Dr Ummi Salwa Ahmad Bustamam
Dr Ummi Salwa Ahmad BustamamPengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa

Islam sangat menganjurkan umatnya agar menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Hal ini digambarkan melalui sabda Rasullulah SAW yang bermaksud:
Daripada Rafi’ bin Hadij bahawa Rasullulah ditanya mengenai apakah pekerjaan yang paling baik. Rasullulah menjawab “Kerja seseorang dengan tangannya sendiri dan perniagaan yang diberkati” (Imam Ahmad bin Hanbal).

Maksud hadis di atas menjelaskan kepada kita bahawa Islam sangat menggalakkan umatnya bekerja sendiri dan melibatkan diri dalam bidang perniagaan. Malahan, Islam turut memandang mulia kepada golongan peniaga malah dijanjikan dengan balasan yang baik di akhirat kelak dengan syarat golongan peniaga ini benar-benar jujur dan ikhlas serta memahami dan melaksanakan konsep perniagaan yang telah ditetapkan dalam Islam.

Ini dijelaskan dalam hadis lain yang bermaksud:-
Abi Sa’id menceritakan bahawa Rasullulah SAW berkata: “Seseorang peniaga yang jujur dan amanah akan bersama nabi-nabi, para siddiqin dan para syuhada.” (Hafiz Abu Eisha At-Tirmizi).

Islam sangat menyokong dan memberikan ruang yang luas dalam urusan perniagaan, jual beli dan seluruh aktiviti yang berkaitan dengan keusahawanan. Namun, masih terdapat peraturan yang perlu dipatuhi sepertimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud:
“Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” Hal ini akan menjadikan peniaga Muslim dipandang mulia bahkan keseluruhan kehidupan manusia lebih bertamadun dan berakhlak.

Ketika bulan Ramadhan, umat Islam digalakkan melipatgandakan amal ibadat kerana telah dijanjikan oleh Allah SWT bahawa ganjaran kepada amalan sunat yang dilakukan sepanjang bulan yang penuh baraqah ini adalah seperti melakukan amalan ibadat fardhu manakala amalan fardhu bertambah 70 kali ganda ganjarannya.

Bulan ini juga umat Islam di Malaysia terutamanya turut sibuk membuat persiapan bagi menyambut 1 Syawal yang mana merupakan hari kemenangan setelah berpuasa di bulan Ramadhan. Justeru, sana-sini ramai orang mengambil kesempatan untuk berniaga. Bagi sesetengah orang, ada yang memang hanya menjalankan perniagaan di sepanjang bulan Ramadhan sahaja memandangkan keuntungan yang diperolehi boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Dalam kata lain, dalam setahun, hanya sebulan sahaja golongan ini menjalankan perniagaan.

Berdasarkan pemerhatian penulis di dalam media sosial yang menjadi platform utama rakyat Malaysia berkomunikasi, antara perniagaan yang dijalankan sebelum dan sepanjang bulan Ramadhan adalah seperti berikut:-
– mengambil tempahan menjahit pakaian raya
– mengambil tempahan membuat kuih/biskut raya
– membuat percetakan sampul raya
– menyediakan perkhidmatan mengemas rumah
– menjual makanan di bazar Ramadan
– menyediakan perkhidmatan katering jamuan berbuka puasa
– menjual telekung
– menjual produk kecantikan

Menjelang 1 Syawal pula, antara jenis perniagaan yang sangat popular dan mendapat sambutan ramai adalah:-
– menjual tiket bas/keretapi
– menyediakan perkhidmatan kereta sewa
– menjual gadget terkini
– menjualan perhiasan rumah
– menjual lemang, dodol – juadah tradisi yang sukar dimasak sendiri
– menyediakan perkhidmatan mengemas rumah

Selepas 1 Syawal pula, terdapat juga perniagaan yang menjadi permintaan iaitu:-
– perkhidmatan katering jamuan rumah terbuka
– menjual produk kesihatan

Justeru, bagi mereka yang ingin terlibat dalam perniagaan di sepanjang Ramadhan ataupun selepas 1 Syawal, jenis-jenis perniagaan di atas sangat mendapat sambutan. Yang penting, jadikanlah bulan Ramadhan sebagai platform untuk melipatgandakan amal ibadat di samping berniaga yang juga diniatkan sebagai ibadat. Sesungguhnya, amalan perniagaan yang bersandarkan Islam menjadikan sistem dan amalan perniagaan lebih bersistematik dan beretika. Misalnya, apabila melibatkan transaksi berhutang, kita digalakkan mencatat atau menulis segala transaksi yang berlaku. Ini ditegaskan dalam firman Allah, surah Al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud:-

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu. Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”