NILAI – Kepercayaan dan peranan baru yang telah diberikan oleh YB. Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2013 untuk USIM menjadi peneraju konsortium di kalangan institusi pengajian tinggi Islam di Malaysia diterjemahkan melalui penyediaan kertas konsep penubuhan Consortium of Islamic Institutions of Higher Learning and Academic Quality and Research Advancement atau singkatannya I-IQRA.

USIM selaku institusi yang telah diamanahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk menggerakkan penubuhan konsortium ini telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama institusi pengajian tinggi seperti UKM, UIAM, UM, KIPSAS, KUIS dan lain-lain lagi secara tidak langsung memperkemaskan lagi kertas konsep dan pelan tindakan penubuhan I-IQRA ini.

Justeru, baru-baru ini satu sesi pembentangan khas kertas konsep ini telah dibuat kepada YBhg. Dato’ Prof.  Dr. Rujhan Mustafa, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi. Sesi pembentangan oleh YBhg. Profesor Dato Dr’ Asma Ismail, Naib Canselor USIM ini turut dihadiri Pengurusan Universiti dan Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pengajian Tinggi.

Dalam pembentangan ini, Naib Canselor menyatakan “Konsortium ini akan membentuk sinergi kepada ahli-ahlinya dalam pelbagai bidang. Melaluinya, kita ingin menerbitkan jurnal ilmiah, menubuhkan Professiorial Chair dan membida geran penyelidikan di peringkat antarabangsa. I-I-IQRA turut memfokuskan kepada penjenamaan produk berteraskan Islam (Islamic Branding) seperti pengamalan falsafah Halalism dalam pembuatan makanan, vaksin dan ubat-ubatan. Kita juga akan membantu Malaysia untuk terus menapak dan menjuarai arena Perbankan dan Kewangan Islam”

Penubuhan I-IQRA apabila direalisasikan kelak akan menjadi medium yang dapat mewujudkan kerjasama erat dan percambahan idea di kalangan institusi pengajian tinggi yang menawarkan program akademik dalam Pengajian Islam akan turut membentuk kerjasama melalui program seperti seminar, community engagement, persidangan dan penyelidikan.

“Melalui pembentangan kertas konsep ini, dapat saya putuskan bahawa Jabatan Pengajian Tinggi menyokong penuh penubuhan I-IQRA ini. Perkara ini amat selari dengan hasrat YB. Menteri untuk melihat USIM menjadi Universiti pelopor (menjuarai) program kerjasama dikalangan negara-negara Islam” ulas YBhg. Dato’ Prof.  Dr. Rujhan Mustafa.

Menurutnya lagi “Pembentukan Konsortium ini akan membantu KPT untuk kita mewujudkan direktori kepakaran ahli kademik dalam pelbagai disiplin ilmu yang berasaskan Pengajian Islam. Keperluan itu sangat tinggi, justeru segala cadangan dalam kertas konsep ini akan diberi pertimbangan yang serius dipihak KPT untuk kita tubuhkan dalam masa terdekat”.

Disediakan oleh :

Mohd Zaini Othman
Penolong Pendaftar
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

E-mel    : zainiothman@usim.edu.my
Tel         : 06-798 8061/8028