Profesor Madya Dr Wan Abdul Fattah Wan Ismail
Profesor Madya Dr Wan Abdul Fattah Wan IsmailPengarah Pusat Wakaf dan Zakat

Amalan berwakaf merupakan antara amalan sunat yang amat ditekankan dan digalakkan dalam Islam. Kenyataan ini bersandarkan kepada amalan Rasulullah SAW dan para sahabat ra yang sentiasa berlumba-lumba mewakafkan harta yang disayangi mereka untuk kebaikan agama. Para sahabat berebut-rebut untuk melakukan amalan mulia ini setelah mengetahui kelebihannya yang akan menjadi saham akhirat kepada pewakaf melalui sabda Rasulullah SAW: “Apabila mati seorang anak Adam, terputus segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain, dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kepadanya.” (Riwayat Abu Daud).

Bahkan ada di kalangan para sahabat ra melahirkan rasa sedih dan mengadu kepada Rasulullah SAW kerana mereka tidak mampu untuk bersedekah (berwakaf) akibat kemiskinan. Dalam riwayat Abu Dzar ra: “Terdapat di kalangan sahabat Nabi SAW bertanya kepada baginda: (Untungnya) Kaum hartawan beroleh pahala yang banyak, mereka solat dan berpuasa seperti mana kami solat dan berpuasa serta bersedekah dengan sisa harta mereka. Jawab Rasulullah SAW: Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah”. (Riwayat Bukhari).

Maka sebagai seorang Muslim sejati yang mengetahui bahawa perlunya kita membuat persiapan untuk ke alam akhirat iaitu alam yang kekal abadi, berlumba untuk mengerjakan kebaikan secara berterusan terutama sekali berwakaf. Amalan berwakaf tidak hanya terhad kepada membuat masjid, mewakafkan tanah untuk perkuburan, membina sekolah-sekolah dan seumpamanya sahaja. Sudah tiba masanya untuk kita perlu melihat wakaf ini dalam skop yang lebih luas seperti wakaf pendidikan, wakaf tunai, wakaf korporat dan juga wakaf kesihatan dan lain lagi. Supaya masyarakat tidak hanya melihat dan memahami wakaf dalam skop yang sempit.

Antara bentuk wakaf yang perlu diberikan tumpuan ialah wakaf kesihatan. Wakaf kesihatan juga perlu diberi tumpuan, seperti pembinaan hospital, peralatan rawatan dan kemudahan-kemudahan untuk kegunaan pesakit. Pada hari ini, kos rawatan merupakan antara yang diberi penekanan dan memerlukan perbelanjaan yang amat tinggi. Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bantuan dan subsidi kerajaan. Kita juga perlu bersama membantu mengurangkan bebanan perbelanjaan rawatan ini dengan amalan berwakaf. Antara wakaf kesihatan yang perlu diberi penekanan ialah rawatan Hemodialisis.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dalam bernama bertarikh 10 Mei 2017, jumlah rakyat Malaysia yang mengalami masalah buah pinggang semakin meningkat, iaitu 6,000 kes baharu dicatatkan setiap tahun. Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, pihaknya menganggarkan pesakit buah pinggang daripada tahap 1 hingga tahap 5 pada masa ini mencecah 400,000 orang. Menurutnya, 40,000 daripada jumlah itu pula merupakan pesakit penyakit buah pinggang tahap 5 dan memerlukan rawatan dialisis. Setiap tahun, kerajaan memperuntukkan tidak kurang daripada RM1.6 bilion bagi membiayai kos rawatan pesakit buah pinggang tahap 5 di Malaysia. Gambaran ini menunjukkan bahawa golongan yang memerlukan rawatan Hemodialisis adalah sangat tinggi.

Penyakit tidak mengenali siapakah yang akan menjadi tempat perhentiannya, sama ada orang kaya, pertengahan atau miskin. Bagi orang yang berada, kos rawatan tidaklah menjadi permasalahan bagi mereka. Bagaimana pula dengan orang yang pertengahan apatah lagi yang sampai ke tahap asnaf? Peningkatan kos rawatan hari ini amat menggerunkan, sudah tentu ia memberi kesan yang amat mendalam kepada golongan asnaf. Setiap pesakit memerlukan rawatan sebanyak tiga kali seminggu dalam jangka masa empat jam setiap kali rawatan dan kos rawatannya adalah sekitar RM 2000-3000 sebulan. Dengan kadar sedemikian, sudah tentulah di luar kemampuan golongan asnaf. Maka antara alternatif untuk membantu golongan asnaf, dengan menubuhkan pusat Hemodialisis secara wakaf. Namun untuk menubuhkan pusat Hemodialisis, ia memerlukan kos yang tinggi, yang mana nilai sebuah mesin dialisis sahaja sekitar RM40,000 hingga RM60,000 seunit. Dengan penubuhan pusat Hemodialisis secara wakaf, ia akan mengurangkan beban kewangan bagi pesakit yang tergolong dalam golongan asnaf untuk mendapatkan rawatan.

Sebagai kesimpulannya, membantu sesama insan yang memerlukan adalah tanggungjawab kita dan merupakan amalan yang murni. Setiap sumbangan wakaf yang kita berikan untuk mengurangkan bebanan saudara kita dikira sebagai amalan soleh yang menjadi bekalan berterusan kita apabila berada di alam akhirat nanti. Harta simpanan yang dikurniakan Allah kepada kita hanya sebagai perhentian sementara. Destinasi sebenar harta kita ialah untuk membantu saudara-saudara kita yang memerlukan sekadar kemampuan Marilah sama-sama kita mengimarahkan amalan berwakaf dan menjadikannya sebagai budaya dalam kehidupan kita.