Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini OthmanPenolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Bulan Ogos amat penting bagi Malaysia kerana beberapa hari sahaja lagi negara akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-62 tahun dan kemudiannya meraikan pula Hari Malaysia sebagai mengingati penggabungan wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia pada 16 September.

Tetapi proses pembentukan negara berdaulat ini bukannya bermula setahun dua sebelum laungan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957 bergema, ia sebenarnya telah melalui tempoh pembentukannya yang lebih panjang dari itu lagi.

Liku-likunya tajam dan onaknya juga mencengkam dengan menyaksikan tanah pertiwi ini telah dibasahi dengan banyak darah para pejuang ulung dan menguburkan ribuan jasad kaku yang terkorban mempertahankannya dari saat sebelum merdeka sehinggalah ke waktu ini. Selepas cabaran mencapai kemerdekaan, kepimpinan negara mula melihat kepada cabaran baharu iaitu bagaimana membentuk acuan terbaik untuk membina negara bangsa.

Pembinaan negara bangsa merupakan matlamat utama bagi sesebuah negara dan boleh dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara, pentadbiran serta rakyatnya. Menurut Hargue dan Harrop, bagi membentuk negara bangsa sesebuah negara itu perlu melalui empat peringkat terlebih dahulu iaitu bina negara; bina bangsa; penyertaan rakyat; dan pengagihan nilai-nilai murni dalam masyarakat.

Pembentukan negara bangsa merupakan satu perjuangan yang masih belum selesai, usaha intensif ke arahnya mula digerakkan selepas peristiwa hitam 13 Mei dan matlamatnya lebih jelas apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad menekankan keperluannya semasa memperkenalkan Wawasan 2020 pada 1991. Pahit untuk ditelan tetapi itulah kebenarannya, negara bangsa masih jauh untuk direalitikan kerana kita masih dihantui pelbagai permasalahan yang bersifat perkauman walaupun setelah negara mencapai kemerdekaan lebih enam dekad.

Lantaran itu isu negara dan bangsa Malaysia masih menjadi wadah yang kerap didebatkan oleh ahli politik, golongan akademik dan rakyat biasa. Mengapa masih gagal? Salah satu puncanya yang dapat penulis utarakan adalah kerana kegagalan kita menjadi seorang warganegara yang menghayati, memahami dan menerima sejarah pembentukan negara ini secara sepenuhnya.

Beradab menjadikan seseorang individu tahu dalam mengawal tingkah laku, sikap dan pertuturan apabila hidup dalam bermasyarakat. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang majmuk yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, amat penting untuk seorang warganegara beradab pada satu sama lain, beradab pada pemimpin dan paling penting beradab dengan sejarah pembentukan negara ini.

Ini kerana jika seorang yang bergelar warganegara tidak beradab pada sejarah pembentukan negaranya sendiri, natijahnya lahirlah se kelompok individu-individu yang kurang adab yakni biadab pada negara. Mereka biadab pada Perlembagaan Negara, biadab pada hak keistimewaan kaum lain, biadab pada kepercayaan dan anutan agama yang berbeza dan pelbagai lagi bentuk kebiadaban yang diperlihatkan tanpa rasa malu mahupun sesal. Inilah yang menjadi duri dalam daging untuk mencapai matlamat merealisasikan negara bangsa.

Hakikatnya sebesar rumah yang gah bermula dari sebiji bata dan ia boleh runtuh, roboh dan hancur dalam sekelip mata. Apakah punca kemusnahan kepada rumah tersebut boleh datang dari pelbagai punca, mungkin kerana amarah alam seperti tanah runtuh, banjir atau ribut. Robohnya juga mungkin akibat dari kecuaian manusia tapi tiada yang lebih menyedihkan jika ia roboh kerana khianat individu-individu yang berlindung di rumah itu sendiri sekian lama.

Setelah pelbagai keselesaan diterima, dapat berlindung dari hujan dan panas, mendapat pelbagai manfaat dari rumah yang diduduki tapi secara diam-diam bersikap seperti anai-anai, meratah sedikit demi sedikit tiang-tiang rumah hingga akhirnya tersembam roboh menyembah bumi. Negara ini adalah ‘rumah’ kepada orang Melayu, Cina, India dan rakyat Bumiputera di Sabah dan Sarawak justeru amat menyedihkan jika negara ini goyah kerana ada dalam kalangan kita sendiri yang menjadi anai-anainya.

Ketika kita ingin membentuk negara ini dahulu, tolak-ansur adalah kunci utamanya dengan harapan generasi selepasnya dapat mengamalkan sikap toleransi atas ‘pengorbanan besar’ yang telah dibuat bagi memastikan keharmonian sentiasa terjaga. Dalam setandan pisang, tidak semuanya berbuah baik, begitu juga dalam masyarakat kita hari ini ada juga yang cuba membuat onar apabila mempertikaikan secara terbuka dan biadab pada kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Bagi sebuah negara berbilang kaum, integrasi nasional sentiasa menjadi sesuatu yang rumit tetapi matlamat itu tidak mustahil untuk dicapai jika semua rakyat Malaysia mempunyai kesedaran, menghayati sejarah, menyedari kedudukan diri dan meletakkan kepentingan negara adalah keutamaan utama. Apabila semua rakyat beradab pada sejarah negara, sedarlah bahawa kita selangkah makin mendekati negara bangsa yang diidamkan.