NILAI – Hari pendaftaran pelajar baharu Program Tamhidi (Asasi) Sesi Akademik 2025/2026 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam menjadi lebih istimewa apabila sepasang kembar lelaki dari Parit Buntar, Perak mencuri perhatian ramai.

Muhammad Iman Atiq Muhamad Yazee dan Muhammad Iman Atif Muhamad Yazee, masing-masing berusia 18 tahun, hadir ke kampus dengan semangat berkobar-kobar untuk melanjutkan pengajian ke Program Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains. Mereka adalah anak sulung dan kedua daripada empat beradik, dibesarkan oleh ibu tunggal mereka, Puan Zaihan Mohmad Zaini, selepas kehilangan suami ketika pasangan kembar ini di tingkatan tiga.

“Impian kami adalah untuk menjadi doktor pakar, sebagai hadiah buat ibu yang banyak berkorban untuk membesarkan kami,” luah mereka penuh rasa syukur.

Kembar Tamhidi USIM curi tumpuan: Impian jadi Doktor demi Ibu tercinta

Pasangan adik-beradik ini merupakan antara 1,493 pelajar baharu yang mendaftar bagi Program Tamhidi (Asasi) Sesi Akademik 2025/2026. Suasana pendaftaran kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelajar dari pelbagai latar, termasuk tiga sahabat baik dari SMKA Tun Ahmad Zaidi, Kuching, Sarawak yang tidak menyangka akan kembali bersatu sebagai rakan sekampus.

Daripada jumlah 1,493 itu, seramai 526 pelajar yang mendaftar bagi program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang, 356 pelajar bagi Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, 164 pelajar bagi Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi, serta 447 pelajar bagi Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains yang menunjukkan jumlah pendaftaran pelajar Tamhidi tertinggi dalam sejarah USIM.

Sementara itu. tiga sahabat baik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Ahmad Zaidi, Kuching, Sarawak tidak menyangka dapat kembali bertemu sebagai rakan sekampus apabila masing-masing mendaftar sebagai pelajar baharu di USIM.

Mereka ialah Durratun Nasihah Mokhtar dan Aisya Nurqistina Mohammad Nizam dari Kota Samarahan serta Siti Aisyah Batrisyia Zainuddin dari Betong.

Sesi kali ini turut menyaksikan kehadiran tiga pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), menyerlahkan komitmen USIM dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang inklusif dan mesra OKU.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, ketika meninjau proses pendaftaran, berpesan kepada para pelajar agar menimba ilmu dengan penuh kesungguhan dan berusaha membentuk jati diri ilmuwan Islam yang holistik.

“Urus masa dan diri sebaik mungkin. Mohonlah restu ibu bapa, kerana di situ letaknya keberkatan dan kunci kejayaan,” ujar beliau.

Pendaftaran pelajar dilaksanakan secara dalam talian pada 30 Jun hingga 1 Julai 2025, diikuti pendaftaran kolej kediaman secara fizikal pada 2 dan 3 Julai. Pelajar juga akan mengikuti Minggu Taaruf secara hibrid, yang dirangka untuk memberi pendedahan awal kepada kehidupan kampus, budaya universiti serta nilai teras USIM.