Dr. Nurkhamimi Zainuddin
Dr. Nurkhamimi ZainuddinFakulti Pengajian Bahasa Utama

Tanggal 12 Rabiulawal dalam bulan hijrah Islam merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Maulidur Rasul tahun 2017 bersamaan dengan tahun 1439H disambut pada hari Jumaat, 1 Disember 2017 menurut tarikh penting Kalendar Islam 2017 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dengan tema ”Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara”, marilah sama-sama kita hayati dan mengambil iktibar akan  perjuangan Rasulullah SAW.

Kejayaan Rasulullah SAW di dalam mengembangkan Dakwah Islamiyyah sehingga tertegaknya sebuah negara Islam adalah berasaskan kepada pendekatan yang diamalkan oleh Baginda, iaitu secara wasatiyyah. Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan Islam secara berhikmah dan seimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas hak manusia. Pada masa yang sama agama Islam dijunjung dan dimartabatkan dan tidak juga meminggirkan penganut agama lain untuk terus mengamalkan ajaran mereka. Maka dengan sendirinya masyarakat Islam dapat dibentuk sebagai umat yang terbaik.

Hayati perjuangan Rasulullah SAW
Cara terbaik umat Islam dalam menghayati perjuangan Rasulullah SAW adalah dengan menghidupkan syariat dan syiar yang dibawa oleh Baginda semenjak 1400 tahun yang lalu. Rasulullah SAW adalah seorang Rasul yang telah menyelesaikan segala permasalahan umat dan telah menyempurnakan amanah Allah SWT sewaktu hayat Baginda dengan meninggalkan dua khazanah yang amat berharga kepada kita sebagai panduan hidup iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyah.

Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah Islam. Ia bertujuan untuk mentarbiah, membimbing dan mengingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran tersirat yang dapat kita perolehi ialah nilai dan usaha berterusan dalam memperingati perjuangan Rasulullah SAW sebagai pesuruh Allah dalam menegakkan ajaran Islam, juga sebagai Rasul dan nabi terakhir. Tambahan lagi Rasulullah SAW diiktiraf sebagai tokoh teragung sepanjang zaman kerana Baginda berjaya membawa perubahan besar kepada lanskap akidah, syariah dan akhlak seluruh juzuk hidup manusia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam.

Maka kita perlu memberi perhatian supaya sirah perjuangan Rasulullah SAW ini diteladani, diulangkaji, dirujuk dan disuburkan setiap masa, supaya kekal dalam ingatan dan jiwa manusia.

Malangnya kita sangat kesal jika sambutan atau majlis yang diadakan setiap tahun ini, tidak dihayati sepenuhnya dengan pengisian yang tepat oleh umat Islam. Bahkan lebih menyedihkan lagi ialah pada satu masa kita mengagungkan Rasulullah SAW dan pada masa yang lain pula kita juga melakukan maksiat ataupun perkara-perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW.

Pupuk perasaan cinta
Dalam menghadapi cabaran semasa, sudah pasti kefahaman umat Islam terhadap ajaran Rasulullah SAW perlu dikukuhkan. Antara cara yang dianjurkan untuk memupuk nilai cintakan Rasulullah SAW supaya sentiasa menjadi role model dalam kehidupan kita adalah:

a. Menyayangi Rasulullah SAW melebihi kasih sayang yang lain dengan cara menghayati kisah-kisah Rasulullah SAW, menerapkan sifat-sifat mulia Baginda ke dalam kehidupan seharian.
b. Memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar Rasulullah SAW serta ahli keluarga Baginda.
c. Menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai Ikutan

Kesimpulannya, Rasulullah SAW adalah contoh ikutan terbaik bagi seluruh umat manusia. Hari ini ramai tokoh yang lahir tampil untuk membuat kita kagum, namun personaliti Rasulullah SAW dan kebijaksanaan Baginda jauh lebih hebat hatta telah membawa perubahan kepada dunia seluruhnya sejak lebih 1,400 tahun yang lalu. Baginda telah menampilkan transformasi yang besar kepada aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek keteladanan yang boleh dicontohi oleh umatnya. Sesungguhnya, kelahiran Rasulullah SAW membawa rahmat seluruh alam.