Sebut sahaja tentang platform media sosial TikTok, ramai mungkin membayangkan klip video pendek tular yang memaparkan tarian, gurauan atau ajukan suara-suara lawak yang menjadi satu fenomena di kalangan anak muda hari ini.
Namun platform yang mula diperkenalkan pada tahun 2016 ini bukan lagi menjadi sekadar trend media bersifat sementara, tetapi sebagai satu daya kuasa penting dalam ekosistem media. Ia menjadi wadah terutama bagi golongan muda untuk berhibur, mendapatkan maklumat dan bertukar pandangan. Maka tidak hairanlah hari ini TikTok menjadi platform pilihan bagi ahli politik dan organisasi politik untuk memenangi hati dan minda golongan muda.
Kajian yang dijalankan oleh penyelidik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) terhadap dua ribu bakal pengundi yang berumur 18 tahun dari seluruh negara mendapati bahawa platform TikTok menjadi saluran utama bagi mereka mendapatkan maklumat berkenaan politik (26.3%), di ikuti dengan Instagram (22.2%) dan Facebook (17.3%).
Dapatan ini adalah penting kerana golongan pengundi muda ini dilihat sebagai King makers pada pilihanraya umum ke 15 akan datang. Dengan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun berkuat kuasa pada Disember 2021, kuasa politik pengundi kali pertama dilihat amat penting. Ini bermakna penambahan 5.8 juta pengundi berumur antara 18 dan 21 tahun menjadikan jumlah pengundi berdaftar negara, yang kini 15.8 juta, meningkat sekitar 40% kepada 21.1 juta pengundi pada pilihanraya umum akan datang.
Justeru untuk memastikan pengundi muda turun pada pilihanraya ke 15 nanti, platform TikTok hendaklah menjadi antara platform utama yang perlu dieksploitasi oleh organisasi politik dan bakal calon pilihanraya akan datang. Ini kerana sejak 2008, media sosial seperti Facebook dan Twitter telah menjadi medium penting untuk komunikasi politik di Malaysia. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, rangkaian media sosial menjadi platform utama bagi kempen politik di Malaysia.
Namun seperti aplikasi yang lain (Facebook, Instagram dan Twitter), TikTok adalah umpama pedang dua mata yang boleh memberi kebaikan dan keburukan dalam sekelip mata. Hanya kerana ia dianggap sebagai platform untuk berseronok dan mencari sensasi oleh golongan muda dengan joget viral dan memes lawak bersama artis, ia tidak bermakna calon politik perlu menghasilkan kandungan politik yang serupa. Silap langkah, pengisian kempen politik kosong, cetek dan berbentuk hiburan semata-mata bakal memakan diri calon itu nanti.
Perlu diingat, kandungan media digital hari ini berbentuk transmedia dimana kandungan yang dihasilkan di satu platform media sosial juga akan tersebar oleh media digital yang lain seperti Whatsapp, YouTube dan digunakan oleh media konvensional seperti di televisyen dan akhbar. Kandungan yang sama juga akan tersebar dan mempengaruhi persepsi dan pandangan kumpulan umur pengundi belia dan dewasa yang turut mempunyai pengaruh yang kuat terhadap keputusan pengundi kali pertama.
Diharapkan dengan lebih kandungan dan pendedahan berkaitan isu politik di platform TikTok, lebih ramai golongan muda akan turun mengundi dan menjalankan tanggungjawab masing-masing terhadap negara. Ini disebabkan banyak kajian menunjukkan bahawa kadar turun mengundi dikalangan kumpulan ini masih rendah dan golongan remaja dilihat bersikap apatis terhadap politik. Jikapun mungkin kebanyakan pengundi kali pertama dengan lingkungan umur antara 18 ke 20 tahun tidak berminat tentang politik, pendedahan secara kebetulan melalui timeline, status rakan, atau perkongsian berita di laman rangkaian social diharap boleh menjadi daya penarik untuk mereka lebih cakna berkaitan isu politik tanah air sekaligus turun mengundi.