Nuha Kasim
Nuha KasimPelajar, Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Kehidupan masyarakat kita hari ini begitu kompleks dan seringkali mencurigakan. Pelbagai peristiwa tragis dan penuh kontroversi terus membangkitkan tanda tanya tentang nilai-nilai murni yang sepatutnya diterapkan dalam masyarakat kita. Malangnya tirai 2023 di tutup dengan beberapa insiden kes bunuh yang menggemparkan negara dan setiap satu berlaku hanya selang beberapa hari. Ini memberi gambaran pahit tentang kebejatan sahsiah masyarakat kita hari ini dan sejauh mana kita telah melupakan nilai kemanusiaan dan adab susila serta penghayatan agama dalam kehdupan seharian.

Kes kematian seorang pelajar sekolah tingkatan 5 akibat sikap baran dan kurang sabar seorang pegawai kanan polis amat mengejutkan. Insiden ini menjadi sorotan utama ketika pelajar tersebut terbunuh setelah beliau dilanggar secara sengaja oleh pelaku yang seharusnya bertanggungjawab melindungi rakyat negara ini. Pertanyaan mendasar pun muncul: apakah masyarakat kita benar-benar aman dan dilindungi? Isu ini semakin memanas ketika reaksi masyarakat melalui media sosial menggema melalui protes dan tuntutan keadilan.

Terdahulu, tragedi yang menyayat hati pembunuhan seorang kanak-kanak autisme berusia 7 tahun. Anak istimewa yang masih kecil ini menjadi korban kekejaman yang tak dapat dijelaskan dan masih menjadi tanda tanya. Peristiwa ini menyiratkan pertanyaan serius tentang tingkat empati dan pemahaman masyarakat kita terhadap individu istimewa seperti mangsa. Anak autisme, dengan keunikan dan kelebihannya, seharusnya dihargai dan dilindungi oleh masyarakat. Pembunuhan terhadapnya bukan hanya kehilangan seorang anak, tetapi juga menciptakan luka mendalam dalam hati masyarakat. Kita dihadapkan pada kenyataan bahawa pendidikan dan pemahaman kita tentang golongan istimewa ini masih jauh daripada memadai.

Selain itu, kes-kes bunuh lain yang menyulami penghujung 2023 ini seperti pembunuhan seorang wanita di Sarawak akibat dipukul oleh sang suami dengan alat sukan dikenali sebagai dumb bell, ibubapa yang dibunuh kejam oleh anak kandung akibat pengaruh dadah dan kes penemuan mayat wanita di sebalik simen tebal serta yang terbaru kes di Klang dimana seorang wanita ditemui mati dibunuh di dalam kereta seusai menikmati makan tengahari amat menuntut penerapan semula penghayatan agama dan pengamalan nilai2 murni dalam masyarakat kita secara holistik.

Masyarakat kita diuji dalam kemampuan untuk bersatu, mengutuk ketidakadilan, dan mencari solusi bersama. Kita harus menilai kembali nilai-nilai kita sebagai masyarakat yang ingin hidup dalam keadilan, kedamaian, dan kesejahteraan. Kesemua insiden ngeri yang berlaku silih berganti ini seharusnya menjadi pendorong bagi kita semua untuk merenung dan bertindak, mengangkat kembali penghayatan agama yang sebenar dan penerapan nilai murni dalam diri.

Kita perlu menjadikan kesemua peristiwa ini sebagai titik tolak untuk membangun masyarakat yang lebih sedar, peduli, dan inklusif. Ajaran agama yang sebenar harus menjadi landasan utama dalam setiap aspek kehidupan kita, dan keunggulan sahsiah setiap individu harus dihargai sebagai kekayaan yang memperkuat, bukan melemahkan kita sebagai satu bangsa. Hanya dengan kembali kepada ajaran agama, mengangkat nilai moral dan bergerak bersama, kita dapat membentuk masyarakat yang lebih cakna, aman, dan berperikemanusiaan.