Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini OthmanTimbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik

Apa yang kita fahami dengan konsep bahagi dalam Matematik selama ini ialah sama rata, tidak lebih dan tidak terkurang. Bagaimanapun, dalam realiti kehidupan, pendekatan itu tidak boleh terpakai dalam semua keadaan kerana kita perlu bersandar satu lagi prinsip lebih utama iaitu keadilan.

Perlu difahami kesamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan kerana kedua-duanya mempunyai pemberat berbeza dan tidak boleh terpakai pada semua keadaan. Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara dikenali dengan kemajmukan kaumnya, mengambil pendekatan kesamarataan dalam menggubal sebarang dasar khususnya berkaitan rakyat perlu dibuat berhati-hati oleh kerajaan.

Teringat satu dialog dilafazkan Laksamana Hang Tuah dilakonkan Datuk M Nasir dalam filem epik Puteri Gunung Ledang. Pesan Hang Tuah ‘Kalau nak menurut biar berakal, kalau mengikut biar pintar!” Tertulis dalam Perlembagaan Malaysia Fasal (8) Perkara 1 bahawa semua orang adalah sama rata dan berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang. Namun, pentafsirannya tidak harus dibuat selapis kerana terbukti ada pihak kurang bertanggungjawab menggunakan hujah ini untuk menghapuskan hak kaum lain pula.

Ketaasuban memperkenalkan konsep kesamarataan pastinya membunuh konsep keadilan yang lebih insani dan tidak menzalimi. Tragedi 13 Mei antara sejarah hitam besar pasca pembentukan Malaysia, sewajarnya mengajar kita bahaya melaksanakan konsep kesamarataan sebagai asas utama pelaksanaan dasar yang membabitkan kaum di negara ini.

Penulis berpegang kepada prinsip sesuatu dasar yang ingin diangkat perlu berdasarkan realiti sebenar dan teras sejarah pembentukan negara ini. Ia bukan bersandarkan andaian yang tidak berpijak di bumi nyata, diselubungi sentimen berlebihan dan lebih malang lagi, demi memenuhi kepentingan sesetengah pihak sahaja.

Mengambil contoh reaksi orang Melayu dan Bumiputera apabila suatu ketika dahulu ada perancangan dan tindakan untuk Malaysia meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Justifikasikan mengapa negara kita perlu menuju ke arah itu adalah untuk menjadikan rekod hak asasi manusia negara lebih dihormati dunia. Kegusaran banyak pihak ketika itu apalah guna mendapat sanjungan luar jika ia menghancurkan asas pembinaan negara ini dengan nikmat keharmonian, toleransi dan perpaduan rakyat diperjudikan.

Selepas mendapat tentangan pelbagai pihak yang tegas menyatakan ICERD bercanggah Perlembagaan Persekutuan, malah secara terang lagi bersuluh akan menyentuh dan mengganggu gugat kedudukan orang Melayu, Bumiputera serta agama Islam, akhirnya Malaysia menarik diri daripada meratifikasi konvensyen ini.

Sejak kita mencapai kemerdekaan lebih enam dekad ini, jika ditelusuri pemimpin terdahulu amat berhati-hati mengambil tindakan yang menyentuh kontrak sosial, agama, pendidikan dan kebudayaan secara langsung kerana tidak mahu keharmonian antara kaum diperjudikan.

Tindakan cermat ibarat ‘menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tidak berselerak’. Inilah rahsia kemakmuran Malaysia sehingga kini.
Bersempena kita berada dalam Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020 bertemakan Malaysia Prihatin, ambillah peluang untuk kembali menghayati jerih perit dan onak duri pembentukan pertiwi ini supaya rasa cinta padanya terus mekar dan harum mewangi.