YBhg. Prof. Dato Dr. Musa Ahmad
YBhg. Prof. Dato Dr. Musa AhmadNaib Canselor USIM

Kenyataan yang dibuat oleh YB Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik baru-baru ini mengenai kuota pelajar Matrikulasi mengundang pelbagai reaksi daripada banyak pihak.

Sebelum sebarang pandangan atau kenyataan dibuat, sewajarnya kita melihat terlebih dahulu sejarah dan rasional penubuhan program itu sendiri sebagai satu program persediaan bagi murid lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Program Matrikulasi merupakan satu program persediaan pra-universiti bagi lepasan SPM sebelum melanjutkan pelajaran sebelum ke peringkat Ijazah Pertama di universiti ataupun kolej universiti. Sebelum ini, program pra-universiti dikendalikan sendiri oleh setiap Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sejak lebih 30 tahun lalu dengan cara pelaksanaan mengikut keperluan IPTA masing-masing.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mac 1999 telah mengambil keputusan untuk menyatukan program Matrikulasi yang ditawarkan di IPTA sebagai persediaan pelajar bumiputera lulusan SPM bagi melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama di IPTA dalam bidang sains, teknologi dan profesional. Usaha ini penting bagi memastikan pertambahan graduan aliran Sains dalam kalangan pelajar IPTA, terutamanya pelajar bumiputera. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ketika itu mengambil inisiatif untuk menyelaraskan program tersebut secara berperingkat, dengan ambilan pertama program Matrikulasi KPM daripada murid lepasan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan MRSM. Selaras dengan hasrat mewujudkan persaingan sihat dan memantapkan integrasi nasional serta perpaduan kaum, mulai 2003, 10% peratus daripada keseluruhan pelajar Program Matrikulasi KPM dibuka kepada pelajar bukan bumiputera, dan inilah dasar yang diamalkan sehingga ke hari ini.

Apakah keistimewaan Program Matrikulasi ini sehingga menjadi ‘rebutan’ pelbagai pihak? Pertama, program ini diiktiraf oleh semua UA dan turut diiktiraf oleh beberapa universiti terkemuka luar negara seperti di United Kingdom, Australia dan Amerika Syarikat. Program ini juga menawarkan pendidikan yang menyeluruh merangkumi bidang akademik dan pembangunan kemahiran insaniah. Lulusan Program Matrikulasi KPM akan menerima Sijil Matrikulasi yang melayakkan mereka memohon untuk berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam pada Gred 29 dalam 39 skim perkhidmatan (Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2016 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2017). Kos pengajian dan penginapan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan manakala semua pelajar Program Matrikulasi KPM hanya perlu membayar yuran pendaftaran.

Pada bulan Jun 2018, di bawah kerajaan Pakatan Harapan, Menteri Pendidikan mengumumkan untuk kemasukan Matrikulasi tahun tersebut, sebanyak 84,891 permohonan ke Kolej Matrikulasi diterima oleh KPM, termasuk 20,040 permohonan daripada bukan Bumiputera, iaitu sebanyak 23.6% daripada keseluruhan permohonan. Di dalam kenyataan kepada media, beliau mengumumkan daripada jumlah pelajar bukan Bumiputera itu, sebanyak 4,068 ataupun hampir 20% daripada pemohon diterima masuk. Peratus kemasukan berbanding permohonan untuk bukan bumiputera amat besar sebenarnya, iaitu melebihi kuota 10% yang telah ditetapkan oleh kerajaan, iaitu sebanyak lebih 16%.

Statistik pada tahun 2018 menunjukkan hanya terdapat 25,000 kapasiti pengambilan keseluruhan Program Matrikulasi setiap tahun yang mana dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar Bumiputera dan 2,500 untuk bukan Bumiputera. Walaupun dasar semasa menetapkan bahawa penempatan untuk pelajar bukan bumiputera adalah seramai 2,500, KPM telah menerima masuk 4,068 pelajar, atau 1,568 pelajar lebih daripada kuota yang ditetapkan.

Kita harus faham bahawa pendidikan di negara ini perlu mengambil kira keadaan masyarakat majmuk yang wujud sejak sekian lama hasil daripada dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan oleh penjajah. KPM berpegang kepada dasar kesaksamaan atau ekuiti dalam pendidikan di mana intervensi berfokus diberikan kepada golongan yang memerlukan, tanpa mengira kedudukan geografi, sosio-ekonomi mahupun kaum. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1971 masih belum sepenuhnya dapat mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan. Ratusan tahun negara ini dijajah, mana mungkin dalam masa 62 tahun kita mampu untuk menyusun semula masyarakat Malaysia bagi memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi. Hakikatnya perlu diakui bahawa terdapat golongan yang perlu dibantu berbanding dengan kelompok yang lain.

Usaha merealisasikan ekuiti dalam pendidikan dan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa golongan berpendapatan rendah (B40), dasar pengambilan ke Program Matrikulasi KPM pada tahun 2019 telah memperuntukkan 60 peratus tempat kepada pelajar dari golongan B40 dan baki 40 peratus kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan tinggi (T20).

Pelaksanaan dasar baharu ini yang diumumkan dalam Kenyataan Media KPM pada 19 April 2019 adalah lebih seimbang dengan memberi peluang kepada pelajar yang layak dan pada masa sama memberi fokus kepada golongan B40 secara bersasar. Laporan Kanak-kanak Pinggiran Unicef Malaysia 2018 yang mengkaji 17 lokasi penempatan perumahan kos rendah mendapati kadar miskin bandar dalam kalangan kanak-kanak adalah 11%, bermakna mereka ini tidak mendapat keperluan asas seperti makanan berkhasiat, dan ada juga yang tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya. Intervensi khusus untuk mereka adalah amat perlu dan jelas sekali melalui pelbagai inisiatif, KPM sentiasa berusaha untuk memastikan mereka ini tidak tercicir daripada pendidikan arus perdana dengan memberikan bantuan dalam bentuk kewangan dan juga peluang pendidikan asas hingga pendidikan tinggi yang berkualiti.

Justeru kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke program Matrikulasi tidak perlu dipolemikkan, kerana data sedia ada menunjukkan bahawa KPM telah memberi ruang dan peluang yang lebih kepada pelajar bukan bumiputera untuk mendapat tempat dalam Program Matrikulasi. Sebenarnya peluang begitu banyak untuk murid lepas menengah melanjutkan pelajaran dalam program persediaan, termasuk Tingkatan Enam yang juga mendapat bantuan penuh Kerajaan. Mereka juga boleh memohon untuk menyertai program persediaan di universiti awam dalam Program Asasi, atau bagi mereka yang berkemampuan boleh meneruskan pelajaran dalam peringkat A Level. Peluang melanjutkan pelajaran ke Politeknik Malaysia dan Kolej Komuniti juga terbuka luas, tanpa mengira kaum.

Maka amat tidak wajar sekali Program Matrikulasi menjadi ‘mangsa’ kepada mereka yang kononnya memperjuangkan hak kaum tertentu sedangkan peluang terbuka luas untuk memilih laluan masing-masing. Masanya sudah tiba untuk kita menyahut seruan YAB Perdana Menteri Malaysia yang mahukan rakyat semua untuk berkerja keras dan berusaha bersama-sama demi memastikan nama Malaysia terus dihormati di mata dunia. Buktikan bahawa rakyat Malaysia berupaya untuk melihat lebih jauh dengan menjadikan kepelbagaian di negara ini sebagai satu kekuatan untuk kita sama-sama meningkatkan kualiti kehidupan di negara kita yang tercinta.