Dr. Ehwan Ngadi
Dr. Ehwan NgadiPensyarah Kolej Genius Insan

Penularan pandemik COVID19 merupakan satu bencana umat manusia yang telah mengakibatkan kesan yang besar bukan sahaja kepada kesihatan masyarakat, pertumbuhan ekonomi dunia dan norma kehidupan berkomuniti, tetapi juga pengajaran dan pendidikan.  Pada saat artikel ini ditulis, murid Tingkatan 5 telah pun hadir dan menjalani sesi pembelajaran di sekolah dengan norma sesi pembelajaran yang 100% berbeza daripada sebelum penularan pandemik ini berlaku. Sesi pembelajaran di sekolah pada masa kini perlu mengikuti garis panduan prosedur standard operasi (SOP) yang sangat ketat. Hinggakan tiada aktiviti makan dibenarkan di kantin semasa waktu rehat. Ini memberikan gambaran bahawa sesi persekolahan pasca COVID19 sama sekali berubah daripada apa yang kita praktikkan sebelum bencana ini berlaku.

Melihat daripada sudut pandang positif kesan penularan pandemik ini, ia seakan memberi rahmat dalam kekalutan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Siapa sangka, pembelajaran atas talian menjadi wadah penting bagi pendidik menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan platform pembelajaran bersemuka atas talian seperti Zoom, Microsoft Team, Google Classroom menjadi popular lantaran digunakan pendidik bagi menyampaikan ilmu kepada murid. Tidak terkecuali pembelajaran secara tidak bersemuka melalui aplikasi chatting seperti WhatsApp dan Telegram menjadi pilihan alternatif tetapi berkesan kepada pendidik dan murid yang mempunyai capaian internet sederhana.

Apa yang menjadi persoalannya kini, apakah bentuk pentaksiran yang perlu dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran atas talian dijalankan? Perlu diingat, pengajaran dan pembelajaran atas talian hanya memerlukan pendidik dan murid bersemuka di hadapan skrin paparan gajet sahaja. Pendidik tidak dapat bersemuka secara langsung apatah lagi melihat tingkahlaku pelajar seharian seperti di sekolah. Tujuan utama pentaksiran pula adalah untuk menilai sama ada murid benar-benar mencapai kehendak falsafah pendidikan negara iaitu mengembangkan potensi murid dalam melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Poster infografik dilihat merupakan salah satu bentuk pentaksiran holistik terbaik yang boleh digunapakai dalam mengukur kefahaman murid semasa sesi pengajaran dan pembelajaran. Penghasilannya boleh dilakukan dengan menggabungkan beberapa subjek seperti subjek sains yang bertindak sebagai subjek teras, diikuti oleh subjek bahasa sebagai pengantar kepada mesej yang ingin disampaikan serta subjek pendidikan Islam yang bertindak sebagai pengukur nilai dan sifat terpuji yang ingin diketengahkan. Penghasilan poster infografik yang menarik bukan sahaja memerlukan kreativiti dan intelektual yang tinggi, tetapi juga memerlukan kesabaran dan kestabilan emosi yang sempurna. Kesemua kombinasi kemahiran ini mewakili empat domain utama iaitu intelektual, emosi, rohani dan jasmani yang diperlukan murid dalam mengembangkan potensinya.

Penghasilan poster infografik yang bermaklumat memerlukan pengetahuan fakta yang tinggi serta kemahiran mengekstrak serta meringkaskan maklumat dengan tepat. Ini amat penting bagi membolehkan pembaca dapat memahami mesej poster infografik yang cuba disampaikan dengan jelas. Kemahiran dan kreativiti yang tinggi mampu menghasilkan rekabentuk poster infografik yang cantik dan menarik minat pembaca. Kemahiran kreaviti ini biasanya diasah daripada pengetahuan intelek yang tinggi dan didorong oleh kestabilan emosi murid. Murid yang mempunyai emosi yang stabil cenderung menghasilkan rekabentuk yang tersusun dengan pemilihan tona warna yang seimbang. Berbeza pula dengan rekabentuk murid yang mengalami gangguan kestabilan emosi, dimana sususan rekabentuk poster infografik yang kurang tersusun serta pemilihan tona warna yang canggung.

Penerapan aspek rohani dalam pentaksiran holistik boleh dijalankan melalui gabungan subjek pendidikan islam. Pengukuran dijalankan melalui keupayaan murid menghintegrasikan ilmu Naqli dalam topik poster infografik yang dihasilkan. Ketepatan proses integrasi di antara ilmu Naqli dan Aqli ini mampu mengukur tahap keupayaan murid mengaitkan topik yang ingin diutarakan dengan nas-nas Al Quran dan hadis. Sekaligus ia mencerminkan satu proses pendidikan yang diintegrasikan dengan ilmu Naqli dan Aqli.

Kesimpulan, pentaksiran holistik merupakan satu pentaksiran yang amat sesuai untuk diaplikasikan semasa pembelajaran atas talian. Ia mempunyai elemen yang mampu mencetuskan potensi intelektual, emosi, rohani dan jasmani yang tinggi. Pada masa yang sama ia membolehkan murid menikmati proses penilaian yang menarik dan menghibur tanpa mengalami tekanan seperti peperiksaan konvensional dan pada masa yang sama masih mengekalkan standard intelektualitinya. Apa yang diperlukan adalah kerjasama antara pendidik yang mengajar subjek-subjek tertentu untuk menghasilkan suatu pentaksiran yang menarik tetapi mencakupi semua domain pengembangan murid. Natijahnya, murid akan lebih menikmati keseronokan belajar secara atas talian serta tidak sabar kembali apabila sekolah dibuka nanti.