Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd DaliPensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Di dalam siri yang lepas, saya telah membuka topik perbincangan tentang jenis-jenis pendapatan yang boleh kita peroleh iaitu pendapatan aktif, pasif dan portfolio. Pengetahuan tentang jenis pendapatan ini adalah amat penting dan pendapatan yang perlu kita fokus telah dibincangkan di siri yang lepas. Kita perlu memberikan fokus kepada penjanaan pendapatan pasif dan pendapatan portfolio disamping kita mempunyai pendapatan aktif. Walaubagaimanapun, untuk kita mendapatkan kedua-dua jenis pendapatan tersebut, kita perlu mendapatkan ilmu tentang bagaimana untuk mendapatkannya. Pendidikan di dalam bidang ini adalah amat penting untuk seseorang yang bergelar pelabur.

Kebanyakan orang cuba meramalkan apa dan bila keadaan akan berlaku. Tetapi seorang pelabur sejati bersedia untuk apa saja berlaku sama ada ekonomi naik atau turun. Ini adalah kerana di masa ekonomi sedang naik atau turun, jika kita tidak bersedia dengan pendidikan dan pengalaman, peluang yang baik akan terlepas begitu sahaja. Sebaik sahaja kita memutuskan jenis pelaburan yang kita suka berdasarkan kepada toleransi terhadap pulangan dan risiko pelaburan itu, ada banyak cara untuk kita menambah ilmu berkenaan pelaburan yang diceburi.

Jangan berasa kedekut untuk mengeluarkan wang demi untuk pendidikan sepanjang hayat kerana jika kita melabur tanpa ilmu pengetahuan, dikhuatiri wang kita akan mengalami kerugian. Kita boleh mengambil kursus atas talian, menghadiri bengkel, atau menghadiri seminar yang dianjurkan samada secara percuma atau berbayar. Ia, pelaburan boleh mendatangkan kerugian. Ramai yang berfikir bahawa pelaburan hanya akan mendatangkan keuntungan semata-semata. Realitinya, pelaburan juga boleh mendatang kerugian. Justeru itu apa yang harus anda lakukan untuk memastikan risiko kerugian dapat dikurangkan dan potensi keuntungan dapat dimaksimumkan?

Sebagai contohnya ,selepas PRU 14 ini, banyak kaunter saham atau instrumen kewangan yang mengalami penurunan atau kenaikan yang agak mendadak. Kaunter-kaunter yang berkaitan dengan kerajaan terdahulu mengalami penurunan yang agak ketara sementara kaunter-kaunter yang berkaitan dengan kerajaan semasa mengalami kenaikan yang agak tinggi. Ini adalah risiko yang perlu yang dihadapi oleh seseorang pelabur di dalam pasaran saham.

Faktor ketidakpastian dengan kelangsungan polisi-polisi sedia ada dan kemunculan polisi baru boleh menjejaskan atau meningkatkan prestasi keuntungan sesebuah syarikat di Bursa Malaysia. Contoh semasa ini dapat dikaitkan dengan keperluan pengetahuan di dalam pelaburan. Bagaimana caranya kita boleh meningkatkan pengetahuan dan pendidikan di dalam bidang pelaburan? Saya ingin mencadangkan beberapa cara yang boleh diguna pakai jika pembaca merasakan ianya boleh mendatangkan manfaat dan mengurangkan risiko di dalam pelaburan.

Pertama ialah dengan mencari seorang mentor yang pakar di dalam bidang pelaburan yang ingin anda ceburi. Ramai pakar-pakar pelaburan di dalam industri yang mana anda boleh mencuri sedikit pengalaman mereka. Sebagai pelabur yang masih baru di dalam bidang pelaburan, kita perlu meminta bantuan dan nasihat daripada mentor pakar ini. Selalunya, mereka bersedia untuk membantu anda, jika mereka mempunyai masa. Luangkan masa dengan mereka untuk berbual tentang pelaburan yang akan anda ceburi. Segelas teh tarik atau kopi boleh memberikan anda peluang mempelajari ilmu pelaburan dari mentor-mentor hebat industri ini.

Seterusnya, perkara asas yang kedua ialah untuk mendapatkan pendidikan kewangan. Ini memerlukan tindakan, tanpa tindakan ianya akan hanya menjadi angan-angan mat jenin sahaja. Kita boleh menghadiri kelas, belajar melalui kumpulan pembelajaran atas talian (Saya ada menganjurkan pembelajaran atas talian menggunakan aplikasi telegram), mendengar ceramah, membaca buku, majalah, artikel berkaitan kewangan dan pelaburan, berbincang dengan mentor, dan menghadiri semua seminar yang berkaitan dengan ilmu kewangan dan pelaburan. Pendidikan iaitu pelaburan untuk minda kita tidak akan benar-benar berlaku kecuali kita mengambil tindakan. Justeru itu, saya menyarankan pembaca untuk menyisih sedikit masa yang terluang untuk meningkatkan ilmu pengetahuan di dalam bidang kewangan. Di dalam siri yang akan datang saya akan mengupas tentang aliran tunai untuk pelaburan.