Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali
Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd DaliFakulti Ekonomi dan Muamalat

Di dalam siri lepas, saya telah membuka topik perbincangan mengenai pemilihan pelaburan perlu dilakukan dengan baik berdasarkan risiko yang sanggup kita hadapi dan juga berapa pulangan yang kita mahukan. Di dalam keadaan yang biasa, kadar risiko adalah berkadar terus dengan pulangan yang kita jangkakan. Iaitu semakin tinggi jangkaan pulangan, semakin tinggi risiko yang kita perlu hadapi.

Sebagai contohnya, ramai yang telah cuba melabur di dalam wang kripto seperti bitcoin, etherum dan hampir lebih 2500 wang kripto yang didagangkan dan boleh dibeli di atas talian. Pada bulan Disember tahun 2017, harga bitcoin mencecah lebih USD19,000 bagi setiap satu dan ianya telah menjadi kripto mania.
Ramai yang berseloroh, menjual rumah, menjual kereta dan lain-lain untuk mendapatkan Bitcoin kerana menjangkakan harga akan meningkat kepada USD50,000. Hampir setahun selepas kenaikan tertinggi, harga Bitcoin pada 8/12/2018 adalah bersamaan USD3260 iaitu mengalami penurunan sebanyak lebih dari 80%. Ini adalah contoh salah satu wang kripto yang paling popular diantara 2000 jenis wang kripto yang tersenarai. Ianya memberi kesan yang amat mendalam kepada pembeli wang kripto dan ini dapat dilihat dari forum wang kripto global dimana ada yang kehilangan segala-galanya. Inilah risiko yang telah dihadapi oleh pelabur wang kripto berkenaan.

Ini yang dinamakan risiko di dalam pelaburan. Baru-baru ini, hibah Tabung Haji telah diumumkan dan kadar yang diberikan adalah yang terendah pernah diumumkan. Secara purata adar hibah yang diberikan kepada penyimpan adalah di antara 6% hingga 9%. Pemberian hibah yang agak rendah ini menimbulkan kegusaran kepada penyimpan dana. Secara umumnya, penyimpan dana di dalam tabung haji boleh di kategorikan kepada 2 kategori, iaitu penyimpan yang mahu menunaikan fardu haji dan yang ingin melabur untuk mendapatkan pulangan pelaburan. Pelabur jenis yang kedua ini mungkin sudah menunaikan fardu haji dan mungkin belum lagi menunaikannya.

Justeru itu, objektif penyimpanan bagi kedua-kedua kategori akan berbeza secara khususnya, iaitu untuk menunaikan haji dan yang kedua untuk mendapatkan pulangan pelaburan. Walaubagaimanapun, para penyimpan perlu memahami bahawa kontrak simpanan yang di tawarkan oleh Tabung Haji adalah berasaskan wadiah iaitu simpanan dan hibah adalah berbentuk hadiah yang kadarnya adalah bergantung kepada budi bicara pengurusan tabung haji berdasarkan prestasi kewangan pelaburan institusi.

Tabung Haji tidak mempunyai obligasi untuk memberikan hibah atau mempunyai obligasi untuk memberikan pada kadar tertentu dan kadar 1.25% itu adalah berdasarkan budi bicara pihak pengurusan. Pihak penyimpan juga tidak boleh menuntut kadar yang tertentu kerana pada asasnya mereka menyimpan dana dan pihak Tabung Haji bertindak sebagai penyimpan dana.

Walaubagaimanapun, pihak Tabung Haji tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan alasan ini untuk tidak memberikan pulangan yang kompetitif kepada penyimpan. Ini adalah kerana sebahagian besar dana yang disimpan di dalam Tabung Haji ada bersifat pelaburan yang mempunyai komposisi yang agak besar.
Jika anda seorang pelabur yang melihat kepada kadar pulangan, adakah anda akan menukar dana anda kepada pelaburan yang lebih tinggi dan masih patuh shariah seperti simpanan tetap perbankan Islam (4-5%), unit saham amanah (7-10%), pasaran saham (10-20%) dan lain-lain instrumen patuh shariah.

Sementara itu, pulangan sebanyak 1.25% itu adalah lebih rendah dari kadar inflasi negara yang secara purata berada pada adar 2.1%. Persoalannya adakah, pelabur malah penyimpan, akan terus melabur di dalam dana yang akan susut nilai kerana kadar pulangan adalah lebih rendah dari kadar inflasi? Disamping itu dengan kadar yang kompetitif dan strategi pelaburan semula akan mempercepatkan penyimpan untuk mencapai objektif mereka samada untuk menunaikan haji atau untuk mendapat kadar pulangan yang diharapkan.

Justeru itu, Tabung Haji sebagai suatu institusi yang menjaga kepentingan umat Islam dan mempunyai kekuatan dana yang besar perlu bertindak untuk mencari jalan untuk menjadi kompetitif untuk menjadi relevan sebagai sebuah institusi kewangan yang menjadi pilihan penyimpan dana di Malaysia. Tabung Haji tidak boleh menggunakan alasan simpanan adalah berasaskan kontrak wadiah dan dengan itu boleh memberikan kadar pulangan dan mengharapkan para penyimpan akan tetap setia bersama Tabung Haji. Untuk menarik kepercayaan pelabur dan penyimpan, Tabung Haji boleh melihat kepada produk selain wadiah iaitu yang berasaskan kepada mudharabah. Tabung Haji boleh memikirkan samada untuk menawarkan pelaburan yang boleh di kategorikan berdasarkan kecenderungan terhadap risiko pelabur. Kelas-kelas aset yang mempunyai risiko yang tinggi hingga yang rendah boleh ditawarkan seperti yang ditawarkan oleh dana saham amanah.

Justeru itu, simpanan dalam Tabung Haji akan dikategorikan kepada 2 jenis, wadiah dan mudharabah. Manakala bagi kategori mudharabah boleh lagi diklasifikasikan menurut risiko dan pulangan. Walaubagaimanapun, para pelabur perlu memahami apabila, melabur menggunakan kaedah ini, tiada jaminan yang modal mereka akan tidak menyusut. Malahan modal mereka tidak akan dijamin oleh kerajaan dan pulangan bergantung kepada prestasi dana kewangan pelaburan. Ini membolehkan penyimpan untuk terus bersama Tabung Haji disamping mereka mendapat kadar pulangan yang agak kompetitif di dalam pasaran.