Dr Abdul Rashid Abdul Aziz
Dr Abdul Rashid Abdul AzizPensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Ketibaan bulan Ramadan yang penuh barakah menjadi penantian setiap individu muslim. Kenikmatan beribadah lebih terasa dengan menunaikan solat tarawih yang hanya terdapat dalam bulan Ramadan sahaja. Keterujaan menyambut Ramadan jelas kelihatan di Anggerik Court Apartment, Universiti Sains Islam Malaysia pada 2 April 2022. Jawatankuasa Siswa dan Siswi Kolej Kediaman Anggerik Court Sesi 2021/2022 telah menganjurkan Solat Sunat Tarawih secara berjemaah bersempena mengimarahkan bulan Ramadan 1443H. Penganjuran Solat Sunat Tarawih berjemaah ini merupakan program utama julung kali di Anggerik Court setelah negara mencapai fasa peralihan endemik daripada wabak Covid-19.

Inisiatif ini mendapat sambutan yang baik oleh para penghuni Kolej Kediaman, bahkan turut disokong oleh Pengetua Kolej Kediaman Sutera Indah dan Kolej Kediaman Anggerik Court Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz, pihak Pengurusan Kolej dan Jawatankuasa Mesyuarat Bersama (JMB) Anggerik Court, merangkap badan komuniti yang bertanggungjawab. Sebagai usaha bagi menjayakan program ini, Jawatankuasa memulakan program dengan Solat Isyak berjemaah di Surau al-Ikhwan pada malam pertama bulan yang mulia ini yang dikendalikan oleh dua Imam bertugas, Muhammad Fadli bin Zainal Abidin dan Muhammad Muhaimin bin Harun, kemudian diteruskan dengan Solat Sunat Tarawih.

Kejayaan dalam menjayakan program Solat Berjemaah sebegini dapat dilihat sebagai suatu platform bagi mengeratkan silaturrahim antara pihak Pengurusan Kolej, Jawatankuasa Siswa Kolej bersama para penghuni Kolej Kediaman di samping dapat mengasah kepimpinan ahli Jawatankuasa dalam mengendalikan program serta mengetuai aktiviti-aktiviti sama ada bersifat ilmi mahupun dini. Di samping menjayakan program ini sebagai sebuah program komuniti di peringkat Kolej Kediaman, aktiviti solat berjemaah ini mempunyai pelbagai fadhilat dan manfaat yang seharusnya tidak dilepaskan sewenang-wenangnya oleh umat Islam, antaranya seperti memperoleh ganjaran sebanyak 27 kali ganda berbanding solat berseorangan, ditambah dengan kelebihan bulan Ramadan sebagai bulan yang dikurniakan pahala yang berlipat ganda.

Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Maksudnya: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan redha daripada Allah SWT, akan diampuni dosanya yang telah lalu” (Riwayat al-Bukhari). Oleh itu hendaklah setiap muslim merebut peluang melakukan ibadah di bulan Ramadan yang mulia ini agar pahala yang banyak dapat dikumpul dan mendapat manfaat di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, amalan solat sunat tarawih secara berjemaah ini memberi kualiti masa yang berharga untuk para siswa mengeratkan silaturrahim. Hal ini kerana perjumpaan sebegini jarang dilakukan memandangkan masing-masing sibuk dengan menghadiri kuliah dan menghabiskan masa di dalam bilik. Pada waktu ini para pelajar dapat beramah mesra dan mengenali antara satu sama lain malah mewujudkan hubungan kekitaan yang jarang dapat dilakukan kini.