Dr. Khairunneezam Mohd Noor
Dr. Khairunneezam Mohd NoorPensyarah Program Dakwah dan Pengurusan Islam Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Ada sesetengah daripada kita menganggap bahawa tidur sebentar di waktu siang adalah sifat orang yang malas atau menganggap rutin tidur sebegini mengganggu kesihatan. Namun, sedarkah kita bahawa tidur di waktu siang merupakan suatu amalan harian yang telah dipraktikkan oleh masyarakat di negara-negara barat mahupun umat Islam sejak dahulu. Ia dianggap sebagai praktis untuk menyegarkan semula badan dan minda yang juga dipanggil sebagai power nap.

Peri pentingnya isu ini telah menyebabkan kerajaan Amerika Syarikat membangunkan National Sleep Disorder Association sebagai agensi khas untuk mengkaji dan menguar-uarkan akan kesan positif tidur di waktu siang kepada semua pihak. Sebagai golongan pekerja di dalam pelbagai sektor, perkara ini perlu diambil perhatian walaupun budaya tidur sekejap di waktu siang ini belum begitu popular di negara kita. Bayangkan daripada pagi hinggalah ke petang kita terlalu terfokus kepada tugasan dan kerja sehingga kita lupa untuk memberikan tubuh badan dan minda kita waktu rehat yang optimum dengan kaedah yang tepat.

Banyak kajian yang telah dilaksanakan oleh para sarjana dalam mengkaji akan kesan tidur sebentar di waktu siang. Mereka juga menghasilkan bahan-bahan ilmiah yang memberikan fakta tentang kebaikan tidur di waktu siang ini. Contoh buku popular yang boleh diperoleh di pasaran adalah seperti buku ‘The Art of Napping at Work’ karya Anthony dan Anthony, ‘Sleep and Alertness: Chrono-biological, Behavioural and Medical Aspects of Napping’ oleh Dinges dan Broughton dan sebagainya. Para sarjana ini cuba menghimpunkan bukti-bukti secara saintifik tentang kebaikan tidur sebentar di waktu siang terutamanya bagi para pekerja dalam mengekalkan produktiviti kerja seharian yang mantap.

Dikatakan bahawa waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika. Sistem pekerjaan yang kebiasaannya memperuntukkan waktu rehat pada waktu tengahari perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk tidur sejenak selain daripada makan tengahari, berbual-bual dengan rakan, melayari internet dan sebagainya. Pada masa inilah sistem badan manusia bersedia untuk memanfaatkan fasa berehat yang berjam-jam keletihan dipengaruhi oleh faktor suhu persekitaran serta pendedahan dan penggunaan tenaga fizikal dan mental ketika bekerja.

Keletihan bekerja memuncak pada waktu tengahari yang mana ia boleh mendorong seseorang pekerja mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus, mengantuk dan mudah marah. Fasa tengahari ini dipanggil oleh para sarjana sebagai fasa kelesuan pada pertengahan hari. Tempoh untuk tidur pula dikatakan sesuai dalam lingkungan 30 hingga 40 minit. Ini adalah kerana waktu tidur yang berlebihan pula akan menyebabkan gangguan kepada tubuh badan yang akan menjadi lesu dan malas untuk bekerja semula.

Daripada segi fizikal, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala membantu dalam menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah dalam pengaliran darah dan oksigen, memperbaiki sel-sel badan dan mengendurkan otot-otot yang digunakan secara aktif semasa bekerja. Daripada aspek kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan menjadi lebih tenang daripada stress sebaik bangun daripada tidur dan bersedia untuk melaksanakan kerja dengan lebih produktif, berkesan dan efisien.

Daripada perspektif Islam, tidur di waktu siang turut diiktiraf sebagai salah satu amalan yang baik. Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa ‘hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur sekejap pada siang hari kerana ianya membantu ibadah pada malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari’. Tidur sekejap di waktu siang bertujuan untuk menyegarkan semula bukan sahaja jasmani, malah rohani seseorang untuk beramal ibadah dan melaksanakan rutin hariannya.

Atas kesedaran tentang implikasi positif daripada tidur sekejap di waktu siang ini, banyak organisasi di barat yang menggalakkan para pekerja untuk mengamalkannya. Sehingga ke satu tahap, dikatakan terdapat majikan yang menyediakan ruang yang khas untuk tidur sementara yang lengkap dengan kerusi malas, kusyen, tuala muka dan haruman bagi para pekerjanya selain daripada pantri atau kantin.

Majikan atau pengurusan organisasi termasuklah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diharapkan faham akan keperluan rehat para pekerja. Cuba elakkan untuk mengadakan mesyuarat atau memberi sebarang tugas kepada pekerja sehingga mengganggu waktu rehat tengahari mereka. Begitu juga dalam kalangan pekerja yang perlu mengikis pandangan serong apabila terjumpa rakan-rakan yang tidur di pejabat dan tidak memberikan banyak masa untuk makan atau bersosial pada waktu rehat. Begitu juga dengan para pelanggan di kaunter-kaunter perkhidmatan yang perlu faham dan tidak bersungut apabila sesetengah kaunter ditutup untuk memberi ruang rehat seadilnya kepada semua pekerja.

Mungkin amalan tidur sementara sebegini tidak begitu praktikal dan janggal untuk masyarakat kita, namun pokok pangkalnya sebagai orang yang bekerja kita boleh cuba untuk mengadaptasi amalan ini. Sebagai pekerja, jika fizikal, mental dan emosi kita dapat direhatkan sebentar pasti kita dapat mengekalan prestasi kerja yang baik sehingga ke minit terakhir kita bekerja sehari-harian.