Dr. Azlan Shaiful Baharum
Dr. Azlan Shaiful BaharumTimbalan Dekan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama

Apabila diimbas kenangan ketika berada di Hebron Palestin beberapa tahun yang lalu, dalam keadaan serba daif dan miskinnya, anak-anak kecil berebut-rebut makanan yang dibawa oleh rombongan penulis, sekadar gula-gula dan manisan, sangat menginsafkan kita yang tinggal di bumi Malaysia yang bertuah ini. Kita bukan sekadar dapat menikmati keamanan dan kebebasan yang berpanjangan, malahan dapat menjalani ibadah puasa dengan selesa dan selamat. Walaupun berpuasa sepanjang siang hari, tetapi masih menikmati kelazatan makanan pada waktu berbuka puasa atau dalam bahasa Arabnya dipanggil iftar.

Umat Islam di Malaysia sangat beruntung kerana masih diizinkan menikmati kehidupan aman dan selesa, dilimpahi pelbagai rezeki dan dapat bersama keluarga tercinta dan sahabat handai serta jiran tertangga. Kita masih dapat menunaikan kewajipan kita sebagai Muslim dengan sempurna terutama ibadah puasa yang sedang kita lakukan sekarang ini. Suasana ini perlu disyukuri sepanjang masa.

Akan tetapi salah satu perkara yang sering dikaitkan dengan amalan berpuasa di tempat kita ini ialah limpahan makanan yang banyak sehingga berlakunya pembaziran yang saban hari berlaku, terutamanya apabila kita membeli juadah berbuka puasa secara berlebih-lebihan di bazar-bazar Ramadan berhampiran kediaman kita, dek kerana tidak sempat menyediakannya sendiri.

Membeli juadah berbuka puasa itu tidak salah. Di samping untuk keperluan sendiri, kita juga membantu ekonomi sesama Muslim. Mereka yang berniaga mencari rezeki dan sesuap nasi. Kita memang digalakkan untuk menyokong perniagaan mereka. Yang menjadi masalah segelintir kita adalah membeli juadah mengikut hawa nafsu dan selera kelaparan kita.

Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa pembaziran ialah perbuatan mengeluarkan atau menggunakan harta pada jalan yang tidak betul yakni tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah dan tidak berlandaskan tuntutan Sunnah Rasulullah. Manakala Ibnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah.

Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehinggalah Allah menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’:27)

Ini jelas dalam statisitik yang dikeluarkan oleh SWCorp bagi tahun 2015, menunjukkan bahawa sepanjang 30 hari Ramadan, sisa makanan yang terbuang adalah 270,000 tan setiap tahun atau lebih kurang 9000 tan sehari. Makanan itu sebenarnya boleh diagihkan kepada 180 juta orang iaitu enam kali ganda jumlah penduduk Malaysia yang kini berjumlah 32 juta orang!

Selain itu, dalam laporan akhbar pada tahun 2017 melaporkan empat kategori makanan yang sering dibuang ialah terdiri daripada sayur-sayuran, makanan di dalam tin yang tamat tarikh luput, sisa makanan yang dihasilkan pengguna dan peniaga serta pembungkusan (plastik) yang digunakan untuk membungkus makanan. Ini amat menyedihkan kita.

Pada bulan yang mulia ini juga, ramai yang bermurah hati memberi makan kepada orang lain. Memberi makanan untuk orang berbuka puasa amat baik sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis bahawa: “Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut” (Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah).

Namun begitu tahukah kita bahawa amalan baik ini kadang kala tidak mencapai matlamatnya apabila berlaku banyak pembaziran makanan? Ini terjadi apabila terlalu banyak makanan yang disediakan sehingga tidak dapat diagihkan kepada yang memerlukan seperti golongan tidak mampu atau gelandangan. Kadang kala boleh dilihat banyak makanan terbiar di jalanan mungkin kerana makanan tersebut tidak sempat diagihkan atau tidak mampu dihabiskan si penerima.

Ada pula dalam kalangan peniaga bazar Ramadan pula yang menjual makanan dan minuman dengan harga yang tidak munasabah. Harga yang diletakkan terlalu tinggi berbanding makan tersebut. Dari makanan yang dipanaskan semula dan yang tidak mencapai kualiti yang diharapkan oleh pembeli. Sehingga ada pelanggan yang mengalami keracunan makanan dan menjejaskan kesihatan. Walaupun bukan semua peniaga bersikap tidak jujur, ia sedikit sebanyak menjejaskan nama para peniaga lain. Sikap tamak keuntungan yang lumayan sudah tersasar dari matlamat perniagaan mengikut sunnah Rasulullah SAW dan mencari keredhaan Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda tentang sifat tamak: “Sesungguhnya, seandainya anak Adam diberikan satu lembah yang penuh dengan emas, pasti dia akan ingin memiliki lembah yang kedua, dan seandainya dia sudah diberikan yang kedua, pasti dia ingin mempunyai yang ketiga. Tidak ada yang dapat menutup perut anak Adam kecuali tanah, dan Allâh SWT Maha Menerima Ttaubat bagi siapa saja yang bertaubat.”

Hadith ini menjelaskan bahawa sikap segelintir manusia yang tamak akan harta benda. Diumpamakan, ia memiliki satu lembah emas, tetap saja ia ingin dua lembah emas, kalau sudah memiliki dua lembah emas atau harta yang banyak, maka tetap dia tamak dan bercita-cita untuk memiliki tiga lembah emas. Oleh sebab itu di dalam hadith ini, manusia disuruh bertaubat kepada Allah SWT atas sikap mazmumahnya itu. Dan Allah SWT akan menerima orang yang bertaubat dengan taubat yang ikhlas, jujur, dan benar.

Jadi, tidak hairanlah terlalu banyak sikap membazir dan tamak ini. Apa yang menyedihkan ialah pembaziran ini berlaku pada bulan Ramadan, bulan untuk kita sepatutnya meningkatkan amalan dan memperoleh pelbagai ganjaran daripada-Nya dengan berjimat cermat dan bersederhana dalam segala aspek . Inilah yang telah mencemarkan keberkatan dan kesucian Ramadan. Oleh itu, berhati-hatilah dengan dua sikap yang buruk dan terkeji ini agar amalan puasa kita semua kekal suci dan terus membawa manfaat kepada umat Islam.