Bandar Baru Nilai, 26 Disember 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menang dua emas dalam pertandingan tenis bergu lelaki dan bola jaring dalam Kejohanan Sukan Intervarsiti Fakulti Pergigian IPTA 2009 anjuran Fakulti Pergigian USIM dengan kerjasama Pusat Sukan USIM. Manakala Universiti Sains Malaysia (USM) muncul juara keseluruhan dalam kejohanan tersebut menewaskan 6 universiti awam yang lain.

Kejohanan kali ke-4 ini mula di ilihamkan sejak tahun 2006 dan merupakan sebahagian dari usaha Fakulti Pergigian USIM dan Pusat Sukan untuk mempromosikan sambutan 10 tahun USIM yang telah di lancarkan Oktober lalu oleh Tuanku Canselor.

Sebanyak 6 universiti awam yang mempunyai fakulti pergigian turut serta dalam kejohanan ini iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan pasukan tuan rumah dari USIM. Sebanyak 6 acara dipertandingkan pada kejohanan sehari ini iaitu Futsal lelaki dan wanita, bola jaring, bola tampar lelaki dan wanita, ping pong dan tenis.

Kejohanan yang menarik lebih 500 penyertaan dikalangan peserta dari fakulti pergigian seluruh negara ini merupakan salah satu medium untuk mengeratkan perhubungan yang sihat dikalangan pelajar fakulti pergigian. Ianya juga merupakan sebahagian dari usaha untuk melatih bakal doktor pergigian untuk berfikiran “think out of the mouth” yang mana tidak hanya tertumpu kepada bidang berkenaan tetapi juga boleh menjadi seorang bakal doktor yang dilabel tidak pasif selaras dengan moto fakulti pergigian USIM iaitu ” Menjana Profesional Pergigian Yang Seimbang”.

Kejohanan ini di sempurnakan oleh Y.Bhg Prof Dato’ Dr. Mohamed Asin Dollah, Timbalan Naib Canselor HEP & Alumni USIM di Pavilion Pusat Sukan USIM. Turut hadir Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Wan Mohamad Nasir Wan Othman, Dekan Fakulti Pergigian USIM.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Perhubungan Awam
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028