Perancangan kewangan Naqli dan Aqli siri 20

Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd DaliFakulti Ekonomi dan Muamalat

Di dalam siri yang lepas, saya telah membuka topik perbincangan tentang pelaburan. Persoalannya berapa ramai yang sudah mula berjinak dengan pelaburan? Apa yang dimaksudkan dengan pelaburan ini bukan hanya simpanan tunai anda di bank atau simpanan tunai anda di dalam tabung anda. Walaubagaimanapun untuk menjadi seorang pelabur, anda perlu menjadi seorang penyimpan dahulu seperti yang telah diutarakan dalam beberapa artikel yang lepas.

Saya juga ada mengupas tentang perbezaan tentang pendapatan aktif, pasif dan portfolio. Kebanyakan orang memulakan hidup mereka dengan membuat pendapatan biasa sebagai pekerja. Jalan untuk membina kekayaan bermula dengan menukarkan pendapatan yang diperolehi ke dalam jenis pendapatan pasif dan portfolio sebaik mungkin.

Tekniknya adalah sangat mudah tetapi amat sukar untuk dilakukan. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan menyimpan sebahagian pendapatan yang diperoleh dari pekerjaan anda untuk dijadikan modal pelaburan dan labur sebahagian wang untuk mendapatkan pendidikan mengenai jenis-jenis pelaburan tertentu agar wang akan bekerja untuk kita dan bukannya kita bekerja untuk wang.

Pelaburan yang akan anda ceburi seperti saham, bon, hartanah, komoditi, saham amanah dan pelbagai lagi, perlu memberikan anda pulangan dalam bentuk aliran tunai. Wang masuk ke dalam poket anda dan bukannya wang keluar dari poket anda. Kefahaman tentang arah aliran tunai ini adalah amat penting untuk memastikan wang bekerja untuk kita. Minda seseorang pelabur akan memastikan wang bekerja untuk mereka, minda seorang usahawan pula memastikan orang bekerja untuk mereka di samping menggunakan wang orang lain untuk bekerja untuk mereka dan akhirnya mereka juga akan menjadi pelabur dengan menjadikan modal mereka bekerja untuk mereka.

Di sini kita masih perlu untuk memberikan komitmen yang berterusan untuk bekerja cuma kita juga perlu memaksa wang untuk bekerja untuk kita dengan memberikan aliran tunai. Bagaimana untuk mengenal pasti aliran tunai tersebut? Kita perlu mempelajari bagaimana pelaburan itu boleh memberikan aliran tunai. Ini adalah kerana ada pelaburan tidak memberikan aliran tunai kerana ianya memberikan keuntungan ke atas modal sahaja.

Sebagai contohnya, jika kita berhasrat untuk menjadi pelabur hartanah, ada perbezaan samada sesebuah pelaburan hartanah itu akan memberikan aliran tunai atau keuntungan atas modal. Jika kita membeli sebuah tanah, dan menyimpannya dengan harapan mengharapkan harganya akan meningkat pada masa akan datang, adakah ianya akan memberikan pulangan? Sudah tentu jika lokasi yang di pilih adalah lokasi yang amat strategik di mana pembangunan masa depan akan dijalankan, kita akan memperolehi keuntungan di atas modal yang kita telah tanam. Jika harganya telah meningkat dari RM1 juta kepada 2 juta, secara matematiknya, kita sudah memperolehi keuntungan kasar sebelum cukai sebanyak RM1 juta. Walaubagaimanapun, kita perlu menunggu untuk beberapa ketika untuk mendapatkan keuntungan tersebut.

Berbeza dengan keuntungan ke atas modal, aliran tunai adalah aliran positif yang diterima kita secara konsisten setiap bulan, 3 bulan sekali atau tahunan. Aliran tunai ini boleh didapati apabila kita menerima sewaan bulanan dari penyewaan tanah yang telah kita beli tadi. Jumlah sewaan pula perlu sekurang-kurang melebihi dari kos bulanan yang perlu kita bayar jika kita menggunakan pembiayaan bank untuk membeli tanah tersebut.

Apabila aliran tunai adalah positif maka kita telah memperolehi aliran tunai tambahan pada setiap bulan yang boleh kita samada simpan untuk menjadi modal pelaburan seterusnya atau menjadi kegunaan sendiri.

Di dalam pasaran saham juga kita perlu memahami tentang konsep ini, iaitu pulangan ke atas pelaburan boleh datang dalam 2 bentuk iaitu pulangan atas modal atau pulangan dividen. Tidak semua saham yang tersenarai akan memberikan pulangan dividen, ianya bergantung kepada polisi pembahagian dividen sesebuah syarikat. Kemampuan sesebuah syarikat untuk memberi dividen pula bergantung samada syarikat tersebut mendapat keuntungan atau tidak.

Secara logiknya, sesebuah syarikat yang tidak membuat keuntungan, tidak dapat memberikan dividen kepada pelabur.

Jika mana-mana syarikat yang tidak memberikan dividen, para pelabur hanya akan bergantung kepada jangkaan bahawa nilai syarikat tersebut pada masa akan datang akan lebih tinggi dari nilai semasa untuk mendapat pulangan atas modal yang telah dilaburkan. Justeru itu di dalam bab pulangan sahaja kita perlu mendapatkan pendidikan bagaimana wang boleh bekerja untuk kita. Ini termasuk juga bab risiko, risiko juga perlu kita pelajari, kerana sesuatu pelaburan itu berisiko dan perlu difahami. Jika kita tidak memahami risiko yang ada, kemungkinan pelaburan kita tidak akan memberikan pulangan yang kita harapkan. Dalam siri yang akan datang, saya akan mengupas bab risiko di dalam pelaburan.

2018-08-16T09:27:31+00:00