Dr Fathima Begum Syed Mohideen
Dr Fathima Begum Syed Mohideen Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed AriffinPenolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan)

Pada kelaziman para pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kerap turun padang menemui masyarakat melalui aktiviti pemeriksaan kesihatan dan pendidikan kesihatan seperti ceramah, khususnya kepada mereka di luar bandar. Namun, sejak wabak Covid-19 melanda negara serta pengisytiharan darurat, aktiviti libatsama masyarakat terpaksa ditangguhkan untuk mengelakkan risiko jangkitan virus berkenaan. Namun semangat para pensyarah FPSK untuk membantu masyarakat di kala pandemik tidak pernah luntur.

Pengumuman kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi yang memilih USIM di Nilai sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega membuka ruang dan peluang untuk USIM menyediakan perkhidmatan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada masyarakat khususnya di Negeri Sembilan. Para pensyarah FPSK telah berganding bahu membantu masyarakat mendapatkan suntikan vaksin ini. Malah seluruh warga USIM juga turut terlibat secara langsung.

Pada 28 Jun 2021, Universiti ini mula beroperasi sebagai salah satu PPV dengan kerjasama dari Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Protect Health Sdn. Bhd. FPSK dengan kerjasama USIM Healthcare Sdn Bhd (UHSB) berkerjasama membantu menguruskan pemberian vaksin ini. Pihak UHSB mengendalikan bahagian perubatan, iaitu perkhidmatan pemberian vaksin. Manakala, FPSK terlibat dibahagian pengurusan dan pemudahcara urusan pemberian vaksin ini.

Dengan pemilihan USIM sebagai PPV Mega seakan ‘memberi nafas’ kepada pakar-pakar perubatan khususnya untuk meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat di kala pandemik ini. Malah, membuka peluang kepada universiti berteraskan Sains Islam ini menerima tetamu khususnya bukan lslam. Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ini telah membuka pintu USIM kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Menyantuni tetamu

Menyantuni tetamu yang bertandang ke USIM apatah lagi atas urusan vaksinasi amat dituntut dalam Islam. Inilah masa untuk warganya terutama profesional perubatan memberi perkhidmatan terbaik kepada “tetamu” universiti yang pada awalnya, kebanyakannya terdiri daripada warga emas.

Selain  warga USIM, petugas di PPV ini merupakan sukarelawan dari Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dan kakitangan dari CITF. Sebanyak 20 kaunter pendaftaran, meja doktor, bilik vaksin dan kaunter verifikasi vaksin dibuka setiap hari. Ini membantu pemberian vaksin lebih cepat, malah mengembirakan penerima kerana tidak perlu menunggu lama. PPV ini beroperasi dari 8.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari termasuk hari kelepasan am.

Staf USIM dari peringkat sokongan, pegawai, pensyarah hingga ke profesor menawarkan khidmat secara sukarela semata-mata untuk membantu misi kerajaan dalam pemberian vaksin Covid-19 kepada rakyat. Difahamkan, mereka bertugas sekitar 12 jam bermula seawal 7.00 pagi hingga 7.00 malam. Namun, ada yang balik lewat kerana wajib mengemas kini data penerima vaksin pada hari yang sama dan ini mungkin mengambil masa sehingga 10 malam.

Disebalik semua ini, majoriti sukarelawan warga USIM yang terdiri daripada yang beragama Islam, tetap bertungkus-lumus membantu dan memberi perkhidmatan sebaik mungkin. Hal ini bertujuan untuk memastikan para penerima vaksin mendapat layanan yang terbaik, berasa selesa, berpuas hati serta gembira selepas menerima suntikan vaksin.

Peningkatan vaksinasi dan pencegahan Covid-19

Pembukaan PPV Mega USIM telah membantu mempercepatkan kadar pengambilan vaksin seterusnya mencapai tahap imuniti yang disasarkan dalam kalangan warganegara dan bukan warganegara yang menetap di Malaysia. Dalam sehari, pusat ini mampu menyediakan kira-kira 3000 dos suntikan kepada penerima. Difahamkan PPV ini akan beroperasi selama empat bulan. Sasaran kerajaan, dari sumber KKM adalah untuk mencapai 150 000 suntikan vaksin sehari.

Ini untuk mencapai vaksinasi 70 peratus hingga 80 peratus penduduk di negara ini pada akhir tahun ini. Lebih 650 PPV beroperasi di seluruh Malaysia. Kini, usaha vaksinasi berada di Fasa 3, iaitu dari Mei 2021 hingga Februari 2022, dengan sasaran 13.7 juta penduduk berumur 18 tahun ke atas.

Memandangkan kedatangan yang ramai ke DTC, SOP bagi mencegah penularan Covid-19 tetap dijaga. Bagi menjaga kebersihan, kesihatan dan keselamatan para petugas dan penerima vaksin di PPV ini, setiap hari DTC disanitasi dan diinfeksi selepas selesai proses vaksinasi. Kerusi roda disanitasi selepas digunakan, hand sanitizer disediakan dan semua orang diingatkan untuk sentiasa menjaga jarak.

Penggunaan pelitup muka dua lapis juga sering diingatkan. Mereka yang bergejala atau demam, tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan. Status MySejahtera akan diperiksa terlebih dahulu sebelum penerima vaksin masuk ke dewan. Langkah ini bertujuan mencegah penularan wabak Covid-19 di kalangan yang terlibat.

Maklum balas

Staff USIM yang terlibat bersyukur dapat menyumbang tenaga bagi membantu negara untuk meningkatkan kadar vaksinasi rakyat. Ramai di kalangan doktor, pensyarah dan kakitangan USIM terpaksa membahagikan masa mereka antara tugas hakiki dan menjayakan program imunisasi ini. Wujud kepuasan dalam diri yang memberikan rasa bahagia di hati walaupun kepenatan bertugas.

Maklum balas penerima vaksin tanpa mengira kaum menunjukkan mereka berpuas hati dengan layanan para petugas. Mereka tidak menyangka bahawa proses vaksinisasi di PPV ini berjalan lancar serta pantas. Mereka mengucapkan terima kasih dan ada juga yang melahirkan perasaan syukur melalui akaun facebook, instagram dan twitter mereka.

Kehadiran penerima vaksin dan ahli keluarga yang mengiringi mereka membuka peluang kepada masyarakat bukan Islam khususnya mengenali kampus dan warganya yang majoriti beragama Islam. Malah, mereka yang bukan Islam begitu kagum melihat USIM buat kali pertamanya, sebuah universiti yang cantik, kemas dengan warganya yang baik melayani mereka yang ramai.

Pelaksanaan PPV Mega ini amat bertepatan dengan salah satu aktiviti dalam Pelan Strategik Misi USIM 2022 iaitu libatsama masyarakat dan kesukarelawanan. Wabak Covid-19 telah membantutkan usaha USIM untuk turun padang menemui masyarakat melalui program-program yang telah dirancang sebelum ini. Namun, pemilihan sebagai tempat PPV Mega membuka peluang USIM untuk melaksanakan aktiviti berkenaan kepada penerima vaksin.

Dr Fathima Begum Bt Syed Mohideen ialah Pensyarah Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, Pakar Perubatan Keluarga, Klinik Pakar Kesihatan USIM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).