SDYNEY, 22 Ogos 2014 – Seramai 15 orang pelajar Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa Tahun 3, Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM berpeluang menimba ilmu dan pengalaman berharga di Sydney, Australia dibawah program Global Islamic Student Outreach (GISO) USIM yang berlangsung bermula 19 hingga 22 Ogos lalu.

Program yang diberi nama Kembara Insaniah Generasi Muda telah menjalankan beberapa aktiviti antaranya Street Dakwah , Lensa Muslim, Program Tautan Kasih di Masjid Al-Imann dan Masjid Omar, Ziarah Santun di 3 Universiti terkemuka, iaitu University of New South Wales, The University of Sydney dan University of Wollongong.

Kembara diteruskan ke Wollongong yang merupakan Bandar ketiga terbesar di New South Wales. Di Wollongong, forum bertajuk ‘Cabaran Pelajar Muslim di Luar Negara’ telah diadakan bersama pelajar muslim University of Wollongong yang bertempat di Masjid Omar. Ia melibatkan panel dari dua orang warga muslim University of Wollongong dan wakil dari ahli kembara iaitu Hanzalah Zainal.

Bagi menggembirakan kanak-kanak muslim di sana, pihak kami turut mengambil kesempatan untuk mengadakan aktiviti bercerita bersama kanak-kanak muslim di sekitar Masjid Omar. Segala aktiviti yang dirancang, telah mendapat persetujuan dan bantuan oleh Pelajar Malaysia University of Wollongong (MAS UOW).

Sumbangan turut dihulurkan sebagai kenangan kepada Masjid Omar, Wollongong dan Masjid Iman, Sydney, antaranya 20 naskhah Al-Quran, 100 naskhah buku agama dan 400 naskhah pamphlet dakwah yang terdiri daripada pelbagai versi.

Selain itu, ahli kembara juga sempat melakukan aktiviti tadabbur alam di Kiama Blow Hole dan Symbio Wildlife Park bagi melahirkan rasa kehambaan terhadap Pencipta Alam Semesta.

Perkara yang paling menarik di dalam kembara ini ialah, apabila program bersama masyarakat awam di Hyde Park mendapat perhatian rancangan realiti televisyen di Australia, ‘The Beauty and The Geek’.

Secara keseluruhannya kembara telah mewujudkan semangat kerjasama yang tinggi di kalangan peserta dan memberi banyak pengalaman yang belum pernah di perolehi ketika berada di Malaysia’.

Dikemaskini oleh :

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204