Kuala Lumpur, 9 Oktober 2009 – USIM menang satu perak dan tiga gangsa dalam Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2009) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaya. PECIPTA 2009 telah diadakan selama 3 hari bermula 8 hingga 10 Oktober bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

‘New Source of Citral from Lemongrass Flower’s hasil ciptaan Prof. Madya Dr. Ahmed Mahir Mohamed Mokhtar Bakri berjaya memenangi pingat perak manakala ‘Rush Tea-Roselle Tablet Tea’ ciptaan Prof. Salmah Yusof, ‘Combat-PSDA’ dan ‘RecoTAC-E’ ciptaan En. Abd. Halim Mohd Hussin berjaya memenangi pingat gangsa.

USIM menghantar sebanyak 12 ciptaan dan inovasi yang terdiri daripada empat kategori iaitu Biosains dan Bioteknologi, Informasi dan Teknologi Komunikasi, Sains Fizik dan Kejuruteran serta Sains Sosial dan Kemanusiaan. Manakala satu inovasi iaitu ‘Multi-class Traffic Packet Switching’ oleh Prof. Dr. Kamaruzzaman Seman dipilih untuk menyertai pertandingan di Galeri Utama.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, PECIPTA 2009 bertujuan mempamerkan hasil, ciptaan dan inovasi yang dihasilkan oleh semua IPT di Malaysia dan juga luar negara. Selain itu, dapat membuka peluang kepada peserta menjalinkan tali silaturahim dan usahasama bagi membangunkan prototaip dan pengkomersilannya.

Antara objektif utama PECIPTA 2009 adalah untuk menyokong hasrat Kerajaan memacu pembangunan negara melalui penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan. Di samping itu, mempamer produk dan reka cipta IPT yang telah berjaya dikomersialkan serta memasarkan kepakaran penyelidikan berdaya saing setempat dan antarabangsa.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Tan Sri Muhyiddin Haji Mohd Yassin. Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Y.B. Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028