KEMBOJA, 6 OGOS – Peserta Global Islamic Student Outreach (GISO) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terdiri daripada 17 mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi (FST), dan seorang pegawai pengiring, Dr Sakinah Ali Pitchay bermahabbah menyantuni masyarakat Kemboja selama lima hari bermula dari 25 hingga 29 Julai 2017 dengan tema Pengembaraan Islam ke Empayar Khmer, Kemboja.
Pengarah program, Amirul Asyraf bin Harun berkata, program yang dijalankan mendapat respon yang amat positif daripada masyarakat Kemboja sekaligus membantu dalam mencapai objektif program.
“Kami mengembara sambil berkongsi mahabbah dengan penduduk disana khususnya penduduk Muslim Kemboja di wilayah Thom di samping menyebarkan ilmu sains dan teknologi terutamanya ilmu asas berkaitan komputer yang bersesuaian dengan jurusan kami iaitu Keselamatan dan Jaminan Maklumat.”
“Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah di Kampung Duen Pen itu sendiri seperti program khidmat kesihatan ‘Ops Kutu’ dan aktiviti berus gigi untuk kanak-kanak yang dijalankan serentak ketika hari pertama mereka di sana selain ‘Bijak ICT Click!’ dan ‘Women Day’ yang mensasarkan golongan remaja dan dewasa”.
Lokasi yang dikunjungi antaranya adalah Kampung Duen Pen, Surau Duen Pen, Madrasah Tahfiz Al Ridwan, serta lawatan ke beberapa tempat lain yang menarik dan bersejarah di Phnom Penh seperti Muzium Tuol Sleng Genocide dan Pasar Tmer.
“Walaupun keadaan cuaca yang tidak mengizinkan untuk melakukan aktiviti lebih masa berikutan hujan yang agak lebat pada waktu petang dan malam, namun kesemua ahli bersemangat berusaha meneruskan aktiviti yang telah dirangka awal. Malah terdapat permintaan daripada penduduk yang disampaikan melalui ketua kampung kepada mereka untuk menambah aktiviti pada sebelah malam bersama pelajar-pelajar Madrasah Duen Pen”.
“Kadangkala keadaan sukar dikawal ketika aktiviti bersama kanak-kanak dijalankan kerana bilangan yang hadir adalah empat kali ganda daripada yang dijangkakan. Namun, bekalan untuk aktiviti adalah mencukupi bahkan kanak-kanak di sana sangat teruja untuk menjayakan aktiviti. Ada di antaranya yang tidak mahu berganjak meskipun aktiviti telah selesai”.
“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang bekerjasama dengan ahli kumpulan berpenat lelah dalan usaha menjayakan program ini hingga ke akhirnya. Terima kasih juga kepada semua yang terlibat terutamanya pensyarah pengiring kami iaitu Dr Sakinah kerana sangat membantu dari segenap sudut. Tidak lupa juga pihak USIM, FST, kedutaan Malaysia, pihak di Kemboja, serta kerjasama organisasi Al-Ittisam Relief Program dan penaja-penaja kerana memberi peluang untuk mendidik jiwa kami sebagai sukarelawan sekaligus menerokai pengalaman yang tidak dapat kami dapati di dalam kelas,” ujar Amirul.
Menurut Dr Sakinah ketika berlangsungnya aktiviti Bijak ICT Click, pengajar Madrasah Tahfiz Al Ridwan menyatakan rasa puas hati terhadap pengajaran ilmu asas komputer dan perisian yang terdiri daripada 5 modul serta berharap meneruskan modul yang baharu. Beliau juga turut terlibat dalam mengemaskini modul yang diajar. Pengajar di Madrasah juga berterima kasih di atas sumbangan komputer LCD yang diterbangkan khas dari Malaysia. Aktiviti ini merupakan satu usaha berterusan pelajar FST ke Kemboja tetapi di lokasi kampung yang berbeza.
Hasil tinjauan awal mereka sebelum ke sana, penduduk kampung yang kerap dihubungi memaklumkan kekurangan kemudahan komputer dan masih lagi kurang celik tentang aplikasi. Justeru peserta turut berkerjasama dengan pihak NGO di sana untuk sentiasa memantau penggunaan komputer dengan modul ICT yang disediakan oleh pihak mereka.
Selain itu, mereka turut membeli makanan keperluan asas untuk 100 keluarga di mana 55 untuk yang berpendapatan rendah serta 45 mualaf dengan menggunakan dana ‘Family Aid’ yang berjaya dikumpulkan sebanyak RM3000 dari pelbagai individu perseorangan. Peserta turut membantu menghantar keperluan asas ke rumah penduduk kampung bagi invididu kurang upaya dan uzur.
Di sana juga mereka belajar mengenal budaya yang berlainan dan merasai kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada penduduk di Kampung Duen Pen. Besar harapan dan impian pelajar program Keselamatan dan Jaminan Maklumat, USIM terhadap keberkesanan program mereka di sana dan mengharapkan agar pengalaman sepanjang mereka berada di Kemboja dapat memberi inspirasi baru dalam kehidupan ahli kumpulan mereka pada masa yang sama dapat diaplikasikan dalam pelajaran.
Saya juga amat berharap adanya pelapis bagi program GISO USIM meneruskan apa yang telah kami usahakan ini dan memperbaiki aktiviti yang dijalankan. Pihak perwakilan di sana juga bersedia dan amat mengalu-alukan kedatangan mahasiswa USIM untuk mengikut jejak langkah yang telah dijalankan sebelum ini. Jadi tidak salah untuk kita menyambung tali silaturrahim yang telah dibina antara pihak USIM dan Kemboja untuk manfaat kedua belah pihak. Alhamdulillah Syukur kehadrat Ilahi dan terima kasih untuk segalanya,” ucap Dr Sakinah selaku pegawai pengiring bagi program GISO Kemboja.
Disediakan oleh:
Amirul Asyraf bin Harun, Pengarah Program
Fakulti Sains dan Teknologi (FST)
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204