalah memberikan bantuan dengan segera tanpa berlengah dan mengeluh. Penduduk di Palestin yang kehilangan keluarga dan tempat tinggal sangat memerlukan bantuan dengan segera kerana ia melibatkan perlindungan serta keselamatan mereka. Sebagai seorang Muslim, kita harus menyalurkan bantuan kepada mereka mengikut kemampuan masing-masing tanpa berasa terbeban atau terpaksa kerana bantuan ini adalah manifestasi daripada sifat kasih sayang terhadap saudara seagama. Walaupun kita turut berada dalam kesusahan dan ujian hidup, namun pengorbanan dan sifat mengambil berat terhadap saudara yang lain boleh meringankan bebanan yang sedang kita hadapi. Pemberian bantuan kepada mereka yang memerlukan boleh menjadi sebab untuk kita mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah Taala.
Bagi mereka yang tidak mampu memberi sumbangan dalam bentuk harta, maka jalan terakhir untuk melunaskan tanggungjawab persaudaraan ini adalah melalui doa yang penuh keikhlasan kepada saudara kita di bumi Palestin kerana Rasulullah bersabda bahawa doa adalah senjata orang Mukmin (riwayat al-Hakim). Memenuhi tuntutan persaudaraan antara orang Islam walau melalui sekecil-kecil cara seperti berdoa sekalipun boleh menjadi bukti tanggungjawab seorang Muslim terhadap Pencipta dan saudara seagama. Semoga titipan doa daripada seluruh umat Islam sedunia dapat memberikan kemenangan dan keselamatan kepada rakyat Palestin yang sedang berjuang meneruskan kehidupan di sana.