Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus melakar sejarah gemilang bagi tahun 2013 dipentas antarabangsa apabila melalui pencapaian terkininya, USIM menerima tiga anugerah tertinggi daripada Europe Business Assembly (EBA) pada majlis khas, Socrates Award Ceremony yang berlangsung di Dewan Bandaraya Oxford, London pada 16 hingga 19 Disember baru-baru ini.
Dalam majlis ini, USIM yang diwakil sendiri oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asma Ismail, Naib Canselor USIM menerima anugerah ‘Best Regional University’. Anugerah ini dinobatkan kepada USIM atas peranan penting yang disumbangkan oleh Universiti dalam memperkasakan pendidikan Pengajian Islam di peringkat pengajian tinggi serta pada masa yang sama menunjukkan kecemerlangannya sebagai sebuah Universiti Islam yang mempunyai kekuatan dalam bidang pengajian Sains, Perniagaan dan Perubatan selain Pengajian Islam sebagai terasnya.
Pada majlis sama, YBhg. Naib Canselor turut menerima pengiktirafan oleh panel pemilih EBA untuk dinobatkan sebagai penerima ‘Best Manager of The Year’ atas kepimpinan, profesionalisma dan reputasi cemerlang beliau dalam memimpin sebuah Institusi Pengajian Tinggi. Anugerah ini secara tidak langsung mengiktiraf kesungguhan beliau dalam membawa USIM sebagai Universiti yang ingin mempelopori Sains Islam secara berkesan diperingkat nasional dan antarabangsa.
Sementara itu, dalam majlis berasingan anjuran EBA iaitu ‘Oxford Summit of Leaders Science and Education’ yang telah dianjurkan sejak tahun 2000 dengan menghimpunkan lebih 300 pemimpin tinggi yang terdiri daripada Ahli Akademik, Presiden Universiti, Canselor, Ahli-Ahli Sains, Penyelidik dan Para Pelabur dari seluruh dunia, USIM sekali lagi diberi pengiktirafan melalui Anugerah ‘Best Scientist 2013’ kepada YBhg. Naib Canselor.
Sebanyak 934 pencalonan bagi anugerah ini dengan pemilihan penerima dibuat oleh panel juri secara atas talian berdasarkan beberapa kriteria iaitu sumbangan dalam pembangunan ilmu sains, penyelidikan, kelestarian komuniti dan institusi, penerbitan jurnal berimpak, geran dan pengkomersialan produk inovasi.
Antara sumbangan besar beliau adalah melalui penghasilan kit yang dikenali sebagai TYPHIDOT bagi mengesan demam kapialu yang telah dipasarkan dengan meluas ke 18 buah negara terutamanya negara miskin dan negara membangun. Kit ini memberi kesan yang besar kepada bidang sains, industri dan masyarakat dunia kerana bukan sahaja dapat membantu lebih daripada 2 juta masyarakat di seluruh dunia dalam aspek penjagaan kesihatan, malah membuka lebih dari 500 peluang pekerjaan dengan penjanaan ekonomi pasaran melebihi USD 5 juta walaupun dijual pada harga yang murah.
Melalui 3 anugerah yang diterima oleh USIM ini, ianya memberi gambaran yang amat positif dan jelas kepada kemampuan Universiti untuk menjadi institusi akademik yang berpengaruh, signifikan dan mampu bergerak seiring, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan Universiti Perdana lain dalam arena pendidikan global.
Disediakan Oleh:
Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar StraComm