NILAI – Sekumpulan kakitangan Pusat Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghasilkan inovasi baharu kepada peti kecemasan sedia-ada di pasaran kepada beg kecemasan.
Dianggotai 10 orang ahli yang diketuai oleh Dr Nik Mohd Shafikudin Md Nik Tajuddin selaku Pengarah Pusat Kesihatan USIM, beg kecemasan yang dinamakan Sonic ini adalah merupakan beg galas/sandang yang sesuai digunakan untuk ativiti luar (outdoor) menggantikan peti kecemasan sedia ada.
Peti kecemasan sedia ada mempunyai beberapa kesulitan untuk aktiviti luar seperti reka bentuk kurang sesuai, mudah rosak kerana diperbuat daripada kotak dan plastik, tidak mempunyai manual panduan penggunaan dan harga yang mahal.
“Apabila kita ingin menghasilkan beg kecemasan Sonic ini, pasukan telah menetapkan spesifikasi beg yang dihasilkan nanti perlu mempunyai reka bentuk sesuai, diperbuat dari bahan tahan lasak dan saiz yang sederhana. Di pasaran memang tidak ada lagi beg kecemasan yang sesuai untuk outdoor dan USIM ingin menjadi pencetusnya.”
“Hasil kerja berpasukan amat terserlah bermula dari percambahan idea reka bentuk, ruang penyimpanan ubatan, ciri-ciri tambahan untuk memenuhi keperluan semasa kecemasan sehingga kepada penghasilan beg Sonic ini”.
“Beg ini bukan sahaja mudah dibawa, kos seunitnya juga murah berbanding harga peti kecemasan, ia juga diperbuat daripada material berkualiti dan mudah didapati. Malahan turut juga disertakan panduan penggunaan yang mudah difahami dan amat membantu para penggunanya” ujar Dr. Nik Mohd Shafikudin.
Antara alatan asas kecemasan yang disediakan di dalam beg ini adalah dresing steril, plaster luka, kain anduh, pembalut kain kasa, larutan iodin, krim antiseptic dan gunting kecil.
“Beg Kecemasan Sonic juga disertakan dengan beberapa ciri tambahan yang tiada pada peti kecemasan biasa iaitu mempunyai tilam tidur mudah bawa, lampu picit, tempat simpanan sejuk (paket ais), penambahan stretcher, poket powerbank dan kompas.” Katanya lagi.
Sebanyak sembilan (9) unit beg Sonic telah dihasilkan oleh Pusat Kesihatan USIM untuk kegunaan aktiviti luar pelajar khususnya di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM. Melalui soal selidik yang dibuat kepada 42 orang respondan yang menggunakan beg ini, 93% berpuas hati dengannya dengan sifar kerosakan selepas digunakan.
Inovasi Beg Kecemasan Sonic ini turut mendapat pengiktirafan semasa Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringakat Universiti Awam kali ke-11 lalu apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pengurusan Bencana Negara dan menerima penarafan Emas.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204