Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah MallowFakulti Syariah & Undang–Undang

Sampai bila umat Islam harus bergantung harap terhadap negara Amerika Syarikat atau lebih dikenali sebagai “Negara Uncle Sam” bagi menyelesaikan banyak isu berbangkit yang berlaku dikalangan umat Islam pada masa kini seperti konflik penduduk Palestin, peperangan yang berpanjangan di bumi Syria dan Iraq, masalah penghapusan etnik Rohingya di Myanmar, dan lain-lain lagi.

Adakah Amerika Syarikat benar-benar ikhlas ingin membantu negara serta masyarakat Islam. Untuk makluman, konflik diantara penduduk Palestin dan Israel sudah berlanjutan lebih setengah abad, sehingga kini tiada penyelesaian yang diperolehi. Malah, jika dilihat dari tahun ke tahun semenjak konflik berkenaan wujud pada tahun 1948, nasib masyarakat Palestin menjadi lebih buruk sehingga kini.

Ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa, mana-mana pihak yang menjadi presiden negara Amerika Syarikat tidak langsung membawa apa-apa manfaat kepada umat Islam.

Oleh itu, sudah sampai masanya, umat Islam untuk bangkit serta menambahkan kekuatan terhadap diri mereka sendiri serta bangkit mempertahankan maruah diri serta agama mereka sendiri tanpa mengharapkan Amerika Syarikat. Umat Islam harus terus menjalinkan kerjasama sesama mereka serta mengetepikan segala perselisihan yang wujud sesama mereka.

Pertubuhan Kerjasama Negara Islam atau lebih dikenali sebagai OIC yang telah ditubuhkan oleh umat Islam itu sendiri hampir setengah abad yang lalu perlu menjadi platform utama untuk semua umat Islam tampil bersatu tanpa mengira fahaman mazhab atau perbezaan politik. Semua negara Islam harus bersatu dalam menghadapi segala cabaran yang bangkit dikalangan masyarakat Islam itu sendiri seperti masalah pengganas, masalah pelarian, masalah buta huruf dan lain-lain lagi tanpa perlu sentiasa bergantung harap pada negara bukan Islam terutamanya Amerika Syarikat yang belum tentu ikhlas menghulurkan sebarang jenis bantuan.