Hafizah Marzuki
Hafizah MarzukiJuru Audit Kanan, Bahagian Audit Dalam

Bulan Kebangsaan menjelma lagi. Saban tahun kita raikan bulan ini dengan penuh meriah tanpa mengira umur, kaum, agama dan darjat. Partisipasi masyarakat daripada segenap akar umbi menyemarakkan lagi kemeriahan Bulan Kebangsaan. Bendera Malaysia berkibar megah di merata ruang mewarnai lagi Bulan Kebangsaan. Kehadiran bulan ini dirai sebagai memperingati perjuangan orang dahulu memerdekakan tanah air daripada penjajahan bangsa asing dan mensyukuri segala pencapaian yang dikecapi negara sekarang. Kemerdekaan ini terus dinikmati sehingga kini walaupun 64 tahun berlalu. Sungguhpun begitu, nikmat kemerdekaan ini sering menjadi polemik masyarakat kerana masih ramai yang beranggapan kemerdekaan belum dikecapi sepenuhnya berikutan negara masih dijajah. Tragisnya, penjajah ini muncul dalam kalangan bangsa kita sendiri ibarat ‘api dalam sekam’. Mereka ialah bangsa korup, pengkhianat bangsa yang hidup senang bergelumang dengan rasuah.

Rasuah perosak bangsa. Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2020 menunjukkan Malaysia antara yang digambarkan sebagai salah satu negara yang terpalit dengan amalan rasuah dalam kalangan penduduknya. Persepsi buruk ini cukup membimbangkan kita. Ternyata, ia benar berlaku kerana hampir setiap bulan kita disajikan dengan berita tangkapan pesalah rasuah oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysi (SPRM). Rakaman tangkapan pelaku dengan tangan bergari dan berpakaian t-shirt warna oren sudah cukup memalukan negara walaupun baru berstatus orang kene tuduh (OKT). Ayuh kita sama-sama perangi saki baki bangsa korup yang masih bebas di luar sana. Kata pujangga ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’ amat praktikal dalam usaha menangani jenayah rasuah. Justeru, usaha ini perlu digembleng bersama bagi memerdekakan masyarakat daripada gejala rasuah dan sebarang anasir jahat yang lain.

Bulan Kebangsaan membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan kanak-kanak hingga dewasa. Semangat ini menyuntik semua lapisan masyarakat dengan nilai kecintaan yang tinggi kepada negara dan rasa bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara. Pertahan kedaulatan negara memberi pengertian yang amat luas mencakupi kebangkitan rakyat menentang penjajahan asing pada zaman dahulu dan perjuangan kita pada masa ini dalam memerangi segala anasir jahat termasuk jenayah rasuah. Nilai-nilai patriotik yang dipupuk ini dapat membentuk jati diri yang unggul dan kukuh bagi menepis segala pengaruh jahat yang berada di sekeliling kita. Percantuman sel-sel individu yang baik ini menatijahkan satu ekosistem komuniti yang sejahtera. Islam turut menekankan tanggungjawab umatnya menerusi dua prinsip asas iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dalam usaha mewujudkan masyarakat yang selamat dan sejahtera. Sekiranya prinsip ini dilaksanakan secara kolektif dan berkesan, maka kemungkinan kegiatan jenayah rasuah dapat dikawal daripada membarah dalam sesebuah masyarakat.

Perdana Menteri Malaysia yang ke-9, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya menyeru agar semua rakyat bersatu hati menerusi pendekatan ‘Keluarga Malaysia’. Konsep ini amat bertepatan dalam usaha semua pihak giat memerangi rasuah secara bersama. Bagaimanapun, masih ramai antara kita yang belum memahami secara jelas simptom atau gejala yang mendorong kepada amalan rasuah. Keadaan ini pasti menyukarkan usaha kolektif ini sekiranya tidak dibendung segera. Kunci solusi ini ternyata berada dalam agenda pendidikan negara. Pendidikan merupakan jambatan utama bagi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada rakyat khususnya berkaitan kesedaran bahaya jenayah rasuah. Pendedahan ini memberi amaran kepada orang ramai agar menjauhi jenayah ini di samping mengetahui tindakan yang betul dan yang salah supaya tidak mudah terjerumus dalam jenayah rasuah. Pada masa ini pelbagai saluran pendidikan boleh diperolehi bagi mendapatkan kesedaran bahaya rasuah seperti menyertai kursus, wacana, perbincangan, menonton video dan sebagainya.

Bulan Kebangsaan harus dihayati bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat supaya cintakan negara. Semangat ini membawa kita rasa bertanggungjawab melindungi kedaulatan negara daripada ancaman jenayah rasuah. Rasuah dan bangsa korup merosakkan keamanan negara. Pelaku jenayah rasuah harus diadili dan dihukum dengan setimpal supaya menjadi pengajaran kepada orang lain. Marilah kita bersama-sama membina bangsa merdeka yang bebas rasuah. Segala cemuhan yang menggelar negara sebagai kerajaan yang korup dan berlaku politik wang (kleptokrasi) harus ditangkis segera bagi mengembalikan kepercayaan dunia terhadap keselamatan dan kesejahteraan negara Malaysia tercinta.