Quran bukan sekadar untuk dibaca

Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah Mallow Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang–Undang

Setiap 17 Ramadan, umat Islam diserata dunia akan menyambut satu peristiwa besar dan penting dalam sejarah kewujudan agama Islam itu sendiri iaitu peristiwa turunnya kitab suci Al-Qur’an. Peristiwa berkenaan yang juga lebih dikenali oleh umat Islam sebagai “Nuzul Al-Quran” merupakan peristiwa turunnya ayat Al-Qur’an yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW secara berperingkat -peringkat sehingga ianya menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran seperti yang kita kenali pada masa kini.

Perkataan “Nuzul” bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Peristiwa Nuzul Al-Qur’an berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira berhampiran dengan kota Mekah. Bagi umat Islam yang benar-benar menghayati kitab suci terbabit, Al-Qur’an Kalamullah bukan sekadar pusaka peninggalan Rasulullah SAW semata-mata.

Mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW yang diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun ini, diamanahkan supaya manusia dapat mempelajarinya, menghayati seterusnya mengamalkan segala yang terkandung di dalamnya. Itulah panduan yang terbaik untuk menjadi pembimbing manusia ke arah gaya hidup yang sebenar dan panduan untuk manusia menjalani kehidupan yang kekal abadi kelak dengan penuh cemerlang. Allah berfirman di dalam Al – Qur’an melalui Surah Yunus: 57 yang bermaksud, “Wahai umat manusia! sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur’an yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”. Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita semua bahawa terdapat pelbagai bentuk panduan dan bimbingan penting yang dibawa melalui kitab suci Al-Qur’an khusus kepada kepada umat manusia.

Segala bentuk panduan dan bimbingan yang dibawa melalui Al-Qur’an ini dapat difahami dengan baik sekiranya kita dapat memahami segala isi kandungan yang dibawa di dalam kitab suci Al-Qur’an serta mengamalkan segala yang telah dinyatakan di dalamya.

Al-Qur’an adalah mukjizat terbesar yang diberikan kepada Nabi Muhammad SAW serta rahmat yang besar kepada umat Islam secara khususnya serta umat manusia secara keseluruhannya. Sehingga kini Al-Qur’an menjadi sumber rujukan utama oleh umat Islam di serata dunia dalam mendepani dan mengharungi kehidupan seharian mereka. Amat sukar untuk bayangkan kehidupan umat Islam tanpa adanya Al-Qur’an.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi semua umat Islam untuk memahami dan mendalami kitab suci itu secara terperinci serta mengamalkannya dan bukan hanya sekadar untuk disimpan di tempat-tempat yang dikhaskan atau sekadar untuk dibaca sahaja.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muaz Al-Juhani RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang membaca Al-Qur’an dan ia mengamalkan isi kandungannya, pada hari kiamat kelak Allah akan memakaikan mahkota kepada ibu bapanya. Cahaya mahkota itu lebih baik daripada cahaya matahari yang menerangi rumah-rumah di dunia. Maka bagaimana pendapat kamu mengenai orang (si anak) yang mengamalkan ini (membaca dan mengamalkan Al-Qur’an),” (Abu Daud).

Untuk memahami, mendalami dan mengamalkan kitab suci Al-Qur’an adalah penting untuk semua umat Islam untuk bukan sahaja membaca kitab tersebut malah mereka juga perlu faham mengenai segala maksud, makna dan tafsiran yang ingin disampaikan melaluinya. Perkara ini adalah penting kerana Al-Qur’an itu sendiri telah diturunkan dalam bahasa Arab manakala umat Islam itu sendiri terdiri daripada pelbagai bangsa yang mempunyai dan mengunakan bahasa mereka sendiri selain daripada bahasa Arab. Adalah mustahil untuk umat Islam yang tidak terdiri daripada bangsa Arab untuk memahami dengan sempurna segala maksud dan makna Al-Qu’ran itu tanpa mempelajari bahasa Arab ataupun mendapatkan bantuan daripada mereka yang betul-betul pakar dalam bidang tafsiran dan ilmu Al-Qur’an.

Walaupun apa-apa kesukaran yang dialami, segala usaha untuk memahami, mendalami dan mengamalkan apa yang telah dinyatakan di dalam Al-Qur’an haruslah dilakukan oleh semua umat Islam. Setiap Muslim harus berusaha untuk memahami, menghayati dan menghargai segala yang disampaikan dalam Al-Qur’an untuk menjadi umat Islam yang sempurna serta berjaya di dunia dan di akhirat.

2018-06-01T16:39:05+00:00