KUALA LUMPUR, 28 APRIL 2015 – Dewan Theatretteb Bangunan Lestari UPNM menjadi saksi keunggulan dan kejayaan kumpulan Intracksee Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Marhaban Jemputan UPNM yang berlangsung pada 14 April 2015 lepas.

Kumpulan Intracksee USIM yang diterajui seramai 13 orang memberi saingan yang cukup sengit tempoh hari sekali gus berjaya menewaskan empat pasukan lain yang turut memberi saingan.

Menurut salah seorang ahli kumpulan Intracksee, Muhammad Alif Omar Abdul Jalil, mereka telah menjalani sesi latihan yang cukup konsisten dan padu dek kerana syarat yang diletakkan oleh pihak penganjur pertandingan adalah sangat mencabar.

Antara syarat yang dikenakan ialah kesemua kumpulan perlu tampil dengan konsep marhaban yang asli serta tiada percampuran unsur seperti Hindustan, Melayu klasik dan unsur kontemporari selain daripada qiraat yang telah disepakati.

“Setiap kumpulan bermula dengan berzanji dan mereka diminta untuk menggunakan rawi yang telah disediakan bagi memulakan pertandingan. Sejurus selepas itu, barulah para peserta boleh untuk mengalunkan irama marhaban dan juga qasidah.”

“Namun, segala syarat yang telah ditetapkan itu adalah sebagai pembakar semangat dan ukuran kepada mereka dalam menempuh persaingan tersebut,” ujarnya ketika ditemu ramah semalam.

Barisan panel hakim turut memberi komen dan respons positif ketika taklimat penghakiman. Lontaran suara, teknik alunan marhaban serta keseragaman kumpulan merupakan kriteria pemarkahan yang diambil kira untuk setiap kumpulan.

Dengan pungutan markah sebanyak 90 mata, pasukan Intracksee USIM diumumkan sebagai Johan pertandingan diikuti Naib Johan yang disandang oleh pasukan tuan rumah iaitu kumpulan Marhaban Al-Fateh dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang memperoleh 83 markah. Tempat ketiga pula menjadi milik kumpulan Shoutul Mizan dari Putrajaya dengan catatan markah  sebanyak 75 mata.

Pertandingan tersebut memberi persepsi baharu kepada masyarakat bahawa persembahan marhaban kini menjadi pilihan generasi muda khususnya pelajar IPT untuk terus memelihara keunggulan agama Islam yang menjadi sebahagian amalan budaya masyarakat melayu.

Kumpulan Intracksee sebelum ini turut memenangi Johan pertandingan Marhaban  FESTMA di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Johan Festival Nasyid, Berzanji dan Marhaban peringkat zon Seremban.

Disediakan oleh :

Ejen Berita (EB Muhammad Arif  Che Soh), Pusat Kebudayaan

Dikemaskini oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)