Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir
Dr Khairul Asyraf Mohd NathirPensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir
Dr Khairul Asyraf Mohd NathirPensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama

Tanggal 20 Ogos merupakan tarikh bagi Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam di Malaysia pada setiap tahun. Sambutan Hari Pentadbir yang telah dimulakan pada tahun 2016 mempunyai signifikan dalam memupuk solidariti pentadbir Universiti Awam yang terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan Kerajaan. Universiti Awam merupakan badan berkanun di bawah Skim Perkhidmatan Kerajaan. MASTI ditubuhkan pada 2001 kini menaungi secara rasmi sebanyak 20 buah persatuan pentadbir yang terdapat Universiti Awam seluruh negara.

Namun begitu, Sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam pada tahun 2020 cukup berbeza disebabkan oleh pandemik COVID-19. Impak pandemik ini meliputi pelbagai sektor ekonomi dan sosial disebabkan banyak sektor terpaksa ditutup. Tiada lagi rentas sempadan yang membenarkan komuniti berhubung. Impak ini turut dirasai oleh warga kerja Pentadbir di Universiti Awam. Atas kesedaran inilah, pihak MASTI telah menjalankan kaji selidik berkaitan kesan pandemik COVID-19 kepada budaya kerjaya Pentadbir di Universiti Awam. Kajian ini sebagai usaha awal bagi pihak MASTI membantu menyediakan data-data untuk kegunaan pihak pengurusan Universiti dan pihak-pihak yang berkepentingan bagi membantu dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kakitangan awam khususnya di Universiti.

Kajian ini telah dilaksanakan di kalangan pentadbir universiti berkaitan impak cara kerja dan ketersediaan staf sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) disebabkan oleh pandemik COVID-19. Objektif kajian ini adalah mengenal pasti budaya kerja Pengurusan dan Profesional di Universiti Awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan oleh pandemik COVID-19 ini. Metodologi kajian ini sepenuhnya menggunakan kaedah kuantitatif sebagai pendekatan kepada reka bentuk kajian bagi menjawab persoalan kajian. Borang kaji selidik telah diedarkan dikalangan kakitangan di Universiti Awam di pelbagai skim perjawatan. Ini akan memboleh persampelan dibuat lebih menyeluruh dan seimbang kerana ia menggambarkan laporan hasil penyelidikan yang melibatkan keseluruhan kakitangan Universiti Awam. Seramai 2,536 responden telah mengisi borang kaji selidik yang diedarkan selama dua minggu dari 15 April hingga 30 April 2020 melibatkan 20 buah universiti awam.

Hasil kajian ini mendapati responden amat menyokong usaha Kerajaan mewujudkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai langkah untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 apabila 85.73% responden amat bersetuju; 12.30% bersetuju dan 1.66% sederhana. Tiada responden yang memberikan jawapan sangat tidak bersetuju dan tidak bersetuju. Dari lapan indikator soalan yang diberikan, yang tertinggi adalah berkaitan dengan PKP telah merubah gaya hidup dan aktiviti sosial sebanyak 91.16% (mean=4.558). Ia diikuti dengan menerima info semasa mengenai COVID-19 dan pengurusan bekerja dari rumah sebanyak 91.04% (mean=4.552); bekerja dari rumah adalah perkara baru 90.30% (mean=4.515); mudah belajar perkara baru terutamanya teknologi maklumat iaitu 86% (mean=4.035); 81.80% (mean=4.090) untuk menyesuaikan diri dengan baik terhadap kaedah bekerja dari rumah; sokongan material dan pisikologi dari universiti iaitu 81.22% (mean=4.061); perancangan dan pelaksanaan kerja dapat diatur dengan baik sebanyak 76.38% (mean=3.819); dan yang terakhir persekitaran rumah adalah kondusif dan memberi kesan positif terhadap produktiviti kerja sebanyak 61.94% (mean=3.907).

Beberapa penemuan yang menarik iaitu terdapat beberapa perbezaan yang kecil di kalangan responden lelaki dan perempuan di samping umur bawah 40 tahun dan lebih 40 tahun bagi semua isu kecuali berkaitan dengan persekitaran rumah adalah kondusif dan memberi kesan positif terhadap produktiviti kerja kerana bagi responden yang berumur lebih 40 tahun 80.44% (mean=4.022). Ini mungkin kerana responden yang berumur lebih 40 tahun telah mempunyai kediaman sendiri yang membolehkan kehidupan mereka lebih selesa jika berkerja dari rumah.
Kajian yang dilaksanakan oleh pihak MASTI ini juga menunjukkan bahawa 84.52% (mean=4.226) responden percaya bahawa mereka boleh bekerja dari rumah. Seramai 1,645 (64.87%) responden telah menyatakan sangat setuju bahawa bekerja dari rumah yang melibatkan perbincangan dan pengurusan kerja atas talian sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah perkara baharu sepanjang kerjaya. Berbanding yang tidak bersetuju sebanyak 68 (2.68%) dan sangat tidak bersetuju 18 (0.71%). Manakala yang sederhana pula 149 (5.88%) dan setuju 656 (25.87%). Hasil kaji selidik ini juga mendapati seramai 45.43% (1.152) bersetuju bahawa mereka telah dapat menyesuaikan diri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 hingga 3. Sangat bersetuju pula sebanyak 34.03% (863); sederhana 16.80% (426); Manakala responden yang tidak setuju seramai 2.96% (75) dan 0.79% (20) sangat tidak setuju. Responden yang memilih sederhana pula sebanyak 16.80% (426)

Kajian ini juga mendapati bahawa infostruktur dan infrastruktur ICT yang sedia ada di universiti banyak membantu proses bekerja dari rumah berjalan lancar sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP). Seramai 44.95% (1,140) responden dan 42.55% (1,079) menyatakan bahawa mereka mudah untuk mempelajari ilmu baharu terutamanya dalam bidang teknologi maklumat untuk membantu memudahkan proses kerja. Jika dibandingkan dengan yang sangat tidak bersetuju sebanyak 0.35% (9) dan tidak bersetuju 1.22% (31). Manakala yang memberikan responden sederhana hanya 10.92% (277). Penemuan lain yang menarik ialah bagaimana faktor usia tidak membataskan responden untuk bekerja dengan baik secara atas talian dari rumah. Ini dapat dilihat yang sangat bersetuju adalah sebanyak 1,469 (57.93%) dan bersetuju sebanyak 848 (33.44%). Responden yang memilih sedehana hanya 155 (6.11%); tidak setuju 44 (1.74%); dan sangat tidak setuju 20 (0.79%).

Pandemik COVID-19 telah membawa perubahan yang cukup besar kepada semua pihak termasuklah dalam pengurusan di Universiti. senario ini telah menyebabkan berlakunya banyak perubahan kepada staf Universiti sama impak yang positif atau negatif. Norma baharu ini telah menjadikan kajian berkaitan budaya kerja dalam organisasi menjadi menarik untuk dibuat terutamanya dalam sektor Kerajaan seperti di Universiti Awam. Dalam konteks ini, kepentingan keselamatan sosial pekerja pada masa kini dan akan datang. Maka dengan sebab itulah, usaha bagi membantu staf yang terlibat dengan isu pandemik COVID-19 perlu diberikan perhatian serius. Peranan Pentadbir Universiti Awam perlu diperkasakan dalam norma baharu pasca COVID-19 ini.

Norma baharu pengurusan organisasi di Universiti Awam, keperluan dan kepelbagaian Manual Operasi Standard (SOP) yang bakal digubal dan perlu dipatuhi dalam menguruskan tugasan pada masa akan datang merupakan di antara cabaran baru impak pandemic COVID-19 dalam budaya kerja Pentadbir Universiti Awam. Senario ini, adalah cabaran untuk staf Pengurusan dan Profesional agar bersedia bagi sebarang kemungkinan yang berlaku seperti konsep bekerja dari rumah sebagai salah satu alternatif baru untuk staf. Pada masa yang sama, penggunaan ICT dalam proses komunikasi untuk pelaksanaan tugas. Semua ini memerlukan kebijaksanan dalam pengurusan organisasi di Universiti.

Kesimpulannya, kajian yang dibuat oleh pihak MASTI ini menuntut semua organisasi universiti awam bersiap siaga demi kelangsungan universiti mendepani norma baharu. Pentadbir Universiti Awam seperti mana pihak yang lain juga merasai tempias pandemick COVID-19 ini. Perubahan norma baharu dalam pengurusan organisasi di Universiti Awam pasca pandemik COVID-19 memerlukan Pentadbir Universiti Awam perlu menyesuaikan diri agar kekal relevan dengan perubahan persekitaran masa kini terutamanya berkaitan dengan budaya kerja berteraskan teknologi maklumat. Budaya kerja norma baharu ini akan dapat membantu memperkukuhkan peranan Pentadbir Universiti Awam pada masa depan dalam menjayakan aspirasi agenda pendidikan tinggi negara serta bersiap siaga dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.