KELANTAN, 25 Feb 2017 – Berbekalkan semangat yang tinggi untuk menakluk kesemua puncak gunung G7, seramai 25 ahli Kelab Rekreasi dan Aktiviti Lasak Universiti Sains Islam Malaysia (K-REAL USIM) telah memulakan langkah pertama dengan menganjurkan Ekspedisi Pendakian Gunung Yong Belar yang diketuai oleh Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof. Dato’ Dr Musa Ahmad.
Yong Belar merupakan gunung yang ketiga tertinggi diantara gunung-gunung G7 dengan ketinggian 7156 kaki dari paras laut, dan ia cukup terkenal dikalangan pendaki-pendaki gunung di dalam dan luar negara. Gunung yang terletak di sempadan Kelantan, Pahang dan Perak ini menyediakan pelbagai laluan yang sukar dan tentunya memberi cabaran fizikal dan mental kepada peserta ekspedisi.
Menurut Naib Canselor USIM, aktiviti pendakian ini adalah antara aktiviti riadah Naqli & Aqli yg sangat dititikberatkan di kalangan warga kampus untuk melahirkan warga yang sihat dan menjadikan aktiviti pendakian sebagai aktiviti ‘mentadabbur alam’ iaitu untuk menghayati alam dan mengagungkan Allah melalui alam ciptaanNya.
Naib Canselor USIM sebelum ini telah mengetuai beberapa pendakian yang melibatkan kumpulan yang berbeza dikalangan warga USIM ke Gunung Stong, Gunung CBL (Cemberung-Berembun-Langsir), Gunung Kinabalu dan pada akhir tahun lepas ke Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia.
“Selain mengagungkan Allah melalui ciptaanNya, aktiviti pendakian boleh membentuk diri untuk lebih mensyukuri dengan apa yang kita ada”, sambung beliau lagi.
Pengarah Program Ekspedisi Pendakian gunung Yong Belar, Muhamad bin Sidek, 36, turut menyatakan bahawa ekspedisi kali ini sebahagian daripada usaha untuk membudayakan aktiviti lasak sebagai salah satu amalan gaya hidup sihat dikalangan para peserta terutamanya ahli Kelab K-REAL USIM itu sendiri.
“Ekspedisi kali ini ternyata agak sukar kerana trek laluan yang sangat basah disamping suhu yang agak sejuk akibat musim hujan yang melanda di kawasan tersebut”.
“Walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran, semua peserta telah menunjukkan kesungguhan mengharungi laluan-laluan lecak yang sangat mencabar kekuatan fizikal dan mental“.
“Ekspedisi mendaki seperti ini bukan hanya mencabar keupayaan diri malah turut mendidik supaya sabar, bertolak ansur dan bekerjasama sebagai satu pasukan. Walaupun penat, saya berasa puas apabila tiba di puncak dan perasaan itu sentiasa menguatkan semangat saya untuk terus aktif dalam aktiviti pendakian lagi”, tambah Muhamad.
Misi G7 seterusnya akan dilaksanakan pada tahun ini dengan enam lagi gunung untuk ditawan iaitu Gunung Tahan, Gunung Korbu, Gunung Gayong, Gunung Chamah, Gunung Yong Yap dan Gunung Ulu Sepat.
Disediakan oleh:
Fakrul Radzi Bin Md Akhir @ Harun
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204