Prof. Madya Dr. Mohd Zohdi Mohd Amin
Prof. Madya Dr. Mohd Zohdi Mohd AminFakulti Pengajian Quran dan Sunnah

“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Lalu Malaikat berkata, “Mengapa Engkau mahu menjadikan khalifah di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?”

Tetapi Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui” al-Baqarah ayat 30. Persoalannya apakah perkara yang dimaksudkan Allah yang tidak diketahui oleh para malaikat? Jawapannya terkandung pula dalam ayat seterusnya, “Dan Dia mengajarkan Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakan kepada para malaikat, lalu berfirman, “sebutkanlah kepada Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang yang benar!”

Setelah Adam a.s. mengetahui apa yang telah diajarkan Allah s.w.t. segala nama-nama keseluruhannya, maka bersujudlah semua malaikat tanda penghormatan kepada manusia kecuali Iblis.  Iblis merasakan bahawa dia adalah penciptaan yang lebih mulia dari Adam a.s. Kerana itu dia telah bersumpah sehingga hari kiamat untuk menyesatkan manusia, dan membuktikan bahawa manusia akan melakukan kerosakan serta menumpahkan darah, sekalipun manusia telah mengetahui nama-nama keseluruhannya.

Berdasarkan garis masa sejarah ketamadunan manusia yang sering disebutkan oleh ilmuwan barat, sejarah manusia bermula dari zaman batu. Kononnya manusia pada zaman itu tidak mengetahui apa-apa. Mereka tidak boleh bercakap, tiada bahasa yang khusus, tidak berpakaian malah hidup di dalam gua. Namun mereka mula berkembang sedikit demi sedikit mencapai kemajuan. Sehingga akhirnya mempunyai tamadun dan teknologi yang hebat sepertimana kita berada sekarang.

Itulah garis masa sejarah yang melekat dalam setiap kotak fikiran kita. Apabila disebut zaman purba, pasti yang terbayang adalah orang yang tinggal di dalam gua. Yang hanya memakai cawat tidak berbaju. Yang hidupnya hanya memburu binatang dan tiada kemajuan.

Adakah Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa diturunkan di dunia dalam keadaan hina tanpa pakaian? Sudah tentu tidak sama sekali. Di zaman nabi Adam a.s. sudah ada kemajuan dalam pertanian dan penternakan binatang. Baginda boleh berkata-kata, berpakaian dan mempunyai kehidupan seperti kita pada hari ini.

Lupakah kita dengan kisah Nabi Nuh a.s. yang telah berjaya membina sebuah kapal laut yang sangat besar, yang mana tentunya mempunyai teknologi pembinaan kapal yang sangat hebat. Begitu juga dengan zaman nabi-nabi yang lain di mana kaum-kaum mereka mempunyai kemajuan teknologi yang sangat hebat. Ada yang mampu membina empangan dan saliran air, membina gedung bangunan yang sangat besar serta pelbagai kemajuan lain. Itu membuktikan bahawa ribuan tahun sebelum masihi lagi manusia telah mencapai tahap kegemilangannya.

Sebuah artifak yang begitu unik telah ditemui dalam tamadun Babylon. Setelah dikaji ternyata ia adalah sebiji bateri. Ternyata kerajaan kuno Babylon sudah mempunyai teknologi elektrik beribu tahun sebelum kita. Ini semua tidak lain menunjukkan zaman batu tidak wujud, begitu juga zaman gangsa, dan logam. Apatah lagi dakwaan menyatakan manusia ini terhasil dari sekumpulan beruk sebagaimana teori Darwin.  Lalu jika benarlah manusia sudah mencapai kemajuan dan hidup dalam bangsa yang bertamadun sejak nabi Adam a.s. mendiami bumi, bagaimana dengan fosil-fosil yang ditemui oleh arkeologi barat. Penemuan mereka membuktikan wujud manusia pra sejarah yang hidup dalam keadaan primitif.

Inilah jawapan sebenar yang akan kami bentangkan kepada pembaca, siapakah makhluk-makhluk yang didakwa sebagai manusia pra sejarah. Makhluk inilah yang disebutkan malaikat yang pernah hidup dan mendiami bumi sebelum nabi Adam a.s. dan Siti Hawa diciptakan. Dan makhluk inilah juga yang melakukan kerosakan serta pertumpahan darah.

Menjawab Teori Darwin
Darwin mendakwa manusia berasal dari sejenis Chimpanze yang mengalami perubahan atau perkembangan (evolusi), sedangkan menurut Dr. Mohd. Zohdi Mohd Amin, Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian al-Quran dan as-Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kenyataan itu sangat bertentangan dan bercanggah dengan ajaran agama Islam mahupun Kristian.

Bahkan ramai juga cendekiawan yang menolak teori tersebut, antaranya Sir Francis Crick seorang saintis yang pernah dianugerahkan hadiah Nobel kerana menemui struktur DNA. Melalui kajiannya terhadap DNA, dia menyangkal teori Darwin kerana dianggap tidak berasas dari sudut sains.

Jika manusia berasal dari beruk, mana mungkin dalam surah al-Maidah ayat 27 hingga 31, Allah memerintahkan Qabil dan Habil mempersembahkan korban berupa binatang ternakan dan hasil pertanian yang terbaik kepada Allah. Ini menunjukkan pada ketika itu sudah ada teknologi penternakan dan pertanian. Dan ini juga membuktikan zaman tersebut sudah ada kemajuan bukannya hidup secara primitif.

Lebih menguatkan lagi hujah, Allah s.w.t. dengan jelas berfirman, “Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Sudah tentu seorang khalifah itu mempunyai kemampuan dan kebolehan mentadbir bumi berbanding sebagaimana yang digambarkan sebagai orang purba.

Justeru jika Adam a.s. bukanlah berasal dari makhluk primitif dan bukan dari sekawan beruk, persoalannya siapakah makhluk yang disebutkan oleh arkeologi barat yang hidup ratusan atau jutaan tahun lalu? Yang mana mereka hidup secara nomad bersandarkan beberapa penemuan arkeologi.

Kemungkinan besar mereka ini adalah makhluk yang pernah mendiami bumi sebelum diciptakan nabi Adam a.s. Tidak dinafikan memang ada makhluk yang pernah hidup di bumi sebelum Allah menghapuskan mereka kerana kerosakan yang mereka lakukan. Itu bersandarkan kata-kata malaikat, “Mengapa Engkau (wahai Allah) mahu menjadikan khalifah di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah”. Apa yang diperkatakan oleh malaikat itu membuktikan, pernah wujud makhluk lain selain manusia yang mendiami bumi.

Ada kemungkinan segala fosil yang ditemui oleh ahli arkeologi barat bukanlah manusia primitif seperti yang mereka dakwa, tetapi itu semua adalah makhluk dari golongan jin. Termasuklah makhluk purba yang dikatakan wujud sejak jutaan tahun yang lalu, ujarnya.

Jika kita melihat pada tafsiran Ibnu Abbas terhadap ayat di atas, beliau menyatakan, “Allah telah mengeluarkan Adam daripada syurga sebelum ia di masuki oleh sesiapa. Allah berfirman: (“aku menjadikan khalifah di bumi. Mereka (Malaikat) berkata, “Adakah Engkau (tuhan) menjadikan bumi individu yang akan melakukan kerosakan dan menumpahkan darah).

Dan dahulunya di bumi, dua ribu tahun sebelum terciptanya (Adam a.s), ia telah didiami oleh bangsa jin keturunan al-Jan, merekalah merosakkan muka bumi dan menumpahkan darah. Apabila Allah berfirman, “(adakah Engkau (tuhan) menjadikan di bumi individu yang akan melakukan kerosakan)” sebagaimana apa yang dilakukan oleh jin keturunan al-Jan? maka Allah berfirman (sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahuinya)”.

Ujar Dr. Mohd Zohdi, berdasarkan tafsiran Ibn Abbas di atas, diketahui kaum jin merupakan penghuni bumi terawal sebelum manusia. Setelah itu, berlakunya pertumpahan darah akibat tindak-tanduk jin di atas muka bumi lantaran itu mereka dibinasakan oleh Allah.  Tafsiran ini juga menjelaskan bahawa sebelum manusia, bumi dihuni oleh makhluk jin. Dan tidak dipastikan semenjak bila jin menghuni bumi. Namun yang pasti ialah sebelum Adam a.s. dicipta, seperti dalam firman Allah surah al-Hijr ayat 27, “dan kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas”.

Sebelum Adam a.s. selaku manusia pertama dicipta, bani al-Jan telah melakukan kerosakan. Di situ ada kebarangkalian bahawa kewujudan jin di atas muka bumi sebenarnya jauh lebih awal daripada saat mereka melakukan pertumpahan darah dan melakukan kerosakan di atas muka bumi. Manakala tempoh dua ribu tahun merujuk kepada saat jin diperangi oleh malaikat dan bukannya saat al-Jan dicipta.

Jadi boleh kita simpulkan bahawa, manusia bukanlah makhluk pertama yang tinggal di bumi tetapi didahului oleh jin. Lalu tidak mustahil bahawa jin telah wujud jutaan tahun sebelum kewujudan manusia. Ianya sesuai dengan penemuan arkeologi kesan peninggalan purba yang dikatakan berusia jutaan tahun.
Sedangkan mengikut perkiraan, kemunculan keturunan Adam a.s. di muka bumi hanyalah dianggarkan sekitar enam ribu tahun sebelum masihi sahaja. Ia tidaklah sampai kepada tempoh jutaan tahun sebagaimana yang didakwa oleh teori Darwin.

Dengan itu boleh dikaitkan dengan kehidupan jin berketurunan al-Jan dan bukannya manusia dari keturunan Adam a.s. Makhluk jin dari keturunan al-Jan ini berkemungkinan melalui kehidupan yang bersifat primitif. Bahkan tidak mustahil ianya melalui proses perubahan dari satu bentuk kepada satu bentuk yang lain sesuai dengan teori Darwin.

Dinosaur Bangsa Jin
Sebagaimana yang disebutkan oleh Dr. Mohd Zohdi, golongan jin yang mendiami bumi ketika itu terbahagi kepada tiga kategori berdasarkan kepada nas-nas dalil hadis Nabi s.a.w. Kategori pertama mempunyai bentuk fizikal yang zahir. Kategori kedua mempunyai bentuk fizikal yang ghaib dan ringan. Manakala yang ketiga mempunyai bentuk fizikal yang ghaib dan mirip kepada manusia.

Di sini didatangkan dua riwayat yang menceritakan tentang jenis-jenis jin tersebut. Hadis pertama diriwayatkan oleh Abi Tha’labah al-Kushani r.a. dari Baginda s.a.w. bersabda “Jin terbahagi kepada tiga golongan, satu golongan ialah anjing dan ular, satu golongan terbang di udara, dan satu golongan bermukim dan berpindah” (HR Ibnu Hibban). Dalam riwayat lain dari al-Tahawi, Abu al-Shaykh dan Ibn Abd al-Barr menyatakan, “Jin terbahagi kepada tiga bahagian, satu pertiga mempunyai sayap terbang di udara, satu pertiga anjing dan ular dan satu pertiga bermukim dan berpindah”.

Manakala dalam hadis kedua diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya dalam Hawatif al Jinnan, Abu Shaykh dan Ibnu Abd. Barr meriwayatkan bahawa Abu Darda meriwayatkan dari Baginda s.a.w. “Allah menjadikan jin kepada tiga kelompok, satu berbentuk ular, kala jengking, serangga atau kutu tanah. Satu kelompok seperti angin di udara dan satu kelompok lagi adalah dikenakan perhitungan (amalan) dan dikenakan balasan”.

Dari kedua-dua hadis ini, ia menggambarkan bahawa kelompok yang ketiga mempunyai beberapa persamaan dengan manusia terutama apabila ia disifatkan sebagai golongan yang menetap (di suatu tempat) atau berpindah (ke suatu tempat). Ia menggambarkan bahawa jin jenis ini mempunyai kehidupan yang mirip dengan kehidupan manusia. Mereka memerlukan tempat berlindung untuk keperluan hidup. Mereka juga perlukan pergerakan ke suatu tempat untuk memenuhi keperluan hidup.

Petunjuk dari dalil ini juga tidak menjadi halangan untuk jin menjadi makhluk yang mempunyai fizikal yang zahir. Jin tidak dapat dilihat oleh manusia kerana dijadikan hijab atau penghalang di antara jin dan manusia. Seandainya hijab ini disingkap sudah tentu golongan jin boleh dilihat oleh manusia. Mengapa berlakunya hijab antara manusia dengan Jin? Itu berlaku sesuai manusia diciptakan Allah dan ditempatkan di dunia ini. Sebelum kejadian manusia, tidak terdapat hijab berkenaan. Justeru itu jin hidup sama seperti manusia khususnya dari kategori yang ketiga.

Meskipun golongan jin mempunyai asal kejadian yang berbeza dengan asal kejadian manusia, namun ia tidak menjadi halangan untuk jin mempunyai tubuh badan yang fizikal sebagaimana manusia. Ini sesuai dengan kategori pertama yang disebutkan tentang bentuk jin yang jelas mempunyai anggota fizikal dalam bentuk anjing. Hakikat ini sabit melalui beberapa hadis antaranya:

Dari Abu Dzar, bersabda Baginda s.a.w. “Anjing hitam adalah syaitan” (HR Muslim)
Manakala dari Jarir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “bunuhlah anjing hitam pekat, sesungguhnya ianya syaitan” (HR Ibnu Hibban).

Dari dua lafaz hadis ini, ia menggambarkan bahawa anjing hitam adalah syaitan. Tidak dinyatakan dalam lafaz ini bahawa ianya adalah jelmaan syaitan. Pun begitu beberapa ulama tersohor seperti al-Khattabi, dan Ibnu Qutaybah berpandangan lafaz syaitan yang dimaksudkan dalam hadis di atas bukan secara mutlaknya bermaksud keturunan jin, tetapi kiasan kepada sifat anjing hitam yang buruk dan kurang manfaatnya.

Tafsiran al-Khattabi dan Ibnu Qutaybah ini disangkal pula oleh pandangan Ibnu al-A’rabi yang mengatakan bahawa anjing adalah kategori jin yang paling lemah dan rendah. Pandangan ini dikukuhkan dengan hadis bersifat mawquf yang bermaksud,  Ibnu Abbas r.a. berkata, “Sesungguhnya anjing daripada jin. Ianya selemah-lemah jin. Sesiapa yang didatangi anjing ketika berhadapan dengan makanan, hendaklah diberikannya makan atau ditangguhkan makan.”
Riwayat Ibnu Abbas r.a. yang diriwayatkan oleh al-Shibli dengan jelas mengatakan bahawa anjing adalah daripada jin dan merupakan kategori jin yang paling lemah. Riwayat ini meskipun mawquf namun selari dengan sebuah hadis lain yang juga diriwayatkan oleh Ibnu Abbas secara marfu’.

Dari Baginda s.a.w. “Kalaulah tidak kerana anjing adalah satu umat, pastinya akan aku perintahkan agar membunuh setiap anjing yang hitam gelap, maka bunuhlah anjing yang bermata besar kerana ianya terlaknat daripada kalangan jin”.

Dalam sebuah hadis lain riwayat Imam Muslim, Abi Said al-Khudri telah mengesahkan bahawa seekor ular yang dibunuh oleh seorang sahabat nabi, disahkan oleh Rasulullah sebagai jin yang telah masuk agama Islam. Sehubungan dengan itu Baginda s.a.w. telah meminta umat Islam agar tidak sewenang-wenangnya membunuh ular yang masuk ke dalam rumah. Dikhuatiri ianya adalah dari jenis jin Islam.

Sabda Baginda s.a.w “Sesungguhnya di Madinah terdapat jin yang telah masuk Islam. Sekiranya kamu melihat sebahagian daripada mereka, berilah amaran kepada mereka selama tiga hari. Sekiranya ia masih muncul kepada kamu selepas itu, maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya ia adalah syaitan”. Dari itu, dalil-dalil yang dikemukakan ini menguatkan hujah bahawa kewujudan mereka secara zahir sama sebagaimana wujudnya binatang-binatang lain. Justeru mereka juga boleh dibunuh dan berlakunya pertumpahan darah.

Tegas Dr. Mohd Zohdi, “saya cenderung berpendapat bahawa jin tersebut benar-benar dalam bentuk tersebut dan bukan jelmaan. Lalu tidak mustahil jika kita katakan haiwan pra sejarah yang disebutkan oleh cendekiawan barat seperti dinosaur juga sebenarnya adalah merupakan bangsa Jin. Mereka hidup jutaan tahun yang lalu di mana hanya fosil mereka sahaja yang ditemui hingga kini”.

Bukti Makhluk Primitif adalah Jin
Dalam pada itu, sebuah hadis yang diriwatkan oleh Ibnu Mas’ud r.a. beliau mengisahkan pengalaman beliau mengikut Baginda s.a.w. berdakwah kepada golongan jin. Menurut Ibnu Mas’ud, “Rasulullah s.a.w. telah solat Isyak, kemudian beliau berpaling lantas dia memegang tangan Abdullah bin Mas’ud hingga keluar dengannya ke Batha’ di Mekah. Maka disuruhnya dia duduk kemudian digariskan atas tanah satu garisan. Kemudian Baginda bersabda, “Jangan engkau tinggalkan garisanmu, maka sesungguhnya akan berhenti ke tempatmu beberapa orang lelaki, maka janganlah kamu bercakap dengan mereka, sesungguhnya mereka tidak bercakap dengan kamu.

Kemudian Rasulullah pergi mengikut kehendaknya. Maka ketika aku duduk pada garisan tersebut tiba-tiba datang kepadaku beberapa orang lelaki seperti orang-orang hitam legam bulu dan tubuh mereka. Pada tubuh mereka aku tidak nampak aurat dan pakaian. Mereka berhenti berhampiranku tetapi tidak melebihi had garisan…”.

Jika bersandarkan riwayat ini, rupa paras makhluk tersebut adalah merupakan rupa parasnya yang sebenar, kerana jin itu seolah-olah tidak menyedari kewujudan Ibnu Mas’ud ditempat tersebut, kerana dilindungi oleh garisan yang dibuat oleh Baginda s.a.w. bagi melindungi beliau.

Justeru dapat difahami bahawa rupa paras jin (jenis ketiga) adalah mempunyai bentuk seperti manusia, berbulu lebat dan berwarna hitam sehingga tidak menampakkan kulitnya. Manakala dalam riwayat Ahmad lafaznya, “…mereka tidak memakai pakaian, dan aku tidak nampak aurat mereka (tubuhnya) tinggi, dan (tubuhnya) mempunyai isi daging yang sedikit…”

Dalam kedua hadis ini tidak disebutkan mereka mempunyai sayap, jadi boleh difahami ianya merupakan jin dari kategori yang ketiga. Jin jenis ini melata di bumi dan tidak boleh terbang. Lalu kita faham bahawa jin dalam kategori ketiga mempunyai paras rupa dan tubuh yang mirip kepada manusia. Kerana itu dalam hadis Abi Tha’labah, kumpulan ini sifatkan sebagai (Yahulluna wa yaz a’nuna).

Menurut al-Harawi, perkataan (Yahulluna) bermaksud singgah di sesuatu tempat dan ada kalanya bermukim di tempat tersebut. Manakala perkataan (Yaz a’nuna) bermaksud bermusafir pada kemudian kalinya. Jadi berdasarkan kepada penggunaan perkataan ini dalam hadis, jelas difahami bahawa jin dari kategori ketiga tidak mempunyai sayap. Mereka berpindah dari satu tempat ke satu tempat menggunakan kenderaan atau berjalan sebagaimana manusia. Ada kemungkinan yang besar bahawa makhluk purba yang hidup secara primitif yang disebutkan oleh cendekiawan barat adalah dari kalangan jin berkenaan.

Kejadian Jin Menurut al-Quran
Apabila kita menyebutkan rupa bentuk jin, sudah pasti yang terbayang dalam kotak fikiran kita adalah makhluk yang mengerikan, dan tidak mempunyai jasad. Sejauhmana benarnya anggapan tersebut kita melihat kembali kepada penciptaan jin yang disebutkan dalam al-Quran dan Hadis.

Makhluk jin yang mula-mula dicipta adalah al-Jan, yang merupakan bapa kepada semua jin sebagaimana Adam a.s. sebagai bapa kepada seluruh manusia. Dalam sebuah hadis dari Aisyah r.ha. Baginda s.a.w. bersabda, “Malaikat diciptakan daripada cahaya, al-Jan dicipta dari lidah api yang menjulang-julang, manakala Adam dicipta dari apa yang telah disifatkan kepada kamu”. (HR Muslim).

Hadis ini menjelaskan bahawa asal kejadian al-Jan ialah lidah api. Dan ia selari dengan firman Allah surah ar-Rahman ayat 15 bermaksud, “Dan Dia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang.”

Meskipun jin berasal dari api, namun itu tidak bermakna ianya masih kekal dalam bentuk api. Keadaan anak cucu al-Jan telah berubah kepada suatu bentuk kehidupan yang lain sebagaimana berubahnya anak cucu Adam a.s. yang asalnya dicipta daripada tanah.

Seperti manusia, Adam dicipta daripada tanah, tetapi manusia hari ini tidaklah kekal sebagai tanah. Hakikat ini dapat difahami dari hadis Baginda s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud.

Abu Said al-Khudri mengisahkan bahawa pada suatu hari, ketika rasulullah s.a.w. sedang solat, Baginda diganggu iblis, lalu Baginda menangkapnya. Setelah itu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kalaulah kamu dapat melihat aku ketika aku pegang iblis dengan tanganku, dan aku berterusan mencekiknya hinggakan dapat aku rasakan sejuk lidahnya di antara dua jariku ini, iaitu ibu jari dan jari berikutnya (jari telunjuk). Kalaulah kerana tidak disebabkan doa saudaraku (nabi Sulaiman) pastinya ia masih terikat pada salah satu tiang daripada tiang-tiang masjid, ianya menjadi mainan kanak-kanak al-Madinah”.

Dari itu jelaslah bahawa hadis ini menyatakan pada kita bahawa jin yang ada pada hari ini tidak dalam bentuk api, bahkan telah berubah kepada suatu kehidupan yang lain sebagaimana perubahan Adam a.s. daripada tanah kepada darah, daging, kulit dan tulang. Ianya dibuktikan melalui sabda Baginda s.a.w. (hinggakan dapat aku rasakan sejuk lidahnya di antara dua jariku ini).

Ia menggambarkan bahawa iblis mempunyai bahagian tubuh yang sejuk iaitu lidahnya. Dan sekiranya jin masih dalam keadaan asal ciptaannya iaitu api, pastinya Baginda s.a.w. akan merasa lidahnya panas. Bahkan mungkin akan menyebabkan tangan Baginda akan terbakar atau melecur kerana kepanasan api. Dari itu terbuktilah bahawa jin yang ada pada hari ini tidak lagi dalam keadaan bentuk api.

Walau begitu ujar Dr. Mohd Zohdi, tidak diketahui apakah komponen yang membentuk tubuh makhluk jin. Ada yang berpendapat ia mempunyai tubuh badan yang kasar sebagaimana manusia. Dan ada yang mengatakannya bertubuh halus atau seni sehingga menyebabkan manusia tidak dapat melihatnya.

Ironinya, dari apa yang kita bincangkan di atas, sesungguhnya makhluk sebelum nabi Adam merupakan perkara ghaib. Tiada dalil dari al-Quran mahupun al-Hadis yang menjelaskan secara terperinci tentang perkara ini. Apa yang disebutkan di atas adalah berasal dari pelbagai sumber yang terhad. Walaupun begitu, sebagai umat Islam kita wajib mengakui bahawa kekuasaan Allah itu melangkaui pemikiran manusia.

Allah s.w.t. berhak menciptakan makhluk berakal sebelum atau sesudah manusia. Jika ada makhluk Allah yang tidak kita ketahui, maka itu adalah hak Allah untuk menyembunyikannnya. Yang terpenting kita wajib mengimani perkara yang ghaib. Jika kita kembali kepada Al-Quran, kita akan dapati dengan jelas al-Quran hanya menggunakan nama-nama nabi sebagai ukuran masa dalam sejarah. Bermula dari nabi Adam a.s. sehinggalah kezaman nabi Muhammad hingga kini.

Itu kerana para nabi ini menjadi mewakili tempat, waktu dan ketamadunan tertentu. Dan itulah yang disampaikan dalam al-Quran. Dari situ kita akan memahami bagaimana perkembangan tamadun itu berlaku. Dan di dalam al-Quran juga menunjukkan bagaimana hancurnya tamadun-tamadun itu sehingga sekelip mata mereka boleh berubah menjadi seperti di zaman batu.

Itu kerana kekufuran sebahagian mereka kepada Allah sehingga segala kehebatan ketamadunan mereka dihancurkan dalam satu malam sahaja. Sehinggakan kita menyangka mereka inilah orang-orang dari zaman batu yang tidak pernah mencipta apa-apa.

Firman Allah s.w.t. “Sesungguhnya telah berlalu sebelum kamu sunnah-sunnah Allah (hukuman-hukuman Allah berupa malapetaka dan bencana yang ditimpakan kepada orang yang mendustakan rasul). Kerana itu berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat kesudahan orang-orang yang mendustakan rasul.”