Dalam umat Islam di serata dunia termasuk di Malaysia menyambut hari kelahiran nabi junjungan, Nabi Muhammad SAW atau lebih dikenali sebagai Maulidur Rasul, rata–rata umat Islam juga melahirkan kerinduan pada zaman atau era di mana seluruh umat Islam berada di bawah pimpinan khalifah pada satu ketika dahulu. Tidak dapat dinafikan, kelahiran Nabi Muhammad SAW telah membawa cahaya kepada seluruh umat manusia diserata dunia yang pada ketika itu berada dalam kegelapan serta kelalaian hidup duniawi.
Sepanjang kehidupan Nabi Muhammad SAW, baginda telah melalui pelbagai jenis dugaan dan cabaran dalam menyebarkan agama Islam dikalangan masyarakat jahilliyyah pada zaman baginda. Sepanjang kehidupan baginda, baginda dianggap sebagai ketua atau pemimpin umat Islam. Sebarang masalah atau isu yang berbangkit dikalangan umat Islam akan dirujuk kepada baginda.
Nabi Muhammad SAW juga dianggap sebagai simbol penyatuan umah serta membawa kepada kestabilan terhadap stuktur pentadbiran kerajaan umat Islam di kota Madinah. Dengan peranan besar yang dimainkan oleh Nabi Muhammad SAW, sudah pasti kewafatan baginda pada 632 Masihi membawa kepada kerisauan dan kebimbangan dikalangan umat Islam yang masih berada dalam jumlah yang kecil pada masa itu. Namun, dikala masih berada dalam keadaan sedih di atas kewafatan nabi yang dijunjungi, umat Islam tetap berkumpul serta melaksanakan proses pemilihan ketua bukan untuk menggantikan nabi tetapi untuk memilih seorang ketua atau pemimpin yang dapat memainkan peranan untuk menyatupadukan umat Islam serta melindungi hak dan kedaulatan agama Islam yang baru hendak berkembang di Semenanjung Tanah Arab pada ketika itu.
Maka bermula dari episod pemilihan ketua ini lahirlah terma “khalifah” seperti yang difahami serta yang dirindui oleh rata–rata umat Islam pada ketika ini. Sistem khalifah berkenaan telah diguna pakai hampir 1,400 tahun bermula daripada kewafatan Nabi Muhammad SAW sehingga gelaran terbabit dimansuhkan pada tahun 1924. Tanpa kehadiran seorang pemimpin yang jelas, bermula dari tahun 1924 telah menyebabkan umat Islam berada dalam keadaan yang berpecah belah, konflik dan peperangan serta menjadi mangsa atau alat oleh negara–negara Barat bukan Islam yang sentiasa dahagakan hasil bumi atau kekayaan yang banyak dimiliki dikalangan negara Islam. Mengakui hakikat ini akhirnya, satu usaha telah diambil pada tahun 1969 dengan penubuhan satu pertubuhan yang dipanggil Pertubuhan Kerjasama Negara–Negara Islam atau lebih dikenali sebagai OIC.
OIC memainkan peranan untuk membawa umat Islam bersatu serta berperanan untuk melindungi hak serta kebajikan umat Islam diserata dunia. Namun, kelemahan yang terdapat pada OIC telah menyebabkan umat Islam masih berada dalam keadaan tidak menentu, miskin serta tahap pendidikan yang rendah dan ketinggalan berbanding dengan masyarakat barat. Segelintir umat Islam juga masih menghadapi konflik serta peperangan yang berpanjangan seperti yang berlaku di Syria, Iraq, Palestin serta yang sedang dihadapi oleh etnik Rohingya di Myanmar.
Pada masa yang sama juga, umat Islam terpaksa menghadapi kemunculan kumpulan–kumpulan radikal yang menggunakan agama Islam sebagai perisai untuk menyebarkan dakyah mereka yang songsang seperti kumpulan Al- Qaeda, ISIS, Abu Sayyaf dan lain-lain. Ramai umat bukan Islam serta umat Islam sendiri yang menjadi mangsa keganasan yang dilakukan oleh kumpulan–kumpulan radikal berkenaan. Semua permasalahan ini berlaku akibat daripada ketiadaan satu institusi atau kepimpinan yang betul–betul boleh menjadi pusat rujukan dan pengaduan diatas masalah yang dihadapi oleh umat Islam pada masa kini. Amat menyedihkan melihat sesetengah umat Islam terpaksa bergantung harap kepada negara bukan Islam bagi melindungi hak mereka. Oleh yang demikian adalah penting sekiranya umat Islam kembali bersatu dengan mengetepikan segala perbezaan yang ada pada mereka dalam mengharungi segala bentuk cabaran pada kini serta yang akan datang.
Pertubuhan OIC yang merupakan tunggak utama mewakili umat Islam seluruh dunia harus dimantapkan bagi melindungi serta menjamin hak umat Islam seluruh dunia. Pertubuhan OIC boleh memainkan peranan penting dalam menyatu padukan semua umat Islam yang dilihat berada dalam terkontang kanting pada masa kini. Pertubuhan yang diwakili oleh hampir 60 buah negara ini boleh memainkan peranan penting dalam menyatu padukan semua umat Islam. Hanya melalui penyatuan semua Islam segala isu berbangkit serta masalah yang di hadapi oleh umat Islam kini dapat diharungi serta di selesaikan dengan baik, sempurna serta yang paling penting selaras dengan kehendak dan tuntutan agama Islam seperti yang termaktub di dalam Al-Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad SAW.