Universiti bernaratif baharu

Prof. Madya Dr. Zulkifli Hasan
Prof. Madya Dr. Zulkifli HasanFakulti Syariah dan Undang-undang

Sebagai pendidik saya selalu mengingatkan kepada para mahasiswa betapa pentingnya untuk bersama dan menyumbang kepada masyarakat. Malahan, sebahagian penilaian pemarkahan yang saya bangunkan juga ditentukan berdasarkan sejauh mana tugasan dapat dimasyarakatkan. Mahasiswa perlu dididik ‘hati’ mereka sejak dari awal untuk sentiasa prihatin dan ambil tahu isu masyarakat dan umat.

Menteri Pendidikan Malaysia yang baharu telah menyuarakan dengan tegas hasrat memasyarakatkan universiti dengan satu panggilan penting kepada dunia akademik agar universiti lebih mesra dengan masyarakat umum. Universiti tidak sewajarnya menjadi kawasan golongan elit eksklusif kepada segelintir pihak dan kurang mesra masyarakat. Universiti sebagai sebuah institusi ilmu perlu terbuka kepada semua khususnya dalam aspek mengilmukan masyarakat. Penulis berpandangan perkara ini adalah sangat penting seiring dengan transformasi pendidikan yang sedang direalisasikan dan lebih baik kerana perkara ini boleh dilaksanakan tanpa melibatkan proses undang-undang dan percaturan politik.

Naratif baru universiti ini bukanlah menafikan peranannya dalam masyarakat sebelum ini tetapi ia lebih kepada anjakan paradigma baru menjenamakan semula universiti yang lebih ramah dan rahmah kepada masyarakat. Universiti mudah untuk diakses oleh orang ramai dan keterlibatan masyarakat dipertingkatkan dalam aktivisme dan wacana keilmuan. Universiti tidak seharusnya membuat pelbagai peraturan yang akhirnya membantutkan keghairahan masyarakat untuk mendapatkan manfaat menerusi program keilmuan yang dianjurkan.

Dengan tidak menafikan kepentingan ‘Ranking’ atau kedudukan universiti sebagai antara usaha ‘benchmarking’ sesebuah universiti, fokus memasyarakatkan universiti juga adalah perkara yang perlu diberikan keutamaan. Dalam aspek ini, berbanding dengan pendekatan sebelum ini, universiti perlu lebih terbuka dan bersedia untuk meraikan kepelbagaian pandangan. Sebagai sebuah institusi ilmu dengan warganya yang matang dan berilmu, keresahan dan kekhuatiran terhadap sesuatu ideologi dan fahaman itu tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk menyekat suburnya budaya dialog dan intelektual di universiti. Pandangan segelintir ahli akademik yang mengatakan mahasiswa belum bersedia untuk didedahkan dengan sesetengah pemikiran dan idealisme yang seterusnya akan mempengaruhi fikrah seakan merendahkan kemampuan intelektual dan daya berfikir mereka. Mahasiswa yang progresif dan dinamik akan mampu berdialog, berbicara, berbahas, berdebat dan berdiskusi secara ilmiah mengenai pelbagai isu dan persoalan. Proses ini akan mempercepatkan kematangan, kemampuan intelektual dan kekuatan daya fikir mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin masyarakat dan umat.

Antara amalan yang sepatutnya diberikan wajah baharu dan dihentikan di universiti ialah aspek kerasmian dan keraian atau bersifat ‘ceremonial’ dalam banyak majlis dan program. Malahan terdapat program yang mengerahkan mahasiswa untuk hadir semata-mata untuk menampakkan keramaian terutama apabila melibatkan kehadiran menteri dan ahli politik. Dengan naratif baharu yang cuba dijelmakan ini, amalan dan uruf baru yang lebih segar dan ‘genuine’ perlu dibudayakan. Dalam masa yang sama, menteri dan ahli politik perlu bersedia untuk tidak lagi mengharapkan layanan istimewa tetapi sama rata merakyat bersama warga universiti.

Malaysia sedang menuju ke arah era yang lebih dinamik dan progresif. Namun, impian ini tidak akan dapat dicapai sekiranya ia tidak disambut oleh semua pihak. Dengan pelbagai cabaran terutamanya dari aspek budaya, fahaman, ideologi dan cara berfikir masyarakat, satu anjakan paradigma bersifat menyeluruh perlu berlaku dan ia seharusnya dicetuskan oleh ilmuan dan bermula di institusi ilmu. Warga universiti, ahli akademik dan mahasiswa perlu bergandingan bergiat aktif dalam kegiatan bersama masyarakat dan berusaha untuk meningkatkan penglibatan berorientasikan rakyat dan umat di universiti. Pembudayaan keintelektualan dan keilmuan perlu digerakkan secara serius dan pro-aktif oleh universiti yang bukan hanya memainkan peranan dari sudut pembangunan ilmu itu sendiri tetapi mewujudkan persekitaran yang mesra dan dekat di hati masyarakat.

Artikel ini ditulis bersempena Sambutan Ulang Tahun Penubuhan USIM pada tarikh bersejarah, 18 Jun 2000. Tahniah diucapkan buat USIM yang kini semakin giat memacu kecemerlangan warga pelajarnya untuk menjadi model graduan seimbang yang utuh dengan membawa integrasi ilmu Naqli dan Aqli bagi menyumbang kejayaan dan sumbangan kepakaran kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

2018-06-25T12:30:42+00:00