Alifah binti Hj Hamid
Alifah binti Hj HamidGuru, Pusat Tamhidi

Pengenalan

Perubahan pesat dalam teknologi, globalisasi, dan transformasi digital menuntut sistem pendidikan yang lebih dinamik dan responsif terhadap perkembangan industri. Oleh itu, pendekatan pembelajaran yang lebih praktikal dan inovatif amat diperlukan bagi memastikan pelajar bukan sahaja menguasai teori tetapi juga mampu mengaplikasikannya dalam situasi sebenar, di mana ianya  perlu bergerak seiring dengan keperluan industri serta kemahiran praktikal.

Sebagai salah satu usaha ke arah pendidikan yang lebih berorientasikan amali, tenaga pengajar Program Tamhidi Perakaunan dan Muamalat telah memperkenalkan Projek Simuniaga. Melalui simulasi ini, pelajar bukan sahaja berpeluang memahami konsep asas perakaunan dengan lebih mendalam tetapi juga memperoleh kemahiran insaniah seperti penyelesaian masalah, pemikiran kritikal, dan pengurusan risiko.

Pendekatan Inovatif: Simulasi Perniagaan melalui Simuniaga

Kekurangan pengetahuan dalam pengurusan kewangan boleh menjadi cabaran besar kepada pelajar IPTA yang ingin membuka perniagaan tetapi tiada asas perakaunan. Tanpa pemahaman yang kukuh tentang perakaunan dan aliran tunai, perniagaan mereka berisiko mengalami masalah kewangan dan kegagalan awal. Oleh itu, diperlukan pendekatan pembelajaran yang lebih praktikal dan holistik bagi membekalkan pelajar dengan kemahiran sebenar dalam bidang ini. Seterusnya dapat  menyediakan pelajar yang mampu  memahami konsep transaksi kewangan, penyediaan laporan kewangan, dan analisis prestasi syarikat.

Menyedari cabaran ini, Simuniaga diperkenalkan sebagai sebuah projek inovatif yang membolehkan pelajar mengalami sendiri proses pengurusan kewangan dalam perniagaan melalui simulasi syarikat. Kaedah ini membolehkan mereka:

  • Menubuhkan syarikat simulasi dengan latar belakang industri tertentu.
  • Melakukan transaksi perniagaan sebenar dalam tempoh tiga bulan.
  • Menggunakan dokumen sebenar dalam penyediaan rekod kewangan.
  • Membuat perkiraan perakaunan menggunakan sistem inventori berkala.
  • Menyediakan laporan kewangan dan menganalisis prestasi syarikat.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu pelajar memahami teori perakaunan dengan lebih baik, tetapi juga membina kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan, penyelesaian masalah, dan pemikiran analitikal. Selain itu, ia turut membantu membentuk graduan yang lebih bersedia menghadapi cabaran industri yang semakin kompetitif. Bagi pelajar IPTA yang bercita-cita menjadi usahawan tetapi tidak mempunyai asas perakaunan, Simuniaga berperanan sebagai medium yang dapat meningkatkan literasi kewangan mereka serta memberi pengalaman praktikal dalam pengurusan kewangan perniagaan.

Keberkesanan dan Impak kepada Masyarakat dari Perspektif Ilmu Naqli dan Aqli

Kajian keberkesanan Simuniaga menunjukkan bahawa pendekatan ini berjaya meningkatkan pemahaman pelajar terhadap perakaunan dan kewangan. Namun, impaknya tidak terhad kepada pelajar sahaja, projek ini turut mempunyai potensi besar dalam meningkatkan literasi kewangan di kalangan masyarakat. Dengan pengadaptasian program ini ke dalam bengkel dan latihan untuk usahawan kecil dan individu, diharapkan lebih ramai individu dapat memahami kepentingan penyimpanan rekod kewangan yang baik serta strategi pengurusan kewangan yang lebih berkesan.

Islam juga menekankan kepentingan perancangan kewangan dan pengurusan harta dengan baik sebagaimana yang dijelaskan dalam Al-Quran; Surah An-NIsa ayat 5; “Dan janganlah kamu menyerahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya harta (mereka yang berada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan.”

Pendekatan simulasi dalam pendidikan perakaunan mencerminkan kaedah pembelajaran yang lebih efektif dan sejajar dengan keperluan dunia moden. Kaedah ini turut diperjelaskan melalui perspektif ilmu aqli yang menekankan kepentingan pengalaman praktikal dalam meningkatkan pemahaman konsep perakaunan. Dengan mengaplikasikan simulasi, pelajar dapat mengembangkan kemahiran analitikal, pemikiran strategik, dan kecekapan dalam pengurusan kewangan, sekaligus menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi cabaran industri. Pendidikan perakaunan yang lebih praktikal seperti ini membantu melahirkan individu yang lebih bersedia menghadapi realiti dunia perniagaan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih mampan.

Masa Depan Simuniaga: Cadangan Penambahbaikan dan Perkembangan

Dengan kejayaan projek ini, terdapat potensi besar untuk memperluaskan konsep Simuniaga ke program pendidikan lain, termasuk dalam bidang ekonomi, keusahawanan dan pengurusan kewangan peribadi. Antara cadangan penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan ialah:

  • Integrasi teknologi terkini seperti perisian perakaunan digital dan kecerdasan buatan untuk analisis kewangan.
  • Penggunaan realiti maya bagi simulasi perniagaan yang lebih realistik dan interaktif.
  • Kolaborasi dengan industri serta agensi kerajaan untuk memberi pendedahan kepada pelajar dan masyarakat tentang cabaran sebenar dalam dunia perniagaan.
  • Pembangunan modul khas untuk usahawan kecil dan sederhana bagi membantu mereka dalam pengurusan kewangan syarikat mereka.

Projek ini tidak hanya memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga berpotensi memberikan impak yang lebih luas kepada masyarakat. Pelaksanaan projek ini turut menyasarkan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berminat dalam keusahawanan, termasuk mereka yang tidak mempunyai asas perakaunan, agar mereka lebih bersedia dalam aspek pengurusan kewangan sebelum memulakan perniagaan mereka sendiri. Pendekatan pembelajaran melalui simulasi seperti Simuniaga bukan sahaja membantu pelajar memahami perakaunan dengan lebih berkesan tetapi juga melengkapkan mereka dengan kemahiran yang relevan dalam pasaran kerja.

Simuniaga merupakan platform yang boleh membantu pelajar IPTA yang bercita-cita menjadi usahawan membina asas yang kukuh dalam literasi kewangan dan pengurusan perniagaan, sekaligus mengurangkan risiko kegagalan dalam perniagaan. Dengan inovasi sebegini, pendidikan perakaunan boleh menjadi lebih menarik, praktikal, dan berimpak tinggi kepada seluruh masyarakat serta sejajar dengan prinsip-prinsip Islam dalam pengurusan kewangan yang berhemah.