NILAI – Menghimpunkan cendekiawan serumpun daripada tiga buah negara di bawah satu  bumbung bagi membincangkan halatuju institusi pendidikan tinggi berteraskan Pengajian Islam menjadikan Seminar Serantau Institusi Pengajian Tinggi Islam (SeIPTI) 2012 yang dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darusssalam dan Institut Studi Islam Darussalam (ISID), Gontor Indonesia disifatkan amat berjaya.

Majlis perasmian Seminar Serantau Institusi Pengajian Tinggi Islam (SeIPTI) 2012 yang diadakan di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr. Abdullah Md Zin, Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan “Semangat persaudaraan keilmuan pengajian Islam bukanlah sesuatu yang baru. Namu begitu, pelbagai usaha dan program perlu diperbaharui atau ditajdidkan setiap tahun untuk merealisasikan semangat persaudaraan ini”.

Mengimbau kenangan beliau ketika pernah berkhidmat di awal penubuhan USIM yang dikenali dengan Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) ketika itu menjelaskan “Hasrat murni ketika kerajaan menubuhkan Universiti ini adalah ingin membawa Pengajian Islam ke arus perdana dan USIM berjaya membawa wadah ini dengan amat baik sekali sehingga kini“

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dr. Asma Ismail di majlis yang sama melahirkan rasa gembira di atas pengajuran seminar seperti ini, malah beliau turut menyatakan “Cabaran USIM sekarang adalah bagaimana untuk menintegrasikan kepakaran, nilai, etika serta pengetahuan dalam Islam untuk membentuk ekosistem penyelidikan dan pembelajaran dalam Sains dan Teknologi yang berlandaskan Islam”

Tambahnya lagi “ Aspek jaringan institusi pengajian tinggi Islam di rantau ini amatlah penting bagi membolehkan kita menghasilkan produk penyelidikan yang diterima oleh industri dan masyarakat”.

Turut hadir dalam majlis perasmian ini ialah Yang Mulia Pengiran Anak Dr. Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail, Timbalan Rektor UNISSA dan YBhg. Dr. Hamid Fahmi Zarkasyi, Timbalan Rektor ISID Gontor.

Seminar yang dianjurkan selama dua hari bermula 12 hingga 13 Disember baru-baru ini menyaksikan pembentangan beberapa kertas kerja oleh para pensyarah dari ketiga-tiga buah Universiti ini yang menyentuh pelbagai isu melibatkan Pendidikan Islam serantau. Selain itu, bagi mengeratkan lagi tali silaturrahim yang telah sedia terjalin, turut dianjurkan majlis makan malam, sidang meja bulat dan mesyuarat bersama wakil-wakil institusi yang hadir ke SeIPTI kali ini.