Bandar Baru Nilai, 26 Oktober 2010 – Seramai 250 ahli kelab Persatuan Bermotosikal Negeri Johor menyertai program Konvoi Motosikal Jelajah 1 Malaysia dan Kempen “Kami Prihatin” anjuran Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) dengan kerjasama penuh Kementerian Belia dan Sukan dan pihak istana Johor.

Program yang bertemakan ‘Kami Prihatin’ bermula di Hotel New York pada 26 Oktober sebelum menjelajah ke 12 negeri termasuk Johor dan tamat di Holiday Plaza Johor Bahru pada 31 Oktober 2010. Sebanyak 150 motosikal berkuasa tinggi dari pelbagai negeri seperti Kuala Lumpur, Putrajaya Perak Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Singapura menyertai program ini.

Program Jelajah 1 Malaysia ini akan singgah di lapan buah universiti yang bertujuan untuk menyampaikan risalah berkaitan kempen ‘Kami Prihatin’. Kempen Kami Prihatin ini merupakan inisiatif Utusan Malaysia bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Astro serta Karyawan untuk meningkatkan kesedaran dan membanteras gejala buang bayi.

Antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terlibat adalah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Konvoi tersebut tiba di USIM kira-kira pukul 4 petang dengan disambut oleh Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, Naib Canselor USIM beserta lebih 200 orang pelajar di Foyer Pavilion Pusat Sukan USIM.

“Kami menyokong penuh program dan kempen “Kami Prihatin” yang berusaha  mendekati pelajar-pelajar IPTA untuk membawa mesej kesedaran terhadap gejala buang bayi yang yang berleluasa dewasa ini” kata Muhamad Muda .

Selain itu penyanyi terkenal, Fauziah Latiff turut menyertai konvoi Jelajah 1 Malaysia.

Fauziah berharap agar kempen sebegini dapat diteruskan di masa hadapan kerana ia merupakan satu tanggungjawab sosial dalam usaha membanteras gejala buang bayi terutamanya di kalangan remaja.

Turut hadir Y.B.M Tunku Hasan Ibni Tunku Mohammed Archibald, penaung progam Jelajah 1 Malaysia dan Kempen “Kami Prihatin”.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my

Gambar oleh : Kamarull Syamzari Kamaruddin (06-7988058)