Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah MallowFakulti Syariah & Undang – Undang (FSU)

Pada 9 Mei , hampir 15 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi bagi memilih wakil rakyat untuk berkhidmat di dalam Parlimen di peringkat persekutuan serta di Dewan Undangan Negeri di peringkat negeri untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

Malaysia adalah sebuah negara yang bertuah kerana mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan meletakkan kuasa ditangan rakyat untuk memilih wakil rakyat bagi menjalankan tugas mentadbir negara ini. Untuk rekod, pilihanraya kali ini adalah kali yang ke 14 dibuat semenjak kali pertamanya dilakukan pada tahun 1955 yang lalu.

Sebagai seorang warganegara Malaysia, adalah penting setiap daripada rakyat Malaysia mengambil bahagian terhadap proses demokrasi ini dengan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang pengundi dengan mengundi mana-mana calon yang difikirkan sesuai untuk menjadi wakil rakyat mereka. Pilihan boleh dilakukan berdasarkan manifesto-menifesto pilihanraya yang telah dikeluarkan oleh setiap parti politik yang bertanding ataupun dengan lebih mengenali calon-calon yang telah diletakkan untuk bertanding di kawasan masing-masing.

Dalam memilih mana-mana calon pilihanraya, adalah penting para pengundi untuk memilih calon pilihanraya yang betul-betul berkualiti bagi memberi khidmat terbaik kepada mereka selepas tamatnya proses pilihanraya kelak. Para pengundi tidak boleh menggadai nasib mereka dengan memilih calon-calon yang tidak mempunyai kualiti yang sepatutnya dimiliki oleh seseorang wakil rakyat, calon yang perasan diri mereka bagus ataupun hanya berdasarkan populariti yang dimiliki oleh calon-calon terbabit. Oleh itu, adalah penting untuk para pengundi mengambil sikap yang lebih bijak dan serius ketika mereka ingin memangkah calon-calon pilihan mereka semasa tibanya proses untuk memangkah undi kelak.

Usaha memangkah undi bukan satu usaha yang boleh dipandang ringan serta dibuat main-main oleh para pengundi kerana implikasi atau kesannya bukan sahaja akan menimpa diri pengundi terbabit malah turut akan memberi implikasi atau kesan yang sama terhadap orang lain untuk tempoh lima tahun yang akan datang. Calon-calon yang ingin menjadi wakil rakyat perlu memiliki akhlak yang baik, tahap ilmu pengetahuan yang bersesuaian, serta pengalaman sekurang-kurangnya dalam urusan pentadbiran dan perhubungan awam. Ini adalah penting supaya ia dapat memudahkan sebarang urusan di antara pihak wakil rakyat dengan rakyat di kawasan yang mereka menangi kelak. Sebarang kualiti tambahan pada pihak calon yang bertanding seperti memiliki tahap kesihatan yang baik serta mudah mesra dengan orang ramai adalah digalakkan dan wajar diberi pertimbangan oleh para pengundi.

Calon-calon yang hendak dipilih juga perlu terdiri daripada mereka yang tidak memiliki sebarang rekod jenayah ataupun terdedah dengan sebarang kes ataupun skandal yang masih berada dalam siasatan pihak berkuasa. Ini adalah penting supaya calon yang hendak dipilih kelak dapat memberi 100% tumpuan dan fokus dalam melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab mereka terhadap rakyat dikawasan yang mereka wakili kelak dan bukannya sibuk ulang alik ke mahkamah bagi hadiri perbicaraan. Bagi memastikan calon-calon yang dipilih mempunyai tahap kualiti yang baik, para pengundi perlu lebih cakna dengan segala isu semasa yang berlaku dalam negara kita serta mengambil tahu terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan calon yang bakal bertanding pada pilihanraya yang akan datang.

Sikap acuh tidak acuh dalam perkara ini tidak wajar dilakukan. Para pengundi tidak boleh memperjudikan nasib mereka serta nasib anak-anak mereka dengan memberi undi kepada mana-mana calon pilihanraya yang sememangnya tidak layak untuk mewakili diri mereka untuk mentadbir negara bagi tempoh lima tahun yang akan datang.