Mengakar budaya dan budi pada generasi muda

Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini OthmanPenolong Pendaftar Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Malaysia kini sedang menyusun dan melangkah dengan pantas untuk menggapai status negara maju dalam tempoh beberapa tahun mendatang dengan satu kepercayaan yang bulat bahawa generasi muda Malaysia merupakan pelakar dan penerus kesinambungan pertiwi ini.

Penulis menyedari mula timbul kegusaran kalangan masyarakat apabila melihat ragam dan sikap generasi muda kini sehingga menimbulkan persoalan mampukah mereka ‘mendayung’ wawasan negara dengan sebaiknya kelak? Selain masalah moral dan kebejatan sosial, mereka kini terkait pula dengan badai baharu bila dianggap memandang enteng perihal budaya dan budi.

Budaya dan budi amat akrab perkaitan keduanya ibarat perumpamaan Melayu yang biasa kita dengar iaitu ‘seperti aur dengan tebing’ atau “ibarat isi dengan kuku”. Kebudayaan sangat erat hubungannya dengan masyarakat seperti yang dikemukakan oleh Melville J. Herskovits dan Bronislaw Malinowski bahawa segala sesuatu yang terdapat dalam masyarakat ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri.

Dalam kehidupan masyarakat Melayu sejak dahulu hingga kini, penulis melihat elemen budaya dan budi ini amat dititik beratkan kerana ia memberi cerminan langsung kepada ketinggian adab, perwatakan, sikap dan terkaitan juga dengan maruah dan nilai penghormatan yang selayaknya diterima.

Hubungan erat antara budaya dan budi ini sesuatu yang sukar untuk dipisahkan atau dilihat perkaitan entiti ini secara berasingan kerana dari aspek bahasa sendiri, perkataan budaya itu datangnya dari kata ‘budayyah’ dalam bahasa Sanskrit yang merupakan kata jamak bagi perkataan ‘buddhi’ yang bermaksud budi pekerti atau akal.

Globalisasi dan kepesatan teknologi terkini menjadikan cara kehidupan dan bagaimana manusia berinteraksi begitu cepat berubah dan ia mempengaruhi serta mencengkam erat generasi muda kita. Apabila tular di kalangan masyarakat dengan tindak-tanduk yang dicetuskan oleh generasi muda seperti fesyen pemakaian, keterbukaan dalam pergaulan dan pemikiran, penggunaan bahasa yang pelik dan jelik serta pelbagai lagi, ia secara langsung memberi tafsiran negatif dan kerendahan pada nilai budaya dan budi golongan ini.

Penulis tertarik dengan intipati syarahan oleh tokoh budayawan terkemuka serta mantan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim ketika menyampaikan Syarahan Pembudayaan Budaya Tinggi sebagai Tiang Seri Kepimpinan Negara di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini. Tan Sri Rais Yatim menekankan bahawa budaya tidak boleh diasingkan dari arus perdana pembinaan negara kerana tamadun hebat yang pernah wujud dahulu terbina bersama tunjung budaya yang kukuh dikalangan pemimpin dan rakyatnya.

Golongan muda merupakan cerminan nilai-nilai kehidupan yang akan wujud di masa hadapan dan apabila golongan ini tidak diselimuti dengan nilai-nilai murni dan jati diri yang sejati, maka kesannya terasing jauhlah budaya dan budi sekaligus menjadikan mereka bangsa yang hilang akhlak dan rosak peribadi. Kita kerap dicanang-canangkan dengan idea membina sebuah negara bangsa terbaik dan untuk menjayakannya, ia mesti diapit oleh nilai-nilai murni. Tetapi malangnya ia tidak berlaku dengan baik seperti yang diharapkan. Inilah dilema yang kita alami kini sehingga melemaskan masyarakat dengan pelbagai isu berat yang tak berkesudahan.

Bagi memastikan golongan muda kita menjiwai budaya dan budi, penulis berpandangan peringkat pertama kita perlu lakukan adalah kembali kepada asas penting iaitu pegangan agama yang utuh. Ini kerana melalui nilai-nilai keagamaan yang sebati dalam diri serta ditambah adat budaya yang dididik kemas, ia akan membentuk peribadi insan yang unggul. Disinilah peranan ibu-bapa amat penting untuk menjadi pendidik terawal membentuk, mencorak, mewarnai dan melentur anak-anak mereka yang masih rebung. Tanggungjawab ibu-bapa ini besar untuk menjadi guru pertama yang ‘menyaluti’ jiwa anak-anak mereka dengan sempurna sebelum menginjak usia remaja.

Pembentukan budaya dan budi ini juga sebenarnya berlaku di alam persekolahan, justeru keberkesanan sistem pendidikan kita juga perlu dilihat kembali dan diubahsuai agar selari dengan keperluan semasa tanpa membelakangkan Falsafah Pendidikan Negara. Sesuatu yang pahit untuk ditelan bahawa kita harus akui bahawa kita belum memiliki satu acuan pendidikan yang benar-benar cantik dan teruji hasilnya.

Kita berada terlalu lama dalam sistem sebelum ini yang terlalu berteraskan peperiksaan, agak ‘rigid’ dari segi regimentasinya sedangkan sistem negara maju lebih ke hadapan dengan mementingkan konsep pembentukan ‘character’ dan nilai murni serta menghasilkan individu yang lebih berinovasi dan kreatif. Kerajaan perlu segera menyelesaikan isu warisan seperti beg sekolah berat, guru duka-lara atau infrastruktur sekolah yang tidak lengkap dan daif. Semakin lama kita bergelut dengan masalah fundamental sebegini, makin terabai kita memberi perhatian soal peri pentingnya penerapan budaya dan budi pada pewaris negara ini.

Bagi melahirkan golongan muda yang berbudaya tinggi ia memerlukan kepada pemahaman teori yang jelas dan pengamalan dalam tindakan yang istiqamah. Justeru kita sebagai masyarakat perlu bersama-sama bersimbiosis dengan golongan muda untuk mewujudkan suasana kondusif yang membolehkan budaya dan budi dapat mengakar dengan subur. Sebagai permulaan menjadi bangsa yang berbudaya tinggi dan berpekerti, penulis sarankan untuk kita bersama-sama membiasakan diri dengan ucapan terima kasih untuk setiap bantuan, pertolongan, pemberian dan perkhidmatan yang diberikan oleh lain kepada kita. Tidak terhina diri kita bila mudah berterima kasih.

Bunga pagi bunga di darat
Bunga seroja tepi kali
Hinanya besi kerana karat
Hina manusia tak berbudi

Artikel ini telah diterbitkan oleh Akhbar Utusan Malaysia pada 17 Julai 2018.

Nota : Penulis merupakan Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM.

2018-07-23T12:05:21+00:00