Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd DaliFakulti Ekonomi dan Muamalat

Di dalam siri-siri yang lepas, banyak penekanan terhadap kepentingan membuat tabungan, merancang belanjawan dan berbelanja mengikut keperluan dibincangkan. Pada siri kali ini, saya akan mula membuka minda pembaca kepada suatu topik perbincangan yang baru saya sentuh iaitu pelaburan. Ada di kalangan pembaca yang memberikan maklum balas yang penulisan banyak berkisar mengenai simpanan dan bukannya pelaburan.

Pada bulan lepas, isu tentang perbezaan antara aset dan liabiliti mula menjadi perbualan orang awam, apabila isu mendapat sambutan media massa. Ramai mula menyemak corak pembelian sejak mula bekerja, adakah membeli aset atau membeli liabiliti. Pembelian aset ini boleh dinamakan pelaburan dan pembelian liabiliti ini boleh disingkatkan dengan perbelanjaan dan perbelanjaan hutang.

Penekanan kepada simpanan perlu dibuat dahulu kerana simpanan adalah kunci kepada pelaburan. Sebelum menjadi pelabur, sekurang-kurang kita telah menjadi seorang penyimpan, kerana untuk mencapai tahap seorang pelabur, seseorang itu memerlukan tahap kesabaran, strategi, dan ilmu pengetahuan yang lebih tinggi daripada seorang penyimpan. Seseorang pelabur itu mahu menjadikan duit, malah memaksa duit bekerja untuk beliau dan bukan sebaliknya. Pelabur juga mahu memastikan modalnya akan terus berkembang dari masa ke semasa, bulan ke bulan dah tahun ke tahun.

Apa masalahnya kalau saya hanya terus menyimpan wang secara konsisten di bank. Tidakkah, wang saya akan berkembang juga? Apa keperluan untuk saya melabur jika saya sudah boleh mengembangkan wang saya dengan simpanan sahaja. Bagaimana pula dengan pepatah, sikit, sikit, lama kelamaan jadi bukit. Adakah ia tidak terpakai dengan hanya menyimpan secara konsisten?

Simpanan kita tidak boleh membantu kita untuk mengembangkan kekayaan malahan berkemungkinan tidak dapat menangkis tekanan inflasi. Inflasi terjadi apabila harga barangan keperluan semakin meningkat disebabkan oleh kuasa beli wang kita semakin menurun. Kita ambil contoh yang paling mudah untuk difahami ialah harga sepinggan nasi lemak semasa di sekolah rendah dahulu (mungkin anda bersekolah rendah pada tahun 60an, 70an, 80an, 90an, dan alaf 2000) tidak sama dengan harga nasi lemak di sekolah rendah yang sama, pada ketika ini.

Inflasi yang dimaksudkan tidak semudah harga nasi lemak sahaja, ia meliputi pelbagai lagi aspek yang boleh diukur dari kenaikan harga barang pengguna. Indeks harga pengguna atau IHP (Consumer Price Index, CPI) merupakan kaedah yang digunakan untuk mengukur atau menentukan kadar inflasi. IHP mengukur harga purata barang-barang dan perkhidmatan yang biasanya digunakan oleh isi rumah pada tempoh masa yang ditetapkan. IHP diukur dengan membandingkan purata harga barangan dan perkhidmatan pada tahun asas dengan purata harga barang bagi tahun semasa.

Jadi jika simpanan kita memberi pulangan hanya 2 ke 3 peratus setahun, dan kadar inflasi adalah pada kadar yang sama, sebenarnya duit kita tidak berkembang, malahan boleh menyusut nilai jika kadar inflasi adalah lebih tinggi dari pulangan simpanan. Justeru itu, hasil simpanan kita perlu disalurkan ke pelaburan yang akan mendatangkan pulangan yang berpatutan untuk menyaksikan aset kita terus berkembang.

Pelaburan di dalam konteks perspektif Islam adalah amat di galakkan. Malahan kita boleh mendapatkan contoh yang terdekat dengan umat Islam, iaitu Nabi Muhammad saw, seorang usahawan, yang telah mengikat kontrak pelaburan (mudarabah) bersama Saidatina Siti Khadijah yang menjadi pemodal. Keuntungan perniagaan dibahagikan mengikut nisbah keuntungan dan bukannya ditetapkan berdasar kaedah riba.

Malahan hampir keseluruhan jutawan barat adalah dari golongan pelabur. Robert Kiyosaki di dalam bukunya ada mengklasifikasikan empat cara untuk menjana pendapatan iaitu bekerja makan gaji, bekerja sendiri, memiliki sistem perniagaan dan menjadi pelabur. Bekerja makan gaji seperti kebanyakan orang, lumrahnya pendapatan bergantung kepada berapa banyak masa yang diperuntukkan. Ini dinamakan pendapatan aktif. Berdasarkan kajian kurang dari 5% dari golongan makan gaji yang boleh menempa kekayaan. Manakala mereka yang memiliki sistem perniagaan akan menjana 99% kekayaan daripada hasil perniagaan. Pemilik sistem perniagaan ini menggunakan kudrat golongan pekerja makan gaji untuk menjalankan perniagaan mereka.

Sementara itu, golongan bekerja sendiri adalah terdiri daripada kalangan profesional yang memiliki firma sendiri seperti doktor, peguam, akauntan dan lain-lain. Walaupun golongan ini nampak serupa dengan pemilik sistem perniagaan, terdapat perbezaan ketara dari masa aktif yang diperuntukkan. Sebagai contoh doktor yang memiliki klinik sendiri perlu bekerja di klinik yang dimilikinya manakala pemilik sistem perniagaan adalah seorang doktor yang memiliki rangkaian klinik yang mengajikan doktor-doktor lain untuk merawat pesakit.

Golongan yang keempat adalah dari kalangan pelabur, yang menjana pendapatan pasif dan menjadikan wang bekerja untuk mereka. Berdasarkan kajian golongan pemilik sistem perniagaan dan pelabur adalah mereka yang memegang kekayaan dunia. Ini bersesuaian dengan Sunnah yang dilakukan oleh baginda Rasulullah saw dimana beliau adalah rakan niaga dan usahawan dan Saidatina Khadijah adalah seorang pelabur.

Melalui kekayaan inilah, kita boleh membina kekuatan ummah. Umat Islam yang berjaya dalam perniagaan dan pelaburan akan dapat membantu golongan yang memerlukan melalui zakat, sedekah, infak, wakaf dan hibah yang bukan hanya menghilangkan kesulitan pada masa yang sama mereka mendapat pahala seperti yang pernah saya utarakan di dalam siri yang lepas. Aset di dalam konteks dunia dan akhirat adalah perlu berjalan seiring. Pada siri akan datang saya akan mengupas lebih tentang topik pelaburan ini.