SEREMBAN – Kelab Kakitangan Wanita dan Isteri Kakitangan, Universiti Sains Islam Malaysia (Kelab Wardah USIM) baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Wad Pediatrik di Hospital Tunku Ja’afar, Seremban. Lawatan ini telah disertai oleh seramai 18 orang ahli Kelab Wardah dan diketuai oleh Pengerusi Kelab, Datin Salmi Abd. Rahman.
Menurut Puan Nor Haizan Shaari, Exco Biro kebajikan Kelab Wardah, lawatan ini diadakan dengan hasrat untuk menzahirkan rasa prihatin ahli Kelab Wardah terhadap keadaan sukar yang sedang dihadapi oleh para pesakit dan keluarganya sepanjang berada di hospital.
Kunjungan ahli Kelab Wardah beserta sedikit sumbangan yang dihulurkan kepada 56 orang pesakit di Wad itu diharap akan dapat menggembirakan kanak-kanak di Wad tersebut terutama bagi yang perlu menjalani rawatan untuk jangka masa yang panjang.
Melalui perkongsian pengalaman bersama para penjaga kanak-kanak di wad tersebut juga diharap akan turut memberikan kesedaran kepada ahli yang menyertai lawatan akan kepentingan penjagaan kesihatan anak-anak dan penyakit-penyakit yang mungkin dihidapi oleh kanak-kanak.
Disediakan oleh:
Nor Azzah Momin
Penasihat Kelab Wardah USIM