Dr. Nurkhamimi Zainuddin
Dr. Nurkhamimi Zainuddin Timbalan Pengarah, GOAL- ITQAN

Kemajmukan masyarakat yang berbilang agama dan etnik menjadi lambang keunikan Malaysia di pentas dunia. Malaysia diangkat sebagai sebuah negara yang menganjurkan toleransi dan modenisasi dalam kalangan negara jiran.

Mutakhir ini, kita dikejutkan dengan berita keganasan dan ideologi ekstremisme yang membimbangkan dan semakin menular di kebanyakan negara dunia. Jumlah serangan pengganas terus meningkat dari semasa ke semasa. Serangan di atas Jambatan Westminister berhampiran bangunan Parlimen Britain di London baru-baru ini membuktikan ancaman keganasan boleh menular bukan sahaja di Eropah malah di rantau Asia dan ia tidak boleh diambil mudah oleh negara-negara di rantau ini.

Komitmen Malaysia
Justeru Malaysia terus menunjukkan komitmen dan usaha berterusan untuk memperkemaskan lagi inisiatif memerangi keganasan. Rundingan juga telah diadakan bersama Menteri bagi Asia dan Pasifik United Kingdom, Alok Sharma, bagi mengukuhkan lagi kerjasama mengekang keganasan dan ekstremisme.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dipetik berkata, kerjasama antara Malaysia dan UK telahpun sedia terjalin antara pasukan keselamatan kedua-dua negara tentang bagaimana untuk menangani keganasan antarabangsa.

Malaysia turut menyatakan kesediaan berkongsi pengalaman dan mencontohi UK dalam pelaksanaan program deradikalisasi untuk menangani keganasan serta program pemulihan anggota ekstremis.

Penubuhan KSCIP tepat pada masanya
Melihat kepada senario yang amat membimbangkan ini, rakyat di serata dunia amat mengharapkan agar penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang melibatkan kerjasama antara Intellectual Welfare Centre (IWC), Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), Kementerian Pertahanan Malaysia dan Arab Saudi, Rabitah Al Alami Al Islami (Rabitah) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dapat disegerakan bagi mengekang berlakunya kejadian serangan seperti di London terhadap rantau ini.

Penubuhan dilihat KSCIP mampu melonjak nama Malaysia dalam memberi dan meningkatkan kefahaman sebenar Islam kepada masyarakat dunia termasuklah yang bukan Islam. Pada masa yang sama menjelaskan dasar Wasatiyyah yang didokong oleh Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

Apa yang pasti, KSCIP ada mekanisme yang telah melalui penilitian untuk dibangunkan bagi membatasi ekstrimis, supaya kematangan dalam ruang demokrasi dan menangkis fahaman kebencian serta ketakutan dapat diwujudkan dalam jiwa masyarakat Malaysia.

Adalah menjadi harapan rakyat agar KSCIP mengetengahkan konsep Wasatiyyah yang menganjurkan nilai kesopanan dan kesusilaan kepada setiap ahli masyarakat. Malah, konsep ini sebenarnya membina satu budaya sivik dan matang dalam membincangkan sesuatu permasalahan masyarakat.

Konsep Wasatiyyah amat sejajar dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Hujurat ayat 49 yang menyebut tentang pentingnya komunikasi dan persaudaraan sesama manusia yang berbilang bangsa dan kepercayaan.

Selain itu ia turut menjadi wadah tarbiyah kepada pemimpin dan rakyat Malaysia supaya menolak pemikiran ekstrimis politik dan agama demi kestabilan negara terjamin. Pembasmian ekstrimis melalui konsep ini bakal meletakkan negara di bawah fasa stabil dan harmoni, melangkaui perbezaan fahaman kepartian dan agama.