Nilai, 5 Jun 2009 – USIM telah berbesar hati mengadakan Majlis Persaraan untuk Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman, Pendaftar USIM dan Puan Hajah Rohani Abu, Bendahari USIM bertempat di Galeri, Bangunan Canselori. Majlis ini dibuat untuk menyatakan penghargaan universiti kepada mereka yang telah berkhidmat di USIM hampir 10 tahun.

Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman dan Puan Hajah Rohani Abu masing-masing telah memulakan perkhidmatan di USIM sebagai Pendaftar dan Bendahari pada 1 Januari 2000. Mereka merupakan antara tokoh awal yang terlibat dalam merealisasikan hasrat USIM sehingga berjaya meletakkan USIM setanding dengan universiti lain di Malaysia.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM ciri-ciri seorang pentadbir atau pemimpin yang baik ialah mereka yang berkebolehan membuat keputusan dengan cepat dan tepat serta berpandangan ke hadapan.

“Untuk menjadi seorang Pentadbir bukanlah satu perkara yang mudah. Bukan semua orang mampu menjadi pentadbir yang baik. Seorang pentadbir yang baik perlu berani membuat keputusan dengan memikirkan risiko yang akan dihadapi dan bertanggungjawab sepenuhnya dalam menghadapi risiko tersebut” tambah beliau semasa berucap di Majlis Persaraan Pendaftar dan Bendahari di sini, hari ini.

Di kesempatan itu beliau turut menyatakan penghargaan dan terima kasih di atas segala curahan tenaga, masa dan idea yang telah diberikan oleh Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman dan Puan Hajah Rohani Abu sepanjang berkhidmat di USIM.

Selamat Maju Jaya diucapkan kepada Tuan Haji Addenan Haji Abd. Rahman dan Puan Hajah Rohani Abu. Semoga sentiasa dirahmati dan dikurniakan kebahagian berpanjangan.

“Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan”

“Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik di kenang juga”

Oleh :
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8028